Dekad Baru Mula Tahun 2020 ke 2021 Sebenarnya?

Pada tahun 2000, ada beberapa perkara besar yang menggoyahkan tamadun manusia.

Yang pertama adalah ketakutan besar – besaran bahawa kiamat akan berlaku pada tahun 2000 yang dipanggil Y2K. Struktur dunia moden disangka akan runtuh, kapal terbang akan jatuh secara serentak di seluruh dunia, perang nuklear akan terletus, dan Nabi Isa akan turun sebagai tanda akhir zaman.

Tapi yang lebih besar daripada itu, pada tahun 2000 pernah berlaku satu peperangan antara umat manusia. Satu pertelingkahan besar – besaran antara dua kelompok Homo Sapien.

Iaitu perdebatan sama ada alaf baru ni bermula tahun 2000 ke tahun 2001, sebenarnya?

Tahun 2020

Tak sangka, pejam celik, pejam celik, kita sudah pun (hampir) memasuki tahun 2020, suatu angka yang dianggap agak istimewa bagi rakyat sebuah negara yang bernama Malaysia.

Selama berpuluh tahun kita diterapkan dengan satu wawasan bahawa 2020 adalah waktu keramat di mana Malaysia akan mencapai satu status negara maju. Dulu kita terbayang bandar kita dilingkari lebuh raya terapung, menara yang dua kali ganda lagi tinggi daripada KLCC, kita boleh parkir kereta guna lif!

Gambaran artis berkenaan wawasan 2020. Sebelah kiri tahun 1991, sebelah kanan 1997.

Namun realiti sebenar adalah … tak berapa … sama dengan imaginasi kita dulu – dulu…

Hei, tapi sekurang – kurangnya kita dah ada kereta terbang kan?

Aduhai … makin murung nak masuk tahun 2020 ni.

Selain daripada wawasan 2020, perkara lain yang rancak dibincangkan mengenai tahun 2020 adalah sama ada ia sebenarnya dekad yang baru ataupun tidak.

Untuk mengulangkaji, dekad adalah tempoh masa sepuluh tahun, abad 100 tahun, alaf 1000 tahun. Rata – rata sudah bersedia menyambut 2020 sebagai dekad yang baru, tapi ada juga golongan yang mengatakan dekad baru bermula tahun 2021. Menariknya, pandangan kedua ini sering dianggap janggal dan minoriti.

Kesnya samalah macam perubahan alaf baru yang ditulis pada awal artikel.

Kenapa boleh berlaku perselisihan begini, siapa yang betul?

Kekeliruan Kalendar.

Apabila kita menyebut tahun 2020, apa yang kita rujuki sebenarnya?

Kita hakikatnya merujuk kepada kalendar Masihi (atau dikenali sebagai kalendar Gregorian), yang secara tradisionalnya, dirangka bermula daripada kelahiran Nabi Isa, atau Jesus Christ. Masihi merujuk kepada Isa al – Masih.

Jadi tahun 2020, adalah 2020 tahun setelah kelahiran Nabi Isa. 2020 itu bukan umur bumi kita (harap tak ada yang percaya sebegini).

Dan asal usul konsep tahun 2020 ni berasal daripada seorang rahib yang bernama Dionysius Exiguus yang lahir pada tahun 470 Masihi di Romania. Dialah yang pertama mencadangkan supaya pengiraan tahun ni dimulakan daripada tarikh kelahiran Jesus. Maka terciptalah istilah anno Domini A.D, yang bermaksud ‘Tahun Tuan Kami’.

Tapi bermula dari sinilah beberapa kekeliruan mula timbul:

  1. Tarikh penetapan kelahiran Jesus tersebut salah. Menurut analisis moden sarjana Kristian, Jesus sebenarnya lahir lebih awal beberapa tahun sebelumnya.
  2. Dionysius tidak mengambil kira tahun sebelum kelahiran Jesus.
  3. Konsep pengiraan tahun sebelum kelahiran Jesus akhirnya muncul pada tahun 731 masihi hasil kerja Venerable Bede yang memanjangkan pengiraan tahun sebelum kelahiran Jesus sebagai B.C atau Before Christ.
  4. Masalahnya Bede tak mengambil kira tahun 0 dalam pengiraannya. Bermakna, tahun kelahiran Jesus adalah tahun 1 A.D, dan tahun sebelumnya adalah 1 B.C.

Ringkasnya, sebab kita tak bermula dengan tahun 0 dalam kalendar, tahun pertama sebenarnya berakhir pada akhir tahun 1 Masihi, bukan permulaannya.

Maka, dekad pertama dalam kalendar tamat pada akhir 10 Masihi. Abad pertama tamat pada penghujung 100 Masihi, dan Alaf pertama tamat pada penghujung tahun 1000 Masihi.

Jadinya, penghujung dekad kita sebenarnya adalah pada 31 Disember 2020, bukan 31 Disember 2019. Dekad baru bermula pada 1 Januari 2021.

Kalau nak sambut jugak dekad baru macam mana?

Kalau nak sambut dekad baru juga, dah janji dengan kawan nak datang sambutan besar – besaran dekad baru, atau dah beli cermin mata ‘2020 DEKAD BARUUU’ ke, jawapannya…

Boleh je, tak ada masalah. Suka hati kita la kot.

Sebab kalendar ni adalah satu konstruk sosial yang bergantung kepada tetapan masyarakat berdasarkan sejarah, agama, dan berdasarkan pilihan masyarakat.

Sudah pasti, pergaduhan ini hanyalah berlaku bagi mereka yang menuruti kalendar Gregorian yang berdasarkan kelahiran Nabi Isa (yang sebenarnya tak tepat pun, kalau ikutkan sekarang mungkin sepatutnya tahun 2025+ menurut tarikh kelahiran sebenar Nabi Isa).

Ia tak menjadi masalah bagi orang yang menuruti kalendar Hijrah contohnya yang berdasarkan tarikh Hijrah Nabi Muhammad SAW.

Jadi terpulanglah pada kita nak memilih kalendar yang mana untuk mentarikhkan hidup kita ….

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts