Sejarah Bumi Dari Bayi Hingga Bergelar Planet

Daripada cakera pertumbuhan hingga ke planet kesayangan!

Korang tau tak korang semua sebenarnya berasal daripada satu sel daripada ayah korang yang dipanggil sperma? Lepas mak ayah korang berkahwin, sel sperma melalui proses persenyawaan akan bercantum bersama sel ovum mak, lepas tu korang jadi embryo, janin dan jadi bayi yang sempurna. 

Baby Bumi

Bumi kita ni pun lebih kurang je. Tapi Bumi takda mak ayah, yatim piatu la kiranya. Jom kita tengok bagaimana proses Bumi ni lebih kurang 16 billion tahun yang lepas dan akhirnya menjadi Bumi yang kita diami, sayangi, peluk dan pijak.

Ledakan Dahsyat (Big Bang)!

Gambaran Ledakan Dahsyat

                Seluruh alam ini dimodelkan bermula daripada satu ledakan yang amat dahsyat dan kuat. Ledakan tersebut teramat sangatlah kuat sehingga mewujudkan partikel-partikel dan tenaga haba yang amat hebat! Setelah beberapa ketika, apabila alam mulai menyejuk, barulah partikel-partikel tersebut mula bercantum dan akhirnya melahirkan atom-atom baharu. Walaupun sejuk, seluruh alam semesta pada ketika itu (lebih kurang 1 juta tahun setelah Big Bang) diselubungi awanan panas yang hanya mengandungi 98% atom hidrogen dan 2% atom helium.

Mengapa ledakan ini terjadi masih diperdebatkan secara hebat dalam kalangan ahli astronomi global, namun belum ada seorang pun yang telah menjumpai dan mungkin takkan jumpa pun alasan yang mutlak mengapa ledakan ini berlaku. Tapi itu bukan tujuan artikel ni ditulis jadi kita akan pergi kepada seterusnya.

Nebula: Gumpalan awanan gas

Daripada suatu titik atom yang menjadi nukleus, gas-gas tadi mula berkumpul dan berputar pada titik tersebut dan ini dipanggil nebula. Mengikut konsep “yang kaya semakin kaya”, titik yang mempunyai lebih banyak jisim akan mempunyai lebih kuat daya tarikan graviti, lantas mengumpulkan lebih banyak gas.

Korang pernah pusing-pusing setempat tak? Ala, lepas korang pusing tu kepala korang jadi pening tu, selalunya korang depakan (buka) tangan en? Perasan tak kalau korang letak balik tangan kat badan atau memeluk badan sendiri setelah berpusing tu korang jadi semakin laju? Camni lah kejadian suatu planet atau bintang, semaking banyak gas di tengah nukleus, semakin laju ia berputar.  

Kemudian setelah berpusing dengan terlalu laju, terdapat suatu lagi daya yang dipanggil sentrifugal. Okay, jom bayangkan korang masih main pusing-pusing setempat tadi, tapi ni kawan korang pulak. Kalau dia tak jaga keseimbangan, mesti dia terhoyong-hayang dan terbabas en? Selalunya orang jatuh dah masa ni sebab tak seimbang. Lepas tu korang gelak, sebab kelakar, tapi korang tak tahu betapa sakitnya diri pabila dirinya jatuh tersungkur di tanah dan ditertawakan orang.

Daya sentrifugal
Cakera Pertumbuhan.
Bulatan tengah itu ialah bintang dan gas-gas ditepian akan bercantum dan menghasilkan planet.

Okay, terlari topik pulak, kawan yang terhoyong-hayang tadi adalah diakibatkan oleh daya sentrifugal ini dan kerana adanya daya ni, gas-gas tadi bertebaran membentuk cakera (macam CD) bersama teras bintang yang bulat. Inilah yang kita panggil, cakera pertumbuhan (accretionary disk)! Oleh kerana atom-atom yang ringan lebih susah dikeluarkan daripada tengah-tengah cakera pertumbuhan tersebut, maka, yang lebih banyak pada cakera yang leper adalah daripada atom-atom yang berat seperti besi dan emas dan pada bebola di tengah-tengah cakera tersebut adalah daripada hydrogen dan helium. Cuba baling kertas yang dironyokkan supaya berbentuk bola dan lepas tu baling batu pulak. Mana lebih jauh? Batu en? Begitulah konsepnya.

Percantuman jisim

Gumpalan gas, menghasilkan planetesimal

Pada jisim yang sudah stabil, ia akan mula berlanggar antara satu sama yang lain, lantas menghasilkan gumpalan debu yang dipanggil planetesimal. Planetesimal ini berbentuk lebih kurang seperti kentang (geoid) atau asteroid, dan akhirnya gumpalan-gumpalan yang bercantum akan menjadi besar lebih besar, berlanggar lagi, besar lagi dan berlanggar lagi sedikit demi sedikit dan pada hujungnya menjadi sebuah kentang  yang teramat besar yang dipanggil proto-planet (proto bermaksud yang paling awal).

