7 Penemuan Penting dalam Astronomi Silam

Astronomi ialah satu bidang yang mengkaji pergerakan-pergerakan objek samawi di alam semesta. Bidang astronomi merupakan bidang terawal yang dikaji oleh peradaban manusia.

Pada abad ke-21 ini, sudah banyak yang kita ketahui berkenaan angkasa lepas. Bahkan, jika dibandingkan pengetahuan pelajar sekolah menengah dengan sarjana Greek dahulu, pelajar menengah sekarang lebih banyak pengetahuan tentang alam semesta berbanding sarjana Greek. 

Dalam artikel ini, kita akan berkongsi penemuan-penemuan astronomi terpenting yang berlaku pada zaman dahulu.

Pergerakan Planet, Bulan, Matahari dan Bintang-bintang

Apabila kita lihat ke angkasa lepas pada waktu malam, kita dapat lihat ribuan objek yang tersebar di serata langit. Jika kita perhatikan langit malam setiap hari selama setahun, kita akan dapati bahawa terdapat perubahan kedudukan bintang-bintang di langit. Penemuan ini juga telah direkodkan oleh manusia pada zaman silam. 

Melalui pemerhatian selama bertahun-tahun, manusia mendapati bahawa terdapat 7 objek yang bergerak pada orbit tersendiri iaitu Matahari, Bulan, Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal. Hari ini kita tahu bahawa kesemua 7 objek ini merupakan objek-objek yang berada di dalam sistem suria. Manakala bintang-bintang berada sangat jauh daripada sistem suria, dan sebab itulah bintang-bintang ini kelihatan tidak bergerak pada waktu malam.

Bumi berbentuk sfera

Pada awalnya, manusia melihat bahawa Bumi ini seluas mata memandang, dan seolah-olah tidak ada penghujung. Maka manusia menyimpulkan bahawa Bumi ini berbentuk datar. Namun selepas penemuan-penemuan baharu dan penguasaan dalam ilmu trigonometri, manusia mendapati bahawa Bumi bukanlah berbentuk datar, tetapi berbentuk sfera. 

Antara bukti yang menyokong Bumi berbentuk sfera ialah gerhana bulan. Ketika berlakunya gerhana bulan, manusia mendapati bahawa terdapat bayang-bayang yang melindungi cahaya bulan. Apabila dihitung fasa bulan, manusia mendapati bahawa bulan berada pada fasa penuh, dan bayangan bumi yang sedang menutupi bulan. 

Fenomena pasang surut

Pasang surut merupakan satu fenomena yang berlaku setiap hari sejak dari zaman dahulu lagi. Fenomena ini telah pun difahami bahawa ia berpunca daripada fasa bulan. Fasa bulan tertentu akan menyebabkan fenomena pasang surut yang berlainan seperti pasang surut anak dan pasang surut perbani. Apabila fenomena ini difahami, manusia dapat melakukan aktiviti di laut berdasarkan waktu yang sesuai. 

Pada hari ini, kita tahu bahawa fenomena pasang surut ini berpunca daripada tarikan graviti Bulan dan juga matahari. 

Teleskop

Selama beribu-ribu tahun, pemerhatian manusia mengenai alam semesta terhad kepada semua yang dapat dilihat oleh mata kasar. Ribuan bintang dapat dilihat. Kemudian, penciptaan teleskop telah membuka ruang baharu dalam penerokaan angkasa lepas. Selepas penciptaan teleskop, pelbagai objek ditemui seperti planet Uranus dan Neptun. Malah, penciptaan teleskop juga telah membawa kepada revolusi daripada geosentrik kepada heliosentrik. 

Pada hari ini, teleskop-teleskop semakin besar dicipta. Malah, teleskop-teleskop juga telah dihantar ke angkasa lepas seperti Teleskop Hubble dan Teleskop Spitzer. 

Bulan-bulan Galileo

Galileo Galilei merupakan antara manusia pertama yang menggunakan teleskop untuk melihat ke langit. Beliau telah banyak menemukan fenomena-fenomena baharu seperti bulan-bulan di planet Musytari. Galileo mendapati terdapat 4 buah bulan yang mengorbit planet Musytari. Pada hari ini, bulan-bulan tersebut diberi nama Io, Europa, Ganymede dan Callisto. Keempat-empat bulan ini dikenali sebagai bulan-bulan Galileo. Impak daripada penemuan ini, model geosentrik mula dipersoalkan dan model heliosentrik mula mendapat sokongan. 

Fasa Planet Zuhrah

Selain daripada penemuan 4 bulan Musytari, Galileo juga mendapati bahawa planet Zuhrah mempunyai fasa-fasa yang mirip dengan fasa Bulan. Zuhrah mempunyai fasa sabit, fasa separa dan fasa hampir purnama. Hasil daripada penemuan ini, berserta dengan data-data cerapan sedia ada, model heliosentrik mula diterima, dan Zuhrah diletakkan sebagai planet ke-dua yang mengelilingi Matahari

Hukum Kepler

Pergerakan planet-planet sudah direkodkan selama beribu-ribu tahun. Namun penjelasan bagi pergerakan planet-planet ini masih belum diketahui sehinggalah Johannes Kepler mengutarakan 3 Hukum Pergerakan Planet, yang pada hari ini dikenali sebagai Hukum Kepler. Sebelum kemunculan Kepler, para ahli astronomi percaya bahawa kesemua planet berada pada orbit yang berbentuk bulat, dan mengelilingi Bumi. Kepler pula menyatakan bahawa orbit planet berbentuk elips dan mengelilingi Matahari. Kenyataan ini dikenali sebagai Hukum Kepler pertama. Selain itu, Kepler juga mengusulkan 2 lagi hukum lain yang membolehkan manusia untuk meramal kedudukan planet pada masa akan datang.

Total
15
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts