Jantan Alpha yang Gagah dan Berani!

Bila bercakap tentang jantan alpha, kita mesti membayangkan seekor haiwan yang ganas, besar, gagah dan berani. Malah sifat-sifat yang lain seperti pembuli, menindas, kejam dan diktator juga boleh dikaitkan dengan jantan alpha. Sifat-sifat ini selalu dikemukakan di dalam dunia haiwan yang sangat mencabar dan boleh dikatakan ‘savage’. Kalau kita lihat rantaian makanan di kawasan sekolah seperti daun dimakan ulat, ulat dimakan oleh burung, burung dimakan ular, ular dimakan orang (eh), kita tidak akan nampak dunia haiwan ni begitu ganas.

Tetapi kalau kita lihat di Benua Afrika, barulah kita boleh membayangkan seekor singa yang membaham rusa gazelle dengan ganas dan berlumuran darah. Ataupun melihat buaya membaham dengan ganas kepala wildebeest ke dalam sungai. Ini barulah kategori ganas. Dan semestinya yang menjuarai rantaian makanan adalah jantan alpha pada setiap spesies haiwan tersebut*.

Jadi berbalik kepada persoalan asal, apakah perkara asal yang perlu dilakukan oleh jantan alpha?

Mungkin anda pernah mendengar singa jantan tidur selama 16 jam sehari [1]. Ia adalah benar, hal ini disebabkan mereka aktif pada waktu malam. Malah mungkin anda juga sangka senangnya hidup sebagai jantan alpha, tidur banyak boleh terus layak. Sebenarnya tidak begitu, tugasn sebenarnya lagi berat. Jantan alpha boleh didefinisikan sebagai seekor jantan yang menguasai kawanan, dan betina alpha adalah seekor betina yang menguasai kawanan. Hanya seekor sahaja ketua yang berkuasa dalam satu kawanan.

Frans de Waal, seorang pengkaji kelakuan chimpanzee di Amerika telah menterjemahkan semula terma jantan alpha dengan ciri-ciri yang sebenar. Beliau berkata dalam Ted Talk beliau pada tahun 2017 berkenaan tajuk ‘alpha male’ [2]. Beliau menunjukkan 2 ciri utama seekor chimpanzee jantan alpha;

  1. Berdiri tegap dengan tangan di sisi (bipedal swagger)
  2. Ada pakatan dengan dalam kawanan (coalition)

Seperti gambar di bawah, ada beberapa kesimpulan kecil yang dapat dibuat. (1) jantan alpha dalam gambar tersebut bukanlah yang paling besar dalam kumpulan beliau, tetapi antara yang paling handal bergaduh. (2) Beliau ada pakatan sendiri yang terdiri dari kelas yang lain seperti Izaki (rambut kuning) dari kelas C. Kedua-dua ciri ini adalah contoh jelas pada seorang jantan alpha.

Kemudian kita nak kenalpasti apakah lagi yang menjadikan seseorang itu jantan alpha. Frans de Waal menjelaskan lagi bahawa, jantan alpha adalah seorang yang pemurah. Mereka akan cuba berbaik-baik dengan semua pihak untuk mendapat sokongan sebelum dan semasa menjadi jantan alpha. Gambar dibawah menjelaskan secara menyeluruh tentang ciri-ciri jantan alpha. Contohnya Dato’ Seri Najib Tun Razak kelihatan memegang bayi dan terlihat agak kekok dalam gambar tersebut, namun ia memberi petunjuk bahawa Perdana Menteri Malaysia ke-6 ini sedang prihatin kepada rakyat. Beliau sedang membina hubungan baik kepada semua rakyat. Ia adalah ciri jantan alpha untuk memimpin kawanan dan dalam gambar ini memimpin rakyat.

Gambar Dato’ Seri Najib Tun Razak sedang mendukung bayi di Kuantan pada tahun 2014. (Sumber : Sinar Harian)

Apa manfaat jadi jantan alpha?

Kalau dalam dunia haiwan, alpha male dapat mengawan dengan betina yang lebih ramai. Kelebihan mengawan ini akan melahirkan anak, dan pengukuran kepada kejayan kepada haiwan adalah keberjayaan melahirkan anak dan mengekalkan genetic individu jantan alpha dalam kawanan dan spesies. Itu adalah pengukur kepada kejayaan dalam dunia haiwan. Kemudian dapat menguasa sumber makanan, jantan alpha akan ditakuti oleh jantan dan betina yang lain, maka eksploitasi sumber makanan akan lebih mudah bagi jantan alpha tersebut. Yang ketiga adalah kawasan rayau. Jantan alpha seperti harimau, singa dan pemangsa yang lain memerlukan kawasan rayau yang luas mengikut spesies. Menjadi jantan alpha akan memberi kelebihan untuk mencari makanan pada kawasan yang lebih luas.

Tapi apa je tanggungjawab jantan alpha ni?

Ada 2 tanggungjawab besar iaitu; (1) mengawal kawanan dan (2) menjadi empati. Ini dibuktikan oleh Frans de Waal dalam kajian chimpanzee, yang mana jantan alpha akan meleraikan sebarang konflik yang wujud dalam kawanannya. Penyelesaian konflik akan mengukuhkan lagi jawatan jantan alpha dalam kawanan. Bukan sahaja perlu menyelesaikan konflik, tetapi perlu mengkucar-kacirkan pakatan yang ada dalam kawanan anda. Sebarang pakatan lain dalam kawanan akan menjadi ancaman kepada jawatan jantan alpha.

Bagi bahagian menjadi empati pula, ia bertujuan untuk meraih populariti dalam kawanan dan disukai ramai. Malah ia adalah tanggungjawab kepada jantan alpha untuk kekal iaitu menjaga kepentingan ahli kawanan.  Chimpanzee jantan alpha akan lebih kerap menyisir bulu chimpanzee betina, bergerak bersama mantan jantan alpha dan lebih kerap bermain dengan bayi chimpanzee.  Dua perkara ini akan menjadikan jantan alpha itu lebih lama kekal dalam kawanan dan disayangi sehingga ia mati.

Dua ekor kera (M. fascicularis) sedang bermain-main di atas ranting pokok

Ditulis oleh:

Najmuddin Bin Mohd Faudzir

Pelajar PhD (Primatologi),

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

*Terdapat pengecualian bagi spesies haiwan yang diketuai betina alpha seperti dubuk dan bonobo.


Sumber:

[1] Haas, S. K., Hayssen, V., & Krausman, P. R. (2005). Panthera leo. Mammalian Species, 762, 1–11. doi:10.1644/1545-1410(2005)762[0001:pl]2.0.co;2 

[2] Frans de Waal. (2017). The surprising science of alpha males | Frans de Waal. Youtube video. Dipetik pada 05 Mei 2020. Sumber : https://www.youtube.com/watch?v=BPsSKKL8N0s

Total
3
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts