Sifar : Genap atau ganjil?

Sifar merupakan angka atau nombor yang kita pelajari sejak kecil lagi. Kita sering menggunakan angka sifar dalam kehidupan seharian. Misalnya, sifar sentiasa muncul pada wang kertas yang kita gunakan. Namun begitu, terdapat satu persoalan yang sering dilontarkan. Adakah sifar nombor genap atau nombor ganjil?

Sejarah Sifar

Sifar mula diketahui oleh Tamadun Sumeria kira-kira 5000 tahun yang lalu. Mereka memperkenalkan sistem pengiraan bagi memudahkan mereka mencatat bilangan haiwan ternakan mereka. Tamadun Sumeria menggunakan simbol tertentu bagi mewakili nilai sifar.

Sekitar tahun 650 M, Brahmagupta yang merupakan seorang ahli matematik India menjadi orang pertama yang memformalkan operasi aritmetik menggunakan sifar. Dia menggunakan simbol titik di bawah nombor untuk mewakili angka sifar.

Pada abad kesembilan, Muhammad ibn-Musa al-Khawarizmi merupakan orang yang pertama menyelesaikan persamaan yang sama dengan sifar, atau aljabar sepertimana yang kita ketahui sekarang. Al-Khawarizmi menyebut sifar sebagai ‘sifr’ dan menjelang tahun 879 M, sifar ditulis dalam bentuk yang hampir seperti yang kita ketahui sekarang iaitu berbentuk lonjong. Simbol ini kekal dan digunakan sehingga ke hari ini.

Nombor Genap Dan Ganjil

Sebelum kita membahaskan sama ada sifar merupakan nombor genap atau ganjil, eloklah sekiranya kita mendefinisikan apa itu nombor genap dan ganjil.

Nombor genap merupakan nombor yang boleh dibahagi dengan dua atau dengan erti kata lain, nombor yang tidak akan memberikan baki apabila dibahagi dengan dua. Sebagai contoh 2,4,6,8,..

Nombor ganjil pula merupakan nombor yang tidak boleh dibahagi dengan dua iaitu nombor-nombor yang akan mempunyai baki apabila dibahagi dengan dua. Sebagai contoh, nombor 1,3,5,7,… .

Sekarang, mari kita pelajari apa yang akan berlaku apabila kita melakukan operasi tambah, tolak, darab ke atas nombor ganjil dan nombor genap.

Dalam jadual-jadual di atas, kita dapat lihat apabila satu nombor genap ditambah ke satu nombor genap, kita akan mendapat nombor genap semula. Manakala sekiranya nombor ganjil ditambah ke nombor genap, kita akan mendapat nombor ganjil. Namun, untuk operasi pendaraban pula, mana-mana nombor yang didarabkan dengan nombor genap akan menghasilkan nombor genap dan hanya hasil darab dua nombor ganjil akan menghasilkan nombor ganjil.

Sifar, ganjil ke genap?

Sekarang mari kita bahaskan topik utama artikel ini iaitu sifar, nombor genap atau nombor ganjil?

Sebagaimana yang kita tahu, nombor genap merupakan nombor yang boleh dibahagikan dengan 2. Jadi, mari kita bahagikan nombor 0 dengan 2.

 0 apabila dibahagikan dengan 2, hasilnya adalah 0. Jadi, berdasarkan definisi nombor genap di atas, maka sifar sebenarnya merupakan nombor genap!

Rujukan

  1. https://www.scientificamerican.com/article/what-is-the-origin-of-zer/#:~:text=The%20first%20recorded%20zero%20appeared,the%20end%20of%20the%20eighth.
  2. https://yaleglobal.yale.edu/history-zero
  3. https://www.splashlearn.com/math-vocabulary/number-sense/even-and-odd-numbers
  4. https://www.britannica.com/story/is-zero-an-even-or-an-odd-number

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts