Lohong Cecacing: Penjelajahan laju daripada cahaya

Ramai dari kita sudah tentu pernah menonton animasi Doraemon. Doraemon boleh mengeluarkan pelbagai alat ajaib dari poketnya. Antara alatan yang sering dikeluarkan ialah doko demo doa ataupun lebih dikenali dalam bahasa Melayu sebagai pintu ke mana saja. Pintu ke mana sahaja membolehkan Doraemon, Nobita dan rakan-rakan mereka yang lain untuk mengembara ke tempat yang jauh dalam sekelip mata sahaja. Secara fizikal, pintu ke mana sahaja ini mirip dengan lohong cecacing atau wormhole.

Lohong cecacing ialah satu terowong yang menghubungkan dua kawasan yang terpisah dalam ruang-masa. Ia dihipotesiskan pada tahun 1935 oleh Albert Einstein dan muridnya Nathan Rosen. Pada awalnya, hipotesis ini dikenali sebagai jambatan Einstein-Rosen dan kemudian dipopularkan sebagai lohong cecacing .

traveling space travel GIF by Matthew Butler

Bayangkan jika kita mampu menggunakan jalan pintas untuk menjelajah ke London atau mengembara merentas galaksi dalam sekelip mata. Walaupun kita telah menemui banyak objek yang menakjubkan di angkasa seperti planet luar suria atau planet ekso, pengetahuan kita hanya terhad kepada kaca mata teleskop kita.

Kita belum mampu mengkaji objek-objek ini dengan lebih dekat. Satelit angkasa lepas buatan kita yang paling jauh pun belum melepasi 1 tahun cahaya dari kita. Jika wujud lohong cecacing, bukan sahaja kita boleh mengkaji objek-objek di angkasa dengan lebih mendalam, tetapi kita juga mampu menggunakan jalan pintas untuk ke tempat yang berjuta-juta tahun cahaya. Namun persoalannya, apakah wujud lohong cecacing?

Bagi menghubungkan dua ruang-masa yang terpisah, ruang-masa perlu dilengkungkan. Berdasarkan teori kerelatifan am yang diperkenal oleh Albert Einstein, sesuatu objek yang mempunyai ketumpatan tinggi akan melengkungkan ruang-masa. Antara objek yang mempunyai ciri ini ialah lohong hitam. Lohong hitam merupakan tinggalan bintang berjisim tinggi. Jisim tersebut ditumpu pada satu ruang kecil, sehingga menghasilkan lohong hitam yang sangat tumpat. Oleh sebab itu, lohong hitam melengkungkan ruang-masa dengan lengkungan yang dalam.

Salah satu lohong hitam yang kita ketahui dengan agak mendalam ialah lohong hitam supermasif di pusat galaksi kita. Lohong hitam ini dikenali sebagai Sagittarius A* atau dengan singkatan Sgt A*. Adakah lohong hitam Sgt A* merupakan lohong cecacing? Sekumpulan ahli fizik mengesyaki bahawa Sgt A* mungkin merupakan sebuah calon lohong cecacing yang menghubungkan dua lokasi dan masa yang berbeza di alam semesta kita, atau mungkin menghubungkan alam semesta kita dengan alam semesta yang lain.

Dengan melihat kepada pergerakan bintang-bintang yang mengorbit Sgt A*, ahli-ahli fizik ini dapat meramal sama ada Sgt A* merupakan lohong cecacing atau bukan. Bintang yang menjadi tumpuan ahli-ahli fizik ini ialah bintang S2 yang mengorbit pada 17 jam cahaya dari Sgt A*. Jika bintang ini menunjukkan orbit yang diramalkan, maka Sgt A* disyaki ialah sebuah lohong cecacing. Namun setakat ini, teknologi teleskop pada hari ini belum mampu mencerap pada kejituan yang diperlukan.

Jika lohong cecacing benar-benar wujud, akan muncul pula persoalan baharu seperti pengembaraan masa, pengembaraan melebihi halaju cahaya dan sebagainya. Persoalan-persoalan ini akan membuka ruang kepada kajian yang berterusan dalam bidang fizik.

Total
14
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts