Ini 10 Negara Paling Kecil di dunia

Kita tahu bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara yang besar dibandingkan dengan negara-negara seperti China, Rusia dan USA. Namun kita juga tahu bahawa jiran-jiran terdekat kita adalah lebih kecil berbanding dengan Malaysia.

Negara jiran kita seperti Singapura dan Brunei adalah sangat kecil dibandingkan dengan negara kita. Malah, Singapura (721.5 km persegi) adalah lebih kecil berbanding dengan negeri terkecil di negara kita iaitu Perlis (819 km persegi). Namun, masih wujud negara yang lebih kecil berbanding Singapura. Malah, Singapura tak termasuk pun dalam senarai 10 negara terkecil di dunia! Jom kita kenali negara-negara terkecil di dunia ini.

Malta

Malta adalah sebuah kepulauan di selatan Eropah dan berada di Laut Mediterranean. Negara yang kesepuluh terkecil ini mempunyai keluasan sekitar 316 kilometer persegi dan ibu kotanya, Valletta merupakan ibu kota terkecil dalam Kesatuan Eropah dengan keluasan 0.8 kilometer persegi. Malta mempunyai sejarah yang panjang disebabkan oleh kedudukan geografinya yang berada di Laut Mediterranean. Kepulauan ini telah mula didiami lebih 7 ribu tahun lalu dan telah diterokai oleh berbagai tamadun seperti tamadun Greek, Rom, Arab dan British. Oleh sebab itu, terdapat banyak tinggalan bersejarah di negara ini sehingga mendapat pengiktirafan daripada UNESCO.

Maldives

Maldives adalah sebuah kepulauan kecil di selatan Asia dan terletak di Lautan Hindi. Negara ini mempunyai keluasan 300 kilometer persegi menjadikannya negara kesembilan terkecil di dunia. Dengan pantai yang menarik dilengkapi dengan kemudahan yang sangat baik, pelancongan merupakan sektor kedua terpenting dalam menjana ekonomi di negara ini selepas perikanan. Maldives adalah antara negara yang menjadikan Islam sebagai agama rasminya.

Saint Kitts and Navies

Sejujurnya, penulis belum pernah mendengar nama negara ini kecuali setelah mencarinya di Google. Saint Kitts and Navies merupakan sebuah kepulauan yang terletak di Hindia Barat dan termasuk dalam Antillen Kecil. Kepulauan Saint Kitts and Navies ini adalah antara tempat pertama di Carribean yang dijajah oleh penjajah dari Eropah. Negara ini menduduki tempat kelapan negara terkecil dengan keluasan sekitar 261 kilometer persegi.

Marshall Island

Marshall Island adalah sebuah kepulauan yang terletak di tengah Lautan Pasifik dengan keluasan 181 kilometer persegi. Disebabkan kedudukannya yang jauh di tengah Lautan Pasifik, Marshall Island hanya menerima kurang daripada 5 ribu pengunjung setiap tahun. Oleh itu, negara ini perlu bergantung kepada sumber lain untuk menjana ekonomi tempatan seperti perikanan dan penjanaan tenaga melalui sumber yang boleh diperbaharui seperti cahaya matahari dan angin. Walaupun saiznya yang kecil, pulau ini sebenarnya adalah negara yang mempunyai peratus lautan yang terbesar iaitu 97.87% negara ini terdiri terdiri daripada lautan.  

Liechtenstein

Liechtenstein adalah sebuah negara di Eropah yang terletak di antara negara Switzerland dan Austria. Negara kecil ini hanya berkeluasan 160 kilometer persegi namun kecantikannya tiada bandingan. Liechtenstein terdiri daripada kawasan pergunungan dan lembah menjadikannya seolah-olah seperti sebuah tempat dari kayangan.

San Marino

San Marino adalah sebuah negara di Eropah dan dikelilingi sepenuhnya oleh negara Itali. Namun negara ini bukanlah satu-satunya negara yang dikelilingi oleh Itali. Kita akan lihat sebentar lagi negara mana yang juga dikelilingi oleh Italy. San Marino hanya mempunyai keluasan 61 kilometer persegi! Namun ia merupakan antara negara yang mempunyai kekayaan yang tak terbanding. Negara ini adalah satu-satunya negara yang mempunyai pemilikan kereta yang lebih banyak berbanding bilangan rakyatnya sendiri.

Tuvalu

Tuvalu adalah satu lagi kepulauan yang terletak di Lautan Pasifik dengan keluasan 26 kilometer persegi. Negara ini terdiri daripada beberapa pulau dan pulau terbesarnya ialah Funafuti. Disebabkan kedudukan geografinya yang sangat terasing, negara ini tidak dikunjungi pelancong seperti negara-negara lain. Tidak banyak benda yang boleh dilakukan di negara ini. Malah banyak penduduk di sini keluar bekerja di negara lain seperti New Zealand dan Australia.

Nauru

Nauru adalah sebuah negara yang berjiran dengan negara yang keempat dalam senarai ini namun mempunyai keluasan 21 kilometer persegi. Nauru mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Ia kaya dengan sumber alam semula jadi iaitu fosfat. Sekitar tahun 1950-an, Nauru mula menggali sumber fosfat dengan agresif dan mula memperoleh kekayaan dengan cepat. Namun sumber ini tidak berkekalan. Sekitar 1980-an, sumber fosfat di Nauru mula berkurang dan tidak mampu lagi menampung negara ini selain kegagalan menguruskan harta negara. Akhirnya, negara ini mula mengalami kemerosotan ekonomi.

Monaco

Monaco kerap kali disalah anggap bahawa ia adalah sebahagian daripada Perancis. Ini kerana Monaco dikelilingi oleh Perancis pada setiap sempadan kecuali di bahagian pesisir pantai yang bersempadan dengan Laut Mediterannean. Negara kecil ini mempunyai keluasan hanya 2.1 kilometer persegi. Walaupun kecil, negara ini adalah antara yang terkaya di dunia. Hampir 30 peratus daripada rakyat negara ini adalah jutawan!

Vatican City

Vatican adalah tidak asing lagi bagi mereka yang belajar tentang sejarah Islam dan Eropah kerana Vatican adalah tempat tinggal bagi pemerintah tertinggi dalam agama Kristian Katolik, Pope. Negara ini terletak betul-betul di tengah kota Rom dan hanya bersaiz 0.44 kilometer persegi. Di sinilah tempat Pope dipilih dan juga tempat Pope memberi arahan ke seluruh masyarakat Kristian sejak zaman empayar Rom dahulu.

Rujukan

  1. https://www.holidayme.com/explore/10-smallest-countries-in-the-world/
  2. https://www.holidayme.com/explore/10-smallest-countries-in-the-world/
  3. https://www.cia.gov/library/publications/the-world-factbook/geos/rm.html
  4. https://thereader.mitpress.mit.edu/dark-history-nauru/
Total
294
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts