Sistem suria adalah sebuah rumah yang kita tinggal di dalamnya sejak dari awal peradaban manusia. Setakat hari ini, masih belum ada manusia yang keluar dari sistem suria dan melawat ke sistem bintang yang lain. Dalam sistem suria inilah terletaknya planet yang didiami oleh manusia iaitu Bumi. Bumi yang penuh dengan kehijauan pokok-pokok dan kebiruan langit yang kita saksikan setiap hari. Bumi ini lah yang penuh dengan rezeki untuk kita, dari sudut makan minum, tempat tinggal, dan khazanah-khazanah ilmu. Bumi ini terletak dalam sistem suria.
Sistem suria kita ini ada sejarahnya. Berdasarkan kajian tentang batu-batuan di Bumi, Bulan dan meteor, kita dapat menyimpulkan bahawa sistem suria kita ini berumur dalam lingkungan 4.6 bilion tahun. Ini termasuklah ahli-ahli yang mendiami sistem suria kita seperti Matahari, planet-planet, bulan, komet, asteroid, meteor dan batuan-batuan kecil lain. Matahari berumur sekitar 4.6 bilion tahun, begitu juga dengan planet-planet yang ada.
Pluto Bukan Lagi Planet

Setakat hari ini, ada 8 buah planet yang telah ditemukan dalam sistem suria kita. Dahulu 9 planet, namun planet yang kesembilan iaitu Pluto telah dikeluarkan daripada senarai planet kerana ia tidak memenuhi kriteria baharu untuk planet. Bagi sesebuah jasad dikategorikan sebagai planet, ia perlu 3 kriteria berikut:
- Ia mesti mengorbit sebuah bintang (Matahari)
- Saiznya mestilah cukup besar supaya ia berbentuk sfera disebabkan tarikan graviti
- Kawasan orbitnya mestilah bebas daripada sebarang jasad yang hampir sama saiznya dengan jasad tersebut.
Berdasarkan kriteria-kriteria baharu ini, pluto tidak lagi dikira sebagai planet kerana ia tidak menepati syarat yang ketiga. Selain pluto, terdapat jasad-jasad lain yang dikenali sebagai plutino yang mendiami orbit yang sama dengan pluto.
Hanya 8 jasad sahaja yang menepati kriteria planet ini iaitu Utarid, Zuhrah, Bumi, Marikh, Musytari, Zuhal, Uranus dan Neptun. Namun, berdasarkan kajian terbaharu berkenaan dengan pergerakan objek-objek di kawasan lingkaran Kuiper[1], ahli astronomi menghipotesiskan kewujudan planet kesembilan yang masih belum ditemukan. Lingkaran Kuiper ialah kawasan batuan yang terletak selepas orbit planet Neptun. Planet kesembilan ini dijangka mengorbit Matahari pada orbit yang lebih jauh daripada Pluto dan mengambil masa lebih kurang 15 ribu tahun untuk membuat satu pusingan lengkap mengelilingi Matahari (Pluto hanya mengambil masa sekitar 248 tahun). Planet kesembilan ini juga dijangka mempunyai jisim yang lebih besar dari Bumi iaitu sekitar 5 hingga 10 kali ganda jisim Bumi[2].

Pencarian planet kesembilan
Planet kesembilan ini mula dihipotesiskan pada awal tahun 2016. Namun setelah 4 tahun teleskop-teleskop besar yang ada hari ini mencerap langit, masih belum ada yang menemukan planet kesembilan ini. Pencarian planet kesembilan ini tidak mudah. Disebabkan planet ini berada pada jarak yang sangat jauh iaitu lebih kurang 13 hingga 26 kali ganda saiz orbit Neptun, ia akan kelihatan sangat kecil. Neptun yang lebih besar dan dekat pun sukar untuk dicerap, dan hanya kelihatan seperti sebuah titik kecil dalam teleskop. Bukan itu sahaja, planet juga tidak memancarkan cahaya. Kita hanya dapat mencerap planet kesembilan ini jika cahaya yang dipantulkan oleh planet tersebut mempunyai kecerahan yang cukup tinggi untuk dikesan oleh teleskop-teleskop di Bumi. Jadi, di manakah planet kesembilan ini?
Kita masih belum tahu dengan tepat. Kiraan demi kiraan telah dilakukan bagi menentukan kedudukan sebenar planet kesembilan. Namun setelah dihalakan teleskop ke kawasan persembunyian planet kesembilan, kita masih gagal menemukannya.
Bagi yang berminat dalam bidang astronomi, bolehlah terjun dalam bidang ini dan bekerja untuk mencari planet kesembilan ini. Masih banyak ilmu berkaitan sistem suria kita yang belum kita ketahui lagi.
Penghapus Pluto dan Penemu Planet Kesembilan
Ahli astronomi yang terlibat dalam menghipotesiskan kewujudan planet kesembilan ini mempunyai sejarah yang menarik tentang diri beliau. Sejak 2006 sehingga kini, banyak ahli astronomi profesional dan amatur yang tidak berpuas hati dengan perlucutan gelaran planet bagi Pluto. Antara punca kriteria planet ini diusulkan adalah disebabkan oleh penemuan planet-planet lain di lingkaran Kuiper seperti Sedna dan Eris oleh kumpulan ahli astronomi yang diketuai oleh Michael Brown daripada California Institute of Technology (Caltech). Beliau adalah antara orang yang terlibat dalam melucutkan Pluto daripada senarai planet. Ironinya, beliau juga menghipotesiskan kewujudan planet kesembilan berdasarkan analisis beliau terhadap pergerakan jasad-jasad ‘planet kerdil’ yang beliau temukan.
Rujukan
[1] EVIDENCE FOR A DISTANT GIANT PLANET IN THE SOLAR SYSTEM; Konstantin Batygin and Michael E. Brown 2016 AJ 151 22, https://doi.org/10.3847/0004-6256/151/2/22 [2] OBSERVATIONAL CONSTRAINTS ON THE ORBIT AND LOCATION OF PLANET NINE IN THE OUTER SOLAR SYSTEM; Michael E. Brown and Konstantin Batygin 2016 ApJL 824 L23, https://doi.org/10.3847/2041-8205/824/2/L23