Proto-planet, Vesta terletak di Lingkaran Asteroid (Asteroid Belt)

Tapi, kenapa masa kecik-kecik Baby Bumi (proto-Bumi) berbentuk kentang. Kenapa dalam buku cakap Bumi tu bulat?

Pernah nampak kerikil-kerikil batu tepi jalan? Keraskan? Kalau belum, cuba suruh kawan baling kat hang, baru tahu batu tu keras! TOLONG JANGAN BUAT, ini selingan lawak supaya korang tak tidur je baca artikel ni.

Ini adalah sebab batu tersebut bersuhu sejuk dan susah nak dibentuk, menjadikan ia berbentuk kentang. Setelah proto-planet ini membesar, lebih besar sedikit seperti bulan (saiz kritikal), Baby Bumi menjadi Bumi Junior (Gaia) dan mempunyai teras yang panas suhunya, lantas membenarkan graviti untuk membentuknya menjadi sfera. Sebab itulah Bumi itu sfera dan bukan leper ye kawan-kawan?

Pada zaman Gaia telah terhasil, terdapat Bumi Junior 2 (Theia) yang lebih kecil juga yang terhasil berhampiran dengan Gaia. Orang tua-tua ada kata, kalau nak rapat dengan seseorang tu jangan terlalu rapat. Malang tidak berbau, akibat tidak mempunyai orang tua, Gaia berada terlalu rapat dengan Theia, mereka berlanggar dan hentaman Theia kepada Gaia teramat la hebat sehingga menusukkan terus ke dalam teras Gaia, melayangkan puing-puing (debris) isi Bumis yang berlanggar tadi.

Perlanggaran tragis Gaia dan Theia akibat terlalu rapat

Fasa move on Bumi Baru

Setelah perlanggaran tersebut berlaku, haba yang sangat kuat mencairkan kandungan-kandungan Gaia dan Theia lantas mengasimilasikan kedua-dua kandungan yang ada pada kedua-dua buah planet.

Puing-puing Gaia yang terkeluar daripada Bumi tadi melakukan apa yang jisim sentiasa lakukan di angkasa lepas, iaitu, berputar, menghasilkan cincin yang mengelilingi Bumi Baru, dan akhirnya bergumpal dan terhasillah Bulan. Puing-puing yang tidak menjadi bulan atau Bumi Baru, kekal berada di angkasa lepas dan inilah yang kita gelar asteroid. Sekiranya asteroid ini cukup berat dan ditarik oleh graviti Bumi maka ia akan menghujani Bumi dan berasimilasi pula dengan Bumi.

Setelah lama panas dengan perlanggaran tersebut, Bumi Baru pun mula menyejuk, lantas mengeras pada keraknya dan mineral yang pertama mengeras ialah yang dijumpai di Australia Barat, bernama Zircon (boleh rujuk artikel macam mana kira umur Bumi ), dan Bumi ini mula mengeras pada zaman Hadean (4.5 billion tahun yang lepas).

Bumi zaman Hadean

Letusan gunung berapi yang ada pada zaman tersebut mengeluarkan gas-gas yang menghasilkan atmosfera Bumi, lalu menyebabkan kondensasi dan hujan akhirnya menjadi lautan yang luas terbentang. Kehidupan mula berkembang dan anda pula membaca artikel ni di Ajar untuk melihat semula sejarah Bumi daripada awal sampai ke hari ini di atas Bumi.

Konklusi

Bumi moden kesayangan kita semua

                Sudah menjadi lumrah dijadikan segala benda yang ada di alam ciptaan Allah ini untuk melalui suatu proses dan tingkatan-tingkatan yang tertib. Bersyukurlah, dan kajilah tentang kejadian alam ciptaan Allah disekeliling anda, dan anda akan menjumpai betapa menakjubnya Maha Suci Allah yang Maha Bijaksana mencipta dan mereka proses-proses yang sungguh cantik sekali dan tidak menzalimi mana-mana makhluknya sekali pun.

                Wallahua’lam.

Rujukan:

  1. Marshak, S. 2001. Earth: Portrait of a Planet.
  2. Valley et al. 1999, Zircons are Forever
  3. Wilde et al. 2001, Evidence from detrital zircons for the existence of continental crust and oceans on the Earth 4.4?Gyr ago.
  4. NASA/WMAP Science Team, 2011. “Cosmology: The Study of the Universe”. Universe 101: Big Bang Theory. Washington, D.C
Total
89
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts