FOLDSCOPE – Mikroskop Origami Yang Boleh Dipasang Anak 7 Tahun!

Penulis masih teringat kali pertama menggunakan mikroskop di sekolah rendah. Perasaan meneroka dunia makhluk seni, melihat sel kulit, meneliti gambaran besar struktur badan nyamuk sememangnya seakan ajaib.

Tak sangka, pada badan kita terdapat satu ‘bumi’ lain yang dipenuhi berbilion penghuni – penghuni dengan sistem hidup masing – masing seakan – akan bandaraya KL malah mungkin lebih rumit! Yang lebih menakjubkan adalah, kita tak tahu menahu langsung tentang segala macam penghuni – penghuni ini, apa nama mereka, apa mereka buat dalam badan kita?

bacteria microbes GIF by University of California
Comelnya, boleh berkenalan?

Pengalaman inilah yang mula mencampakkan rasa minat untuk meneroka dunia ciptaan Ilahi. Sains mula menjadi subjek kegemaran. Inilah bidang untuk kita mengenal alam dan segala macam jiran – jiran yang menetap dalam tubuh kita!

Tapi untuk mengkaji dunia mikro ini tak senang. Walaupun lebih hebat daripada sekalian kamera di atas muka bumi, Tuhan jadikan mata kita ini terhad, tidak mampu melihat sang bakteria dan sel kecil di dunia mikro. Kita perlukan mikroskop.

Antara mikroskop yang digunakan di makmal. Ia berat, besar dan mahal.

Mikroskop pula mahal, besar dan berat. Untuk gunakannya perlu tunggu giliran di makmal sekolah. Sukar nak dibawa ke mana – mana. Bagaimana nak jadi pengembara alam mikro jika hanya boleh gunakan mikroskop dua kali seminggu, di makmal saja?

Menariknya, semua masalah ini berjaya diselesaikan oleh satu ciptaan hebat Foldscope.

Foldscope – Mikroskop Origami

Foldscope

Foldscope merupakan ciptaan mikroskop yang diperbuat daripada … jangan terkejut … kertas! Ya, rupa – rupanya mikroskop tidak semestinya mesti dalam bentuk besi yang kita biasa lihat.

Foldscope dihasilkan oleh Manu Prakash dan Jim Cybulski sewaktu menyambung pengajian PhD di Stanford Universiti. Mereka dapati mikroskop tradisional begitu berat, besar dan mahal. Ini menyebabkan banyak komuniti di kawasan pedalaman tidak dapat menggunakannya lantas menyukarkan mereka untuk menjadi pengkaji dunia makhluk seni.

Rasa ingin tahu manusia untuk mengkaji sains tidak sepatutnya terhalang atas sebab kemiskinan!

Kemudian timbullah satu idea untuk menghasilkan mikroskop yang bukan saja murah, tetapi ringan dan boleh dibawa ke mana – mana dan digunakan sesiapa saja. Maka terlahirlah Foldscope, mikroskop origami yang membuka pintu eksplorasi sains kepada keseluruhan komuniti di dunia.

Pemasangan Foldscope yang Seronok

Sesi pemasangan Foldscope

Disebabkan foldscope ini diperbuat daripada kertas, maka pemasangannya sememangnya sama seperti proses menghasilkan origami. Dan rasanya ramai orang bersetuju bahawa menghasilkan origami sememangnya seronok!

Satu set foldscope datang dengan kit pemasangan dan arahan untuk menyiapkan sebuah foldscope.  Setiap bahagian kertas telah ditandakan dengan jelas, dan menariknya, tiada gunting diperlukan.

Sesi pemasangan foldscope sememangnya sangat disukai oleh kanak – kanak. Anak kecil berumur 7 tahun juga boleh menghasilkan mikroskop origami sendiri!

Sudah tentu, terdapat banyak bahan rujukan di internet yang disediakan untuk membantu pemasangan, andai kita anda alami kesulitan.

Kembara Dunia Mikro dengan Foldscope

Melihat spesimen dengan Foldscope

Disebabkan harganya yang murah dan pemasangan yang mudah, maka mungkin ada yang menganggap bahawa kualiti pembesaran imejnya rendah.

Sebenarnya tidak! Foldscope miliki kualiti optik yang sama dengan mikroskop kajian konvensional (dengan pembesaran sebanyak 140X dan resolusi 2 mikron). Imej makhluk seni yang boleh dilihat adalah sama dengan mikroskop biasa di pasaran.

Maka peneroka boleh mengambil apa – apa saja spesimen yang mereka mahu di mana – mana saja (termasuk bulu kucing, tapi minta izin dulu, kasihan dia). Spesimen kemudian boleh diletakkan pada slaid yang disediakan dan dilihat menerusi kanta.

https://www.facebook.com/FantaSains/videos/2358603870929791/

Lebih menarik, adalah imej organisma mikro yang dilihat menerusi kanta tersebut boleh dirakam dengan hanya menggunakan telefon pintar. Dekatkan kanta kamera telefon pintar anda pada kanta foldscope (perlu ada sumber cahaya), dan anda boleh merakam, dan zoom pada imej tersebut seraya mempamerkannnya pada ibu bapa dan guru!

Melihat spesimen melalui skrin telefon pintar menerusi kanta Foldscope

Terdapat juga satu komuniti khas pengguna foldscope bernama microcosmos. Anda boleh muat naik rakaman makhluk seni anda dan lihat dapatan ribuan pengguna lain di seluruh dunia.

Oh, antara cabaran terbesar bagi setiap pengguna foldscope adalah untuk mencari beruang air (tardigrade) yang merupakan si comel kecil paling kebal dalam dunia. Jika anda jumpa, pastikan anda memuat naik dan kongsikan pada pengguna lain!

Dapatkan Foldscope

Foldscope boleh didapati pada harga serendah RM20 dan terdapat banyak aksesori lain yang anda boleh dapatkan.

Bagi pengedar rasmi di Malaysia, anda boleh dapatkan Foldscope menerusi laman web foldscope.com.my.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts