Tonton versi video di sini
Pelajar Malaysia dengan periksa memang dah macam kacang dengan kulit. Mana tidaknya, peperiksaan bermula sejak darjah satu! Sekurang – kurangnya kita hadapi periksa 4 kali setahun. Bermakna jika anda ambil SPM, anda sudah ambil periksa paling kurang 40 kali.
Banyak tu!
Tapi tak cukup lagi, sebab anda akan hadapi lagi peperiksaan – peperiksaan pra – uni, diploma, A – level dan sewaktu ambil sarjana 3 ke 5 tahun.

Dalam berpuluh – puluh peperiksaan yang kita ambil itu pula ada beberapa peperiksaan besar peringkat kebangsaan semacam UPSR, PMR (sebelum diganti PT3), dan SPM. Peperiksaan seragam peringkat antarabangsa pula seperti A – level dan International Baccalaureate.
Peliknya, kalau ditanya semua orang apa perkara paling dibenci waktu zaman sekolah, pasti peperiksaan akan dapat sekurang – kurangnya senarai tiga teratas. Sistem yang dibenci secara ijmak ini bagaimanapun diteruskan tanpa ada isyarat akan dihentikan dalam masa terdekat.

Maka berkumandanglah soalan berikut setiap kali beberapa hari sebelum peperiksaan:
“Kenapa kita periksa?”
Dari Mana Datang?
Untuk menjawab soalan kenapa, biasanya kita kena telusuri dulu sejarah dan cerita panjang soalan kita. Dalam kes peperiksaan, kena tahu dari mana datang, sejak bila?
Sejarawan jejak sistem peperiksaan ini berasal dari China. Ya, China. (Patutlah stereotaip asian genius tu wujud)
Dari awal abad ke – 7, Kerajaan China bentuk satu peperiksaan awam bernama Keju. (Tak, tak ada lawak pasal susu terfermentasi tu. Artikel ini ada standard)
Tujuan peperiksaan ini, adalah untuk lahirkan penjawat awam yang berkedudukan tinggi, supaya dapat berkhidmat dengan maharaja.
Sistem peperiksaan ini pula sangat susah, dan sangat penting sebab ujian inilah yang akan tentukan masa depan, kedudukan hierarki dalam masyarakat dan gaji. Lantaran kepentingan untuk berjaya dalam peperiksaan ini, lahirlah lah pula aktiviti peniruan dalam peperiksaan. Macam sekaranglah, penulis tak buat lah tapi.
Cuma bezanya, orang yang kena tangkap meniru, boleh kena hukum bunuh di situ juga. Kalau Kementerian Pendidikan buat sistem gini sekarang entah berapa lama entah kena kecam netizen.
Dalam dunia Islam pun ada sistem ujian sebenarnya, contohnya cikgu – cikgu yang akan menguji hafazan Quran anak murid. Dalam bidang hadis pula, di Kairouan, pelajar yang lepasi pendidikan dan ujian hadis akan diberi sijil bernama Bil Haq al – Riwayah yang bermaksud ‘kebenaran untuk meriwayatkan hadis’

Pernah dengar tak istilah Bil Haq al Riwayah ni? Macam biasa dengar pula kan? Menurut Dr Bilal Philips, istilah Bil Haq al Riwayah kemudian dipinjam orang Barat dan diubahsuai menjadi Baccalaureate.
Jadi untuk pelajar International Baccalaureate, ini asal usul Diploma pelik ‘pressure cooker’ yang anda ambil dua tahun tu.

Maka sistem peperiksaan ini sebenarnya berasal dari Timur, hanya pada abad ke – 19 lah Barat mula guna pakai sistem ini.
Kelakarnya, beberapa abad kemudian, semua orang Timur pula kemudian guna pakai pula model ‘peperiksaan Eropah’.
Ini adalah kes klasik cikgu yang menjadi anak murid.
Di Malaysia pula, peperiksaan besar peringkat negara bukanlah sesuatu yang lama. Ia sistem yang agak baru apabila diwujudkan pada tahun 1980 – an. SPM peringkat seluruh Malaysia pula bermula pada tahun 1987.
Kenapa Periksa?
Jadi kita sudah bincangkan sedikit tentang sejarah periksa. Bolehlah kita mula menjawab soalan kenapa kita periksa.
Ada 2 dimensi jawapan untuk soalan ini, ada jawapan mudah, dan jawapan yang mendalam, menyentuh tentang sistem.
Versi mudahnya, peperiksaan digunakan untuk mengukur perkembangan pelajar. Macam mana nak tau pelajar belajar sesuatu dan bukan menganga tengok halkum cikgu? Kita beri dia ujian. Kalau pelajar tu boleh jawab, kita tahulah dia belajar.

Ujian juga boleh tolong kita untuk tolong pelajar dalam akademik. Kalau dia gagal dalam ujian sains, boleh lah kita tahu yang dia lemah sains. Maka boleh lah kita beri dia intervensi.
Itu jawapan mudah yang biasa kita dengar, iaitu berkisar tentang anak murid. Tapi sebenarnya sistem peperiksaan ini pergi lagi dalam, apabila ia bermain dalam arena negara dan dunia.
Sistem peperiksaan berkembang dahsyat sebab nak memenuhi permintaan revolusi industri yang seolah – olah memarketkan sistem pendidikan. Timbul di sini satu watak utama yang baru dalam perbincangan kita – data.
Antara fungsi sistem peperiksaan adalah nak membolot sebanyak mungkin data akademik pelajar, sebagaimana model syarikat korporat yang nak membolot sebanyak mungkin data pelanggan dan bakal pelanggan.
Jadi macam mana orang atasan nak dapatkan data sebanyak mungkin?
Rasanya kita semua pernah alami sendiri jawapan dia, ia dengan mereka kumpulkan puluhan ribu pelajar dari seluruh negara, suruh mereka beramai – ramai ambil satu peperiksaan besar – besaran yang standard, semua orang jawab set soalan yang sama, dan berpusat – biasanya di bawah kawalan dan seliaan Kementerian Pendidikan negara tersebut.

Jadi kerajaan (atau badan swasta) nak kumpulkan sebanyak mungkin data pendidikan pelajar. Tapi data pendidikan yang macam mana?
Cerita tentang pelajar Tingkatan 5, Abu tolong kawan dia belajar fizik pukul 3 pagi? Cerita tentang Minah gagal matematik banyak kali tapi tak pernah berhenti jumpa cikgu?
Data mestilah senang dikira, objektif, kuantitatif dan kompak. Cerita – cerita di atas, walaupun menyentuh hati, tak boleh dimuatkan dalam sijil. Jadi semua nilai pendidikan perlu dikecilkan dalam bentuk abjad: A B C D dan nombor : CGPA 3.5 atau 4.0 dll.

Jadi apabila dah dapat banyak data yang boleh dikira ini, apa yang boleh dibuat? Banyak. Data tersebut boleh dianalisi, diproses, dan distatistikkan untuk:
- Tentukan standard pendidikan bertambah baik atau buruk. Kalau satu Malaysia gagal SPM, maksudnya tak tidur malamlah Menteri Pendidikan.
- Kawal masuk kemasukan dan perpindahan pelajar ke pusat pengajian. Sijil peperiksaan menjadi seolah – olah passport ke pusat pengajian tinggi.
- Semak pencapaian sekolah, subjek dan guru.
- Bantu pentadbiran untuk buat polisi pendidikan. Sama ada nak kekal, macam UPSR, tambah baik macam SPM, dan rombak terus macam PMR.
Maksudnya banyaklah faedah peperiksaan ni! Mesti tak ada orang komplen kan? Mesti yang merungut kata peperiksaan ni tak baguslah, stress, rosakkan nilai pendidikan, ini semua mengada – ngada je betul? Memanglah banyak kau orang merungut, sebab gagal periksa, kan?
….
Masalah Sistem Peperiksaan
Sebenarnya masalah dengan sistem peperiksaan memang banyak dibincang dan ditulis dalam buku dan jurnal akademik. Siap ada gerakan lagi yang nak minta dibatalkan langsung sistem peperiksaan peringkat kebangsaan.
Krisis dengan sistem peperiksaan ini adalah pada 3 dimensi:
- Masalah dengan pelajar
- Masalah dengan sistem
- Masalah dengan pembelajaran
Peperiksaan sangat ditakuti oleh pelajar sebab sifatnya yang ‘high stake’. Peperiksaan yang kita ambil mungkin sekali saja seumur hidup digunakan untuk tentukan masa depan, masuk universiti mana, kerja apa, biasiswa berapa, jumlah hutang, jadi mana tak tertekan?
Masalah tekanan periksa sangat menjadi – jadi di negara Asia semacam China, sampai ada fenomena exam fever, iaitu kemurungan yang melampau bila menjelang peperiksaan, hinggalah membawa pada membunuh diri.

Peperiksaan juga bertanggungjawab mengecap cap ‘gagal’ dalam kalangan budak – budak berumur seawal 7 ke 8 tahun. Dan ini sudah pasti akan datangkan masalah psikologi apabila mereka meningkat dewasa.
Menarik juga, apabila peperiksaan menghierarkikan pelajar, memisahkan mereka mengikut martabat dan kategori. “Top scorer” akan duduk kelas atas dan “low scorer” duduk kelas bawah. Maka akan wujudlah isu antara dua darjat, top scorer akan terus maju, sedangkan low scorer akan terus corot.
Dari segi sistem, lantaran pelajar terdesak dan tertekan nak skor tinggi kerana itulah penentu nilai diri mereka, maka kes meniru makin lama makin teruk. Ye lah, orang kampung pun tak kisah faham atau tidak apa yang mereka belajar, yang paling penting berapa A dalam sijil. Maka baik meniru je asalkan tak kena tangkap, kan?
Dan sebab keputusan peperiksaan sangat – sangat dipandang penting, timbul banyak bisnes tuisyen semata – mata untuk bantu skor periksa. Itu saja tujuan penubuhan mereka.
Dan kewujudan buku – buku pelik macam buku skema jawapan tumbuh macam cendawan lepas hujan. Dalam buku tu memang tiada lain melainkan beratus – ratus soalan, skema jawapan, markah jawapan, tahun soalan tu pernah keluar periksa. Buku inilah yang pelajar pegang tiga hari sebelum periksa, dihafal, ditekap atas kepala dan tasmik!

Peperiksaan juga mengusutkan nilai pelajar menjadi semata – mata gred dan nombor. Apabila setiap kali lepas periksa orang kampung akan bertanya ‘berapa A’ atau ‘berapa CGPA’. Mereka tak bertanya seronok atau tidak belajar, subjek mana paling suka, atau cikgu mana yang paling mereka sayang.

Bagaimanapun yang paling merisaukan adalah kesan peperiksaan terhadap pembelajaran dan ilmu.
Kita bukan lagi belajar kerana ilmu, tapi kerana periksa dan terpaksa.
Kita belajar untuk cari cara memaksimakan markah periksa, bukan untuk memahami ilmu.
Kita menghafal ilmu untuk dimuntahkan balik dalam peperiksaan. Bila habis periksa, kita lupa semua.
Dan kita abaikan semua ilmu yang tak ada dalam periksa. Kita tekan suis tutup bila cikgu kata ‘ini tiada dalam periksa’.
Kesimpulan
Apabila dikorek, pasti kita akan kesan 1001 masalah dengan sistem periksa. Namun hakikatnya walau sebanyak mana pun masalah dengan sistem tersebut, ia sukar dipertikai dari segi praktikalnya. Tambahan pula, amat sukar untuk kita datangkan satu sistem baru berskala besar untuk ganti daya komprehensif dan pragmatik sistem peperiksaan.
Namun ada satu cara mudah untuk kita semua, selaku pelajar, untuk buat, dan kena buat.
Jangan meniru.
Kerana walau sesusah manapun soalan, walau berapa banyak kali pun kita gagal, walau sebesar manapun harapan mak ayah nak tengok kita skor, jangan sekali – kali meniru.
Sebab walau seberapa banyak pun sistem pelajaran kita berubah, akan ada satu kebenaran yang tak akan bertukar.
Ilmu itu datang dari Allah, dan Allah lah yang akan jadi penguji akhir dan pemberkat ilmu kita.