“Kenapa banjir teruk ni? Selalunya tak banjir macam ni di Selangor walaupun musim tengkujuh. Ni mesti banjir kilat.”
Pasti ramai yang tertanya-tanya dengan situasi semasa banjir di Negeri Selangor kan. Jom kita cuba dapatkan sedikit pencerahan daripada beberapa dapatan di bawah.
Tekanan Rendah di Tengah Semenanjung
Berdasarkan penerangan pakar Meteorologi Negara, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah di Astro Awani semalam, seorang pengguna Facebook, iaitu Saudara Arif Atan telah menyimpulkannya dalam satu penulisan di Facebook beliau.
Satu faktor yang menyebabkan berlakunya keadaan hujan dan banjir di Selangor ialah curahan hujan kali ini yang dikatakan empat kali ganda lebih banyak daripada biasa disebabkan oleh tekanan rendah di tengah Semenanjung. Tekanan rendah ini telah menjana hujan secara besar-besaran, yang berlaku di Banjaran Titiwangsa. Kemudian, air hujan ini telah masuk ke sungai-sungai utama di Selangor yang menyebabkan sebahagian besar sungai di paras bahaya. Sungai Selangor yang mengalir dari Kubu Bharu di Timur, dan masuk ke Selat Melaka di Kuala Selangor pun berada di paras bahaya. Lebih memburukkan lagi apabila kawasan Klang berhadapan dengan air pasang besar.
Fenomena banjir kali ini di Selangor dikatakan bukan banjir kilat, tetapi menyamai banjir besar yang pernah melanda Pantai Timur pada tahun 2014. Menurut Prof. Azizan lagi, jumlah hujan terlalu lebat ini memang tidak mampu ditampung oleh Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (Lebuhraya SMART).
Boleh dengar penerangan lanjut di pautan berikut : https://www.astroawani.com/video-malaysia/banjir-terburuk-aspek-dari-sudut-pakar-meteorologi-1940461
Susulan penerangan ini, Saudara Arif Atan telah membuat penambahan info untuk mencerahkan lagi tahap kritikal keadaan sekarang. Menurut beliau, lebuhraya SMART ini bukan calang-calang dengan ukuran panjangnya 9.7 KM itu. Ini merupakan terowong lecongan air yang terpanjang di Asia Tenggara dan kedua terpanjang di Asia. Dengan keadaan Lebuhraya SMART sudah tidak mampu menampung jumlah hujan kali ini, maka, dapat dibayangkan bagaimana impak tekanan rendah beserta curahan hujan empat kali ganda telah berlaku di kawasan tulang belakang Semenanjung-Banjaran Titiwangsa sekarang ini.

Kehadiran Taufan Rai
Penerangan lanjut juga dibuat oleh dua halaman Facebook iaitu Mat Geo dan Omen Necrofis, yang kemudiannya disimpulkan oleh seorang pengguna Facebook, Puan Marhalis Hasan.
Menurutnya, kehadiran taufan telah membawa kepada banjir besar yang berlaku ketika ini. Kebiasaannya, hujan monsun di akhir tahun hanyalah memberi impak kepada Terengganu, Kelantan, Johor dan Pahang. Tetapi, keadaan di Lembah Klang yang turut terkesan adalah kerana hujan yang berlaku sekarang bukannya hujan monsun biasa.
Taufan Rai yang berkelajuan sehingga 260 km/j yang membadai bahagian Selatan Filipina pada tiga hari yang lepas telah menolak pusaran angin laut China Selatan menghampiri Semenanjung membentuk sebuah sistem depresi tropika DT29, iaitu satu bentukan gangguan cuaca dalam musim taufan Pasifik Barat. DT29 ini telah terperangkap di tengah Selat Melaka kerana kekuatannya belum mencukupi untuk bergerak laju, yang menyebabkan ia berlegar lama di perairan luar Selangor. Hal ini telah menyebabkan hujan lebat silih berganti dengan angin kencang di laut dan berpanjangan di kawasan ini. Keadaan ini menyebabkan empangan utama seperti Langat, Semenyih dan Klang Gates perlu melepaskan air bagi mengelakkan strukturnya terlalu lama menampung beban yang melebihi kapasiti. Sekiranya keadaan ini berterusan, ia bakal mengakibatkan gerakan gempa dan pecah.

Boleh baca penerangan lanjut di pautan berikut :
- Halaman FB Mat Geo : https://m.facebook.com/mymatgeo/?refid=52&__tn__=%2As-R
- Halaman FB Omen Necrofis : https://m.facebook.com/omen.necrofis?refid=52&__tn__=%2As-R
Berkenaan fakta Taufan Rai ini, Prof. Datuk Dr. Azizan Abu Samah juga ada menyebut perihal taufan ini yang menjadi punca kepada bencana yang berlaku di Selangor sekarang.
Susulan Keadaan di Selangor
Membaca pantauan dan perkembangan lanjut tentang situasi semasa di Selangor, seorang pengguna Facebook, saudara Muhammad Syafiq menyatakan bahawa kedudukan sel tekanan rendah yang menjadi faktor utama hujan berterusan di kebanyakan kawasan yang sebelum ini berada di perairan Selat Melaka berhampiran Perak dan Selangor, kini telah bergerak ke arah utara Selat Melaka berpandukan kepada unjuran model ramalan. Kedudukan pusat sistem dikatakan berada di perairan Perak dan Pulau Pinang yang menyebabkan hujan lebat kini lebih tertumpu di Perak dan negeri-negeri utara yang lain serta negeri Pantai Timur. Menjelang esok, keadaan cuaca dijangkakan akan beransur pulih seperti sediakala di kebanyakan kawasan.

Boleh baca lanjut tentang penulisan beliau di pautan berikut :
https://www.facebook.com/groups/3023712334585054/permalink/3149153398707613/
Walaubagaimanapun, perubahan situasi semasa akan sentiasa berlaku. Semua rakyat Malaysia perlu sentiasa berhati-hati dan kekal waspada dengan keadaan semasa.
KESIMPULAN
Sebagai seorang muslim, kita beriman bahawa setiap sesuatu kejadian itu berlaku dengan kehendak-Nya. Maha Kuasa Allah, tiada sesiapa dapat mengatasinya. Maka, teruslah berdoa memohon kepada-Nya agar dihentikan musibah ini.
Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri mengajarkan kepada kita dalam postingnya baru-baru ini di laman Facebook beliau tentang satu kisah yang berlaku pada zaman Baginda Rasulullah S.A.W. Dalam kisah tersebut, seorang lelaki telah mendatangi Rasulullah S.A.W dan memohon doa daripada Baginda S.A.W agar Allah SWT menghentikan hujan yang sudah berlarutan selama seminggu sehingga berlaku kerosakan pada jalan dan harta.
Maka, Rasulullah S.A.W berdoa :

Maksudnya : “Ya Allah! (Kami bermohon agar hujan hanya) mengelilingi kami dan bukannya menimpa ke atas kami. Ya Allah! (Alihkan ia) ke atas tempat-tempat tinggi, gunung-ganang dan bukit-bukau, perut-perut lembah, dan tempat tumbuhnya pokok-pokok.”
Lalu, berhentilah hujan dan keluarlah matahari.
Oleh itu, ayuh perbanyakkan doa, istighfar, dan memohon ampun daripada-Nya di kala ini.
Semoga Allah redakan musibah ini dan berikan kekuatan serta kesabaran buat mangsa-mangsa banjir di seluruh Malaysia. Sesungguhnya setiap kejadian itu, pasti terselit hikmah-Nya. Maka, teruslah positif dengan Allah dan bertawakal kepada-Nya. Sesungguhnya hanya Dia Yang Maha Esa berkuasa untuk menyembuhkan sesuatu di dunia ini.
Kredit : Facebook Saudara Arif Atan, Saudara Muhammad Syafiq dan Puan Marhalis Hasan.