10 Perkara Menarik tentang Alam Semesta

Alam semesta ini sangatlah besar dan tak terjangkau dek akal memikirkannya. Ia dipenuhi oleh berbilion-bilion bintang, galaksi, lohong hitam, dan segala jenis objek yang wujud di angkasa. Banyak khazanah alam semesta ini dikaji oleh ahli-ahli fizik dan astronomi yang kita tidak tahu. Oleh itu, jom kita baca artikel ini berkenaan dengan 10 fakta menarik tentang alam semesta yang anda mungkin tidak tahu!

1. Alam semesta sedang mengembang

Lebih 100 tahun lalu, ahli fizik dan astronomi menyangka bahawa alam semesta ini adalah statik dan tidak berubah termasuklah Albert Einstein. Kemudian pada tahun 1929, Edwin Hubble, seorang ahli astronomi British mendapati bahawa hampir kesemua galaksi bergerak menjauhi galaksi kita, Bima Sakti. Daripada penemuan ini, ahli fizik dan astronomi mengusulkan sebuah model kelahiran alam semesta iaitu model Letupan Besar (Big Bang). Berdasarkan model ini, alam semesta ini bermula dari sebuah titik kecil dan mengembang kepada alam semesta yang kita lihat pada hari ini.

2. Alam semesta mempunyai umur 13.7 bilion tahun

Alam semesta kita ini mempunyai permulaannya sama seperti manusia. Namun manusia yang hidup hari ini, paling tua pun lahir sekitar awal abad ke 20. Sudah tiada lagi manusia yang hidup sebelum tahun 1900. Namun alam semesta kita lebih tua dari segala yang terdapat di dalamnya. Berdasarkan kajian mengenai taburan dan pergerakan galaksi, para ahli astronomi menghitung umur alam semesta pada nilai 13.7 billion tahun! Ini bermakna, peristiwa Letupan Besar berlaku pada 13.7 bilion tahun lalu.

3. Alam semesta mempunyai saiz diameter 93 billion tahun cahaya

Jadi, umur alam semesta kita ialah 13.7 bilion tahun. Bagaimana pula dengan saiznya? Ini juga menjadi tanda tanya dalam kalangan ahli astronomi. Lalu mereka pun menghalakan teleskop mereka ke angkasa untuk melihat pergerakan galaksi-galaksi yang dapat dilihat. Berdasarkan pencerapan ini, ahli astronomi menganggarkan bahawa saiz diameter alam semesta yang dapat dilihat ialah 93 bilion tahun cahaya atau 880 septilion meter iaitu 880 diikuti oleh 24 kosong dibelakangnya. Fuh. Besar tu!

4. Cahaya mempunyai kelajuan 300 juta meter sesaat

Galaksi dan bintang yang dapat dilihat oleh teleskop-teleskop di Bumi, datang dalam bentuk cahaya. Malah, semua yang kita lihat ini, adalah disebabkan oleh cahaya yang masuk ke mata kita. Kita mungkin sangka bahawa cahaya ini adalah sekelip mata. Namun pada hakikatnya, cahaya juga mempunyai kelajuannya yang tersendiri iaitu 300 juta meter sesaat. Oleh sebab itu, bintang-bintang yang kita lihat di angkasa sebenarnya adalah keadaan bintang-bintang tersebut di masa lampau. Semua yang kita lihat adalah masa lampau.

5. 98% daripada jirim di alam semesta ialah hidrogen dan helium

Apabila kita mendongak ke langit malam yang jauh dari pencemaran cahaya dan tanpa gangguan awan, kita dapat lihat beribu-ribu bintang bertaburan di langit. Bintang-bintang ini terdiri daripada pelbagai gas, namun lebih 90% daripada gas di dalam bintang ialah unsur hidrogen dan helium. Kedua-dua unsur hidrogen dan helium ini wujud ketika kelahiran alam semesta iaitu ketika peristiwa Letupan Besar.


6. Alam semesta tidak mempunyai bunyi

Salah satu deria daripada lima deria manusia ialah pendengaran. Di kawasan bandar, telinga kita dapat mendengar bunyi-bunyi kereta yang meluncur di jalan raya. Di kawasan kampung pula, kita dapat mendengar bunyi-bunyi burung bersiul. Bagaimana pula dengan bunyi di alam semesta? Sebenarnya, alam semesta ini sangatlah sunyi. Jika kita ke angkasa, kita tak dapat mendengar apa-apa pun. Ini kerana bunyi dihasilkan oleh getaran pada udara. Disebabkan angkasa ini ialah vakum, maka bunyi tidak dapat dipindahkan di angkasa.

7. 96% alam semesta tidak dapat dilihat

Teleskop-teleskop yang ada pada hari ini mempunyai saiz yang sangat besar. Malah ada yang mencecah 10 meter saiz cerminnya. Namun, tidak semua yang ada di alam semesta, dapat dicerap oleh teleskop-teleskop ini walaupun saiznya sebesar Bumi. Ini kerana alam semesta kita dipenuhi oleh 2 entiti yang tidak diketahui oleh ahli astronomi iaitu tenaga gelap dan jirim gelap. Kedua-dua entiti ini hanya diketahui kewujudannya melalui kesan graviti kepada objek yang dapat dilihat. Dengan melihat pada kesan graviti ini, ahli astronomi menyimpulkan bahawa semua yang dapat kita lihat melalui teleskop hanyalah 4 peratus daripada keseluruhan isi kandungan alam semesta! 96 peratus lagi masih misteri.

8. Suhu alam semesta ialah -270°C

Permukaan matahari mempunyai suhu sekitar 5 ribu darjah Celcius. Bumi pula mempunyai suhu purata 15 darjah Celcius. Bagaimana pula dengan alam semesta? Alam semesta juga mempunyai suhunya yang tersendiri iaitu sekitar -270 darjah Celcius. Namun suhu ini bukanlah malar. Ketika alam semesta mula lahir daripada letupan besar, suhunya mencecah jutaan darjah Celcius. Setelah ia berkembang, suhu ini mula menurun sehinggalah suhu -270 darjah Celcius sekarang.

9. Alam semesta dipenuhi oleh ruang kosong (lowong)

Tanpa cahaya matahari, kita dapat lihat kegelapan langit di malam hari yang dihiasi oleh cahaya-cahaya kerdipan bintang. Apabila kita meneroka ke angkasa, meninggalkan galaksi kita, alam semesta ini dipenuhi oleh ruang kosong yang langsung tidak mempunyai apa-apa. Beginilah keadaan alam semesta kita pada skala yang besar. Sebahagiannya dipenuhi oleh galaksi dan kluster galaksi. Manakala sebahagian lain pula hanyalah ruang kosong yang tidak mengandungi apa-apa pun. Jika anda tiba-tiba terperangkap di sini, hanya kegelapan yang ada!

10. Kita Tidak Tahu Penghujung Alam Semesta

Eh? Fakta nombor 3 mengatakan bahawa alam semesta mempunyai saiz diameter 93 bilion tahun cahaya. Maksudnya ia ada penghujung lah kan? Jawapannya ialah saiz 93 bilion tahun cahaya tersebut merujuk kepada alam semesta yang dapat dilihat. Cahaya yang sampai ke mata teleskop-teleskop di Bumi, paling jauh ialah 93 bilion tahun cahaya. Jadi, apa yang ada di sebalik itu? Jawapannya ialah kita tidak tahu. Namun berdasarkan model Letupan Besar, kemungkinannya ialah disebalik ‘penghujung’ alam semesta ini ialah galaksi-galaksi juga. Alam semesta kita tidak berpenghujung.

Begitulah serba sedikit maklumat berkenaan alam semesta yang mungkin kita tidak tahu. Namun ini bukanlah segala-galanya. Alam semesta ini mengandungi terlalu banyak khazanah untuk ditulis dalam sebuah artikel. Sama-samalah kita berfikir dan mengkaji betapa banyaknya khazanah yang belum diteroka.

Rujukan

  1. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC314128/
  2. https://www.amazon.com/Introduction-Cosmology-Barbara-Ryden/dp/0805389121
Total
534
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts