5 Perkara Penting Tentang Pencarian Alien

Waktu malam hari yang tiada awan, kita dapat lihat ribuan bintang di langit. Kita mungkin bertanyakan soalan ini. Adakah hidupan di Bumi, satu-satunya hidupan yang wujud dalam alam semesta ini? Suatu ketika dahulu, manusia menganggap bahawa Bumi ini ialah satu tempat yang ‘special’ dan merupakan pusat alam semesta. Bintang-bintang pula adalah tempat para tuhan (mengikut tamadun Greek dan Rom). Namun, selepas kedatangan Islam dan kemudiannya diikuti oleh perkembangan teknologi yang pesat telah mengubah perspektif kita terhadap angkasa. Teleskop dicipta untuk melihat objek-objek di langit dengan lebih dekat.

Selepas teleskop angkasa mula menghantar maklumat ke Bumi, kita dapat tahu bahawa alam semesta yang dapat dilihat ini mempunyai diameter 90 bilion tahun cahaya! Di dalamnya terdapat lebih 100 bilion galaksi, dan dalam setiap galaksi ini terdapat lebih 100 bilion hingga 1 000 bilion bintang di dalamnya. Beberapa tahun kebelakangan ini pula, kita dapat tahu bahawa banyak bintang mempunyai planet-planet yang mengorbitnya; seperti sistem suria. Jadi, kita dapat menyimpulkan bahawa terdapat banyak planet yang sesuai untuk didiami oleh hidupan di alam semesta ini. Mungkin melebihi 1 trillion calon planet! Dengan bilangan planet yang sangat banyak ini, persoalan kita tentang kewujudan hidupan lain selain di Bumi menjadi semakin menarik. Kita ingin tahu wujudkah ‘alien’ atau tidak? Dalam artikel ini, saya akan berkongsi tentang 5 perkara tentang pencarian alien.

Paradoks Fermi

Paradoks Fermi ini memerihalkan tentang satu ‘kepelikan’ dalam alam semesta hari ini. Kita tahu bahawa alam semesta ini sangat besar dan luas, di dalamnya terdapat trillion planet yang boleh didiami, namun di mana hidupan ‘alien’ di luar sana? Paradoks ini mula diusulkan oleh Enrico Fermi, seorang ahli Fizik dari Itali. Antara kenyataan yang berkaitan dengan paradoks ini ialah hidupan luar Bumi tidak dapat dikesan pun di Bumi, segala hidupan di Bumi, memang lahir di sini. Banyak pandangan ahli-ahli fizik dan astronomi mengenai hal ini. Antara jawapan yang diberikan untuk paradoks ini adalah memang tamadun yang sangat-sangat maju di luar sana tidak wujud. Dalam erti kata lain, alien tidak wujud. Namun, jawapan ini juga menerima kritikan kerana ia tidak mempunyai ‘bukti’. Sesuatu yang masih belum dijumpai, tidak semestinya tidak wujud. Selain itu, ada jawapan-jawapan lain bagi paradoks ini seperti berikut:

  1. Alien tidak pernah datang ke Bumi kerana penjelajahan angkasa lepas ini sukar
  2. Alien masih belum sampai ke Bumi/memilih untuk tidak ke Bumi
  3. Alien masih belum mempunyai teknologi yang maju untuk sampai ke Bumi
  4. Alien telahpun sampai ke Bumi, namun kita tidak sempat untuk melihat mereka

Perbincangan mengenai paradoks Fermi ini masih terbuka dan tidak mempunyai jawapan yang memuaskan.

Persamaan Drake

Selepas paradoks Fermi popular dalam kalangan saintis, seorang lagi ahli astronomi iaitu Frank Drake membuat satu persamaan bagi menerangkan kebarangkalian berkenaan bilangan tamadun yang boleh berkomunikasi dengan kita di Bumi. Persamaan ini tidaklah seperti persamaan kerelatifan Am Einstein, atau persamaan daya Newton, tetapi ia hanyalah satu tekaan secara matematik tanpa data yang mencukupi. Persamaan ini mengambil kira 7 faktor iaitu

  1. purata pembentukan bintang
  2. peratus bintang tersebut yang mempunyai planet
  3. purata bilangan planet dalam bintang tersebut yang sesuai untuk kehidupan
  4. peratus planet yang sesuai untuk kehidupan bercambah
  5. peratus planet yang mempunyai kehidupan yang terus bercambah untuk menjadi cerdas
  6. peratus tamadun cerdas yang menghasilkan teknologi untuk menghantar isyarat
  7. tempoh bagi tamadun tersebut untuk menghantar isyarat ke angkasa

Persamaan Drake menyatakan bahawa bilangan tamadun yang boleh berkomunikasi dengan kita adalah hasil darab kesemua faktor ini. Namun, masalah besar bagi persamaan ini ialah maklumat bagi setiap faktor ini hanya ada satu, iaitu Bumi. Kita tidak mempunyai data yang cukup untuk mendapatkan maklumat ini.

Air sebagai Sumber Kehidupan

Salah satu elemen penting dalam pencarian tamadun luar atau ‘Alien’ ialah air. Bumi kita dipenuhi oleh air. Bahkan 70% daripada Bumi adalah air dan air merupakan satu elemen penting dalam kehidupan sejak ratusan juta tahun dahulu lagi. Dinosaur-dinosaur, kebanyakannya hidup berdekatan dengan sumber air seperti laut dan sungai. Haiwan-haiwan juga begitu. Banyak tumbuh-tumbuhan hidup dengan mekar di kawasan yang kaya dengan sumber air. Bagi mencari kewujudan air di planet-planet lain, ahli astronomi meletakkan satu kriteria bagi planet yang memungkinkan kewujudan air iaitu di kawasan ‘goldilock’. Planet yang berada dalam kawasan ‘goldilock’ ini, mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk mengandungi atmosfera dan suhu yang sesuai bagi kehidupan. Malah, dalam Al-Quran juga ada menyebut tentang perihal kehidupan dan air dalam surah Al-Anbiya ayat 30.

Penghantaran dan Penerimaan Isyarat Radio

Pada hari ini, komunikasi antara kita adalah sangat mudah dan pantas. Kita mempunyai telefon pintar yang mampu menghantar mesej dengan sekelip mata sahaja melalui rangkaian internet. Kita juga boleh menelefon rakan-rakan kita melalui rangkaian internet dan juga radio. Oleh itu, kaedah komunikasi kita ini juga tentu boleh digunakan untuk menghubungi alien. Pada tahun 1974, satu isyarat radio yang mengandungi maklumat tentang Bumi dan isi kandungannya telah dihantar ke gugusan bintang M13 melalui teleskop radio Arecibo. Isi kandungan isyarat radio ini kini dikenali sebagai Mesej Arecibo (Arecibo Message). Isyarat ini dijangka akan tiba di M13 sekitar 25 ribu tahun lagi kerana jaraknya ialah 25 ribu tahun cahaya. Jika alien wujud di M13 dan mampu membaca dan memahami Mesej Arecibo ini, kemudian mereka membalas isyarat ini dengan mesej mereka pula, mesej ini akan mengambil masa lagi 25 ribu tahun untuk kembali ke Bumi. Lama lagi nampaknya nak kena tunggu.

Skala Kardashev

Apabila kita bercerita tentang alien, kita perlu lihat pada satu kategori penting iaitu kecerdasan sesuatu kehidupan. Kita sebagai manusia, mampu melakukan banyak perkara termasuklah mencipta berbagai-bagai teknologi. Kita juga mampu berfikir mengenai kehidupan lain di luar Bumi, dan mencari mereka. Namun, kehidupan lain di Bumi seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan, tidak dapat melakukan banyak perkara yang boleh dilakukan oleh manusia. Jadi, apabila kita mencari kehidupan lain di luar sana, kita perlu bezakan kecerdasan ini. Salah satu ukuran ini ialah Skala Kardashev yang diperkenalkan oleh Nikolai Kardashev pada tahun 1964. Skala ini mengukur tahap teknologi sesuatu tamadun berdasarkan kuantiti tenaga yang mereka dapat gunakan. Secara umumnya, skala ini terbahagi kepada tiga iaitu:

  1. Tamadun tahap 1 (Tamadun planet): Mampu menggunakan dan mengawal semua tenaga pada planet mereka.
  2. Tamadun tahap 2 (Tamadun bintang): Mampu menggunakan dan mengawal semua tenaga yang ada dalam sistem bintang mereka (termasuklah tenaga dari bintang mereka)
  3. Tamadun tahap 3 (Tamadun Galaksi): Mampu menggunakan dan mengawal semua tenaga pada sistem galaksi mereka (semua bintang, lohong hitam, dan planet yang ada dalam galaksi tersebut)

Pada ketika ini, tamadun manusia tidak termasuk pun dalam mana-mana tahap kerana kita masih belum mampu menggunakan segala tenaga yang ada di Bumi ini. Carl Sagan, seorang ahli astronomi yang popular meletakkan manusia sebagai tamadun tahap 0. Michio Kaku, seorang ahli fizik menjangkakan manusia akan mencapai tamadun tahap 1 dalam 100 hingga 200 tahun akan datang.


Kesimpulan

Kita tidak tahu sama ada ‘alien’ wujud ataupun tidak di luar sana. Bagi umat Islam, kita juga tidak tahu secara yakin sama ada ‘alien’ ini pernah diisyaratkan ataupun tidak dalam sumber wahyu. Sebahagian ayat al-Quran mungkin hanya dapat difahami apabila sesuatu penemuan dilakukan yang selari dengan Al-Quran. Begitulah maksud mukjizat sepanjang zaman. Walaupun status kewujudan ‘alien’ tidak diketahui, kita wajib beriman dengan alam ghaib kerana ia disebut dalam nas wahyu. Namun, paling penting sekali ialah kita perlu sedar bahawa kita ini hanyalah satu makhluk kerdil dalam trillion-trillion makhluk Allah lain yang diciptakan.

Rujukan

  1. http://adsabs.harvard.edu/full/1975QJRAS..16..128H
  2. https://www.cengage.com/c/foundations-of-astronomy-14e-seeds/9781337399920PF/
  3. https://www.seti.org/drake-equation-index
  4. https://www.seti.org/seti-institute/project/details/arecibo-message
  5. http://adsabs.harvard.edu/full/1964SvA…..8..217K
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts