Kenapa Beras Dijajah Kutu?

Malaysia telah merdeka lebih kurang 63 tahun yang lepas. Namun, terdapat satu ruang di rumah anda, yang berkemungkinan, masih dijajah, dilapah dan dirobek dengan sewenang-wenangnya. Anda mungkin sedar, mahupun tidak, penjajah tersebut tidak akan mengendahkan kewujudan anda selagi mana mereka dapat habuan emas putih yang dicintai oleh semua rakyat Malaysia; beras.

Sekiranya anda sedar, anda akan buat tak endah dan berkata di dalam hati “alah, benda kecik tu? Lepas cuci beras nanti, tak sampai seminit hilang la”. Ya, itu mungkin apa yang anda rasa sekarang. Dalam masa sebulan, benda kecik itulah yang akan membesar, dalam nombor kewujudannya. Sepasukan menjadi sekumpulan, sekumpulan menjadi sekampung, sekampung menjadi sebandar dan sebandar menjadi senegara. Akhirnya, bekas simpanan beras anda menjadi jajahan takluk oleh ribuan kutu beras yang merampas beras anda sewenang-wenangnya.

Penubuhan negara kutu di beras anda

Pada masa itu, masa cucian seminit telah pun menjadi lima belas minit ke setengah jam. Sekiranya dalam masa setengah jam itu anda mencuci secara acuh tak acuh, nasi yang anda makan akan mengandungi butiran hitam yang akan meremangkan bulu roma anda. Kutu beras.

Kutu beras bila dizoom

Kutu Beras

Kutu beras ataupun nama saintifiknya Sitophilus oryzae ialah suatu makhluk kumbang yang berasal daripada:

  1. Phylum – Arthropod: Haiwan yang tidak bertulang belakang (invertabrates), mempunyai eksoskeleton, badan yang bersegmen, dan bahagian badan bersendi yang berpasangan.
  2. Class – Insecta:  heksapod; mempunyai toraks yang terasing, dan tiga pasang kaki (enam kaki).
  3. Order – Coleoptera: Kumbang; mempunyak kepak yang dilindungi cengkerang yang keras.
  4. Family – Curculionidae: kumbang yang bermuncung panjang (snout).
  5. Genus – Sitophilus: kumbang bermuncung panjang yang menjadi makhluk perosak makanan tersimpan.

Kutu beras selalunya 3-4.5mm panjang, dan berwarna coklat (kalau rasa coklat tak wujud kita sebut oren gelap) ataupun hitam. Berbeza dengan kutu, kutu beras menjamah nutrisi daripadi beras dan tidak menyedut darah manusia yang tak menjaga kebersihan.

Kutu beras dewasa mampu terbang, namun tak bermaksud ia perlu untuk terbang jauh dan mampu hidup untuk lebih kurang 7 bulan. Yang betina mampu untuk bertelur sebanyak 2-6 sehari dan lebih 300 telur dalam satu kehidupan.

Kutu beras ini berasal daripada saat beras dituai. Apabila pengilang membersihkan dan membungkus beras dengan pek vakum, kutu beras dewasa mungkin mati atau tidak aktif, tetapi telurnya tetap hidup. Sekiranya beras ini disimpan di suatu bekas yang tidak kedap udara, maka berkemungkinan besar telur tersebut akan menetas dan melahirkan generasi penjajah kutu beras yang baru.

Kesan Kepada Beras

              Sekiranya kutu-kutu beras ini dapat menguasai bekas beras anda, maka mereka akan memakan beras anda dan meninggalkan satu jasad beras yang lompong dan rapuh menjadi debu sekiranya dipicit. Ini akan menghilangkan nutrisi dan menghilangkan tekstur beras yang telah ditebuk tadi. Beras anda juga akan berkemungkinan mengandungi telur atau pupa. Oleh itu, beras anda harus dibersihkan, dan beras yang ringan dan lompong akan terapung dan anda boleh membuang beras yang rosak tersebut.

Butiran beras yang mengandungi pupa

Cara-Cara Menghalang Penjajahan Kutu Beras

  Ada beberapa cara untuk menghalang ataupun memberhentikan aktiviti kutu beras di dalam bekas beras anda.

  1. Bekukan atau panaskan beras – kutu beras pada semua kitaran hidupnya tidak mampu untuk bertahan pada suhu bawah takat beku 0°C atau atas 60°C. Lakukan selama 4 hari in sha Allah koloni tersebut akan lenyap pada bekas makanan anda.
  2. Letak rempah di dalam beras anda. Daun salam, cengkih dan bawang putih merupakan petua orang dulu-dulu untuk mengelakkan kutu beras. Kami dah cuba bawang putih tapi tak menjadi.
  3. Simpan beras di dalam bekas kedap udara. Metode ini telah kami cuba setelah bekas beras kami dijajah teruk. Setelah dipindahkan ke dalam bekas kedap udara, kutu-kutu beras ini akan mati dan mencuci beras menjadi lebih mudah kerana kutu beras tidak mampu lagi untuk mendakap dan melekat pada beras yang mereka sayangi, menjadikan mereka mudah terapung apabila dicuci.
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts