Strategi Pertahanan Lebah Jepun dalam Mengalahkan Tebuan Gergasi

Antara diet pemakanan tebuan gergasi ialah pupa lebah. Pupa lebah ini pastinya banyak di dalam sarang lebah. Disebabkan ini tebuan gergasi lebih suka mencari sarang lebah kerana mereka tahu di dalam sarang itu terdapat beribu pupa lebah yang pastinya lebih daripada cukup untuk menjadi makanan bagi sang ratu dan anak-anak tebuan gergasi.

Foto 1 : Kepala tebuan gergasi

Lebah Jepun pastinya amat berbeza dengan lebah Eropah kerana mereka lebih sensitif terhadap perubahan persekitaran menyebabkan peladang tidak beberapa menyukai untuk menternak lebah Jepun. Tetapi, lebah Jepun juga mempunyai kelebihan yang tidak ada pada lebah Eropah. Kelebihan tersebut ialah strategi pertahanan mereka yang lebih bagus dalam mengalahkan tebuan gergasi.

Apabila tebuan gergasi menjumpai sarang lebah Jepun, lebah Jepun tidak seperti lebah Eropah yang akan keluar cuba melawan tebuan gergasi. Sebaliknya, mereka terus menyorok di dalam sarang. Manakala, terdapat beberapa ekor lebah Jepun kelihatan teragak-agak dan berhati-hati cuba mengumpan tebuan gergasi untuk masuk ke dalam sarang lebah Jepun. Hal ini menyebabkan tebuan gergasi memberanikan diri memasuki sarang lebah Jepun untuk cubaan membunuh.

Foto 2: Tebuan gergasi masuk ke dalam sarang lebah Jepun

Tanpa tebuan gergasi sedar, sebenarnya dia sedang diperhatikan dengan berhati-hati oleh semua lebah Jepun. Apabila tebuan gergasi masuk ke dalam sarang belum ada sebarang reaksi diberikan oleh lebah Jepun. Lebah Jepun hanya melihat tebuan gergasi perlahan-perlahan masuk ke sarang.

Apabila tebuan gergasi itu mulai menerkam seekor lebah Jepun yang berhampiran dengannya dan cuba membunuh lebah Jepun tersebut, inilah yang menjadi titik mula bagi lebah Jepun untuk bertindak.

Semua lebah Jepun yang berada dalam sarang dengan berani terbang ke arah tebuan gergasi yang menyerang rakan mereka itu. Beribu lebah Jepun mengerumuni setiap sisi tebuan gergasi. Tebuan gergasi kini terkepung sepenuhnya sehingga tidak nampak sedikit pun tubuh badannya. Tebuan gergasi pastinya cuba berhempas pulas melawan tetapi lebah Jepun terlampau banyak.

Serangan berkumpulan lebah Jepun ini menyebabkan suhu badan tebuan gergasi meningkat sehingga mencecah 46°C. Keadaan ini mengakibatkan tebuan gergasi kini seolah-olah dipanggang hidup-hidup oleh lebah Jepun. Maka, berakhirlah riwayat tebuan gergasi.

Foto 3 : Lebah Jepun mengerumuni tebuan gergasi sehingga mati

RUJUKAN

  1. Japanese bees cook enemy in ‘bee ball’. ABC Science. https://www.abc.net.au/science/articles/2012/04/03/3470076.html
  2. Asian giant hornet. Wikipedia. https://en.wikipedia.org/wiki/Asian_giant_hornet

Total
31
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts