Manusia sentiasa cuba mengenali dan merekodkan makhluk – makhluk lain yang menjadi penghuni di muka bumi dengan harapan untuk berkenalan, memahami atau menggunakan mereka untuk kegunaan manusia.
Namun begitu, satu kejutan bagi spesis manusia adalah apabila mereka mendapati terdapat begitu banyak spesis makhluk yang mereka belum temui dan tak pernah lihat kewujudan mereka. Terlampau. Banyak.
Bilangan spesis mikrob yang hidup di Bumi dianggarkan lebih banyak daripada jumlah bintang di galaksi!
Dan yang lebih menyukarkan keadaan, adalah kita tak dapat nak tengok pun sebilangan besar hidupan seni tersebut sebab mereka terlampau kecil, kita tak nampak dengan mata kasar. Kita perlukan alatan khas seperti mikroskop untuk melihat dunia makhluk mikro / makhluk seni walaupun mereka hakikatnya memenuhi setiap sel tubuh kita.
Daripada makhluk – makhluk mikro yang ditemui pula, terdapat beberapa yang agak … pelik dan lain macam.
Berikut adalah antara 5 makhluk seni paling pelik yang direkodkan oleh saintis.
Sel Rumput Yang Tersenyum

Gambar di atas bukanlah alien yang kegembiraan apabila berjaya menculik manusia, sebaliknya ia adalah keratan rentas rumput Marram yang ditemui di padang pasir.
Keratan rentas daun rumput tersebut diberikan sentuhan fluorochromes Calcofluor M2R dan auramine O lantas menghasilkan imej yang bercahaya seperti di atas.
Muka pelik yang nampak seakan tersenyum ni adalah jaringan pengangkut pada daun rumput tersebut, mata itu adalah xylem yang mengangkut air, mulut itu pula adalah phloem yang mengangkut makanan.
Cuma walaupun gambar di atas kelihatan begitu gembira dan menyeronokkan, tidak semua senyuman rumput tersebut berimej riang.

Cacing Polychaete

Rakaman cacing Polychaete ini merupakan antara pemenang rakaman dunia mikroskopi Canon pada tahun 2018.
Tindak tanduk pelik haiwan tersebut sebenarnya adalah aksi memakan buruannya.
Disebabkan tubuhnya lutsinar, maka kita dapat lihat organ – organ dalamannya siap dengan benda yang dimakan itu.
Bakteria yang Sentiasa Menghadap Utara

Ada seorang ahli mikrobiologi yang tengah tengok sampel bawah mikroskop. Dia perasan suatu bakteria yang sentiasa bergerak ke satu arah tertentu pada slaid. Mulanya dia sangkakan bakteria tu respon pada cahaya, tapi bila diubah cahaya tu, tak ada beza.
Akhirnya setelah siri – siri eksperimen dilakukan, satu kesimpulan dibuat, bakteria tu memang sentiasa ke arah Utara.
Kenapa? Antara teorinya adalah bakteria tu memang suka ikut medan magnet bumi, macam mana setengah bakteria berenang ke arah lumpur, kutub utara tu adalah lumpur mereka.
Dan kemungkinan besar mereka tak akan mungkin sampai ke Kutub Utara idaman mereka tu, sedihnya.
Bacteriophage – Makhluk Asing Planet Bumi

Manusia hidup dalam ketakutan memikirkan kita mungkin ada diserang oleh alien daripada angkasa lepas pada bila – bila masa.
Tapi tak ramai yang sedar bahawa sebenarnya alien ini sudahpun wujud di muka bumi.
Bacteriophage yang nampak macam kapal angkasa alien ini adalah mesin pembunuh paling ganas di muka bumi yang bertanggungjawab membunuh trilion hidupan setiap tahun.
Tapi jangan risau, dia bukan bunuh manusia, tapi bakteria. Cuma bakteria. Setakat ini.
Phage ini melekat pada bakteria sasarannya dengan cara mencengkam menggunakan kakinya, kemudian menyuntik mangsa dengan jarum pada badannya. Melepaskan DNA dari kepalanya masuk ke dalam bakteria.
DNA itu melahirkan lebih banyak Bacteriophage, dan bakteria itu meletup, melepaskan keturunan bacteriophage baru untuk menyerang bakteria lain.
Ya, dengar memang sangat menakutkan tapi bacteriophage, makhluk pembunuh paling bahaya di dunia ini tengah berganding bahu dengan makhluk kedua paling berbahaya bumi – kita manusia, untuk melawan pasukan superbug – bakteria yang kebal antibiotik yang mungkin membunuh manusia lagi banyak daripada kanser pada masa depan.
Jadi mungkin lepas ni kita akan suntik kapal angkasa alien ni masuk dalam badan kita. Fuh..
Beruang Air, Makhluk Paling Kebal di Muka Bumi.

Tardigrade, atau beruang air mungkin kelihatan comel dan boleh dibuat bantal peluk, tetapi kebolehannya sangat mengejutkan, seperti superman dunia sebenar!
Tardigrade adalah makhluk yang paling kebal di muka bumi.
Dia boleh hidup di angkasa lepas, dalam gunung berapi, ais antartika, dan tempat bertekanan paling tinggi, di dasar laut terdalam!
Tardigrade merupakan haiwan paling kebal haba yang mampu hidup di kawasan sepanas 150°C atau sesejuk -200°C. Ia malah mampu hidup setelah dibekukan selama 32 tahun!
Dia boleh tahan radiasi 1000 kali ganda daripada manusia, boleh hidup tanpa air selama berpuluh – puluh tahun
Encik beruang air ini juga sudah wujud sejak 500 juta tahun lepas, bermakna mereka terselamat daripada 5 kepupusan besar dalam sejarah muka bumi.
Jangan pandang rendah pada makhluk comel!