NAK ‘GRAD ON TIME’? INI CARANYA UNTUK PELAJAR RAIH HATI PENYELIA!

Pejam celik pejam celik. Dah nak sampai hujung semester dah. Buat pelajar pascasiswazah, waktu nilah kelajuan paling maksimum digunakan bagi memastikan garis masa kajian atas landasan yang benar. Objektif utama untuk ‘grad on time’ mesti dicapai!

Tapi, macam mana kalau kerja semua dah setel, tersekat pula di peringkat penyelia? Macam mana ni?! 

Jom kita baca satu perkongsian oleh Dr. Aid Fawzal mengenai situasi ini.

PENULISAN DR. AID FAWZAL

Dalam satu perkongsian Dr. Aid baru-baru ini untuk menjawab aduan seorang rakan follower yang DM beliau menceritakan permasalahannya dengan penyelia persis seperti yang dibangkitkan di awal penulisan ini, beliau telah berkongsi perkara utama yang perlu difahami oleh setiap pelajar pascasiswazah dan satu tips untuk menghadapi situasi ini.

PERKARA YANG PERLU DIFAHAMI OLEH PELAJAR PASCASISWAZAH

Pelajar perlu faham bahawa tanggungjawab seorang penyelia bukan hanya bersyarah kepada pelajar. Tetapi, mereka juga mempunyai lambakan tugasan lain yang perlu diselesaikan.

Antara tugasannya ialah 

1. Mereka bertanggungjawab untuk menyediakan modul, soalan peperiksaan dan kertas cadangan (proposal).

2. Mereka bertanggungjawab untuk menjalankan kajian akademik.

3. Sebahagiannya bertanggungjawab untuk menjadi penasihat/konsultan industri .

Terdapat juga tugasan-tugasan lain yang perlu diselesaikan oleh mereka, tetapi tidak disebutkan dengan terperinci.

Dalam hal menyelia projek para pelajar, tugasan ini hanyalah salah satu tugas daripada tugas-tugas penting yang lain. Malah, seliaan tidak hanya berlaku pada seorang pelajar kerana kebiasaannya seorang penyelia itu akan ada beberapa orang lagi pelajar lain yang diselia dalam masa yang sama.

Lalu, bagaimana ingin meraih perhatian mereka?

KAEDAH MENDAPATKAN PERHATIAN PENYELIA 

Kaedah yang paling utama untuk mendapatkan perhatian penyelia adalah dengan mengajak mereka untuk mengadakan pertemuan (meeting).

Dr. Aid Fawzal telah berkongsi pengalamannya ketika beliau masih bergelar pelajar. Kaedah inilah yang telah digunakan dan sangat berkesan.

Beliau menyatakan bahawa, mereka hanya mengadakan satu pertemuan santai di kedai kopi. Ketika itulah, beliau mengambil kesempatan untuk meminta penyelianya menyemak kerja-kerjanya, sementara beliau pergi membeli kopi. Usai beliau membeli kopi, kerjanya pun sudah selesai disemak.

Beliau amalkan kaedah ini sedari beliau di peringkat ijazah Sarjana Muda sehinggalah ke peringkat Doktor Falsafah. Amalan ini tidak hanya memudahkan kerjanya sebagai seorang pelajar, tetapi juga mengukuhkan hubungan yang baik antara beliau dan penyelia.

ZAMAN KERJA DARI RUMAH

Namun, di fasa pandemik ini, pergerakan kita semakin terbatas untuk ke sesuatu tempat atau mengadakan sebarang pertemuan. Oleh itu, pelajar perlu memanfaatkan teknologi yang ada sebagai medium utama pertemuan secara maya dan menyelesaikan setiap tugasan dengan lancar.

Sudah tentu sepanjang berurusan bersama penyelia, adab dan batas itu perlu dijaga. Setelah selesai sesi, jangan lupa untuk sebutkan kata keramat ‘terima kasih’ kepada penyelia atas kesudian meluangkan masanya. Malah, mesej atau emelkan juga ucapan ‘terima kasih’ kepada penyelia setiap kali berhubung untuk sebarang urusan.

KESIMPULAN

Dr. Aid menutup perkongsiannya dengan menitipkan satu pepatah yang perlu dititikberatkan oleh para pelajar.

“Yang tua dihormati, yang muda disayangi.”

Pepatah ini memberi satu mesej bahawa penghormatan yang diberikan kepada penyelia, pasti akan menatijahkan disayangi oleh mereka.

Amacam? Semangat tak lepas baca ni? Mesti semangatkan! Terus bergerak, jangan tangguh-tangguh. Paling utama, teruskan berdoa kepada Allah supaya penyelia dibukakan hati untuk utamakan kerja korang untuk disemak. Jangan sedih-sedih okay! (sambil senyum dengan semanis-manisnya).

Semoga korang terus berjaya di lapangan masing-masing!

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts