Dunia Tamat 2038?

Tiada siapa yang tahu bila tarikh hari kiamat. Tiada. Itu adalah satu rahsia yang hanya diketahui oleh Allah.

Tetapi ada beberapa waktu dalam lembaran sejarah manusia di mana suatu tarikh tertentu dianggap sebagai tarikh bakal berlakunya kiamat. Setakat ini, semua tarikh yang dikemukakan itu ternyata salah (melainkan kita semua dah mati lah sebenarnya tanpa sedar).

Antara beberapa tarikh yang pernah dikatakan bakal berlakunya kiamat yang kemudian ternyata gagal semuanya:

  1. 1891. Ramalan pengasas agama Kristian Mormon bahawa Jesus akan turun pada tahun 1891 lantas memulakan Kiamat.
  2. 1910. Kedatangan komet Halley yang dianggap mungkin membunuh hidupan bumi dengan gas beracun.
  3. 1999. Ramalan ahli tukang tilik paling terkenal dalam sejarah, Nostradamus bahawa bulan 7 tahun 1999 akan turun Raja Ketakutan dari langit.
  4. 2000. Juga dikenali sebagai Y2K. Untuk jimatkan memori, tahun digital dipersembahkan dalam bentuk 2 digit akhir, contoh 1998 dipersembahkan sebagai 98. Maka apabila tahun berubah daripada 19XX kepada 2XXX, ramai menjangkakan akan berlaku glitch digital besar – besaran memandangkan komputer jam komputer tidak dapat membezakan antara tarikh 2000 dengan 1900. Tiada siapa tahu apa yang akan berlaku, tetapi ramai yang meramalkan bencana besar – besaran seperti kapal terbang jatuh dari langit, masalah elektrik besar – besaran dan holokaus nuklear.
  5. 2008 & 2011. Paderi Kristian Ronald Weinland dan Harold Camping masing – masing membuat ramalan bahawa kiamat akan berlaku pada tahun – tahun tersebut.
  6. 2012. Mungkin tarikh yang mencetuskan ketakutan paling besar dunia moden. Kalendar Maya kuno dikatakan meramalkan tarikh tamat dunia sebagai 21 Disember 2012, kerana itu adalah penghujung kalendar mereka. Ketakutan terhadap tarikh ini diperbesar ke seluruh dunia menerusi filem kiamat 2012 (yang ditayang tahun 2009).

Dengan rekod ramalan tarikh tamat dunia yang berderetan salah, walaupun melibatkan tokoh dan peradaban terbesar dalam sejarah, kita jangkakan tiada lagi cadangan tarikh kiamat yang bakal dikemukakan.

Tetapi sebenarnya terdapat beberapa tarikh lagi yang disebut bakal menyebabkan ‘sesuatu yang besar’ pada masa depan. Antara yang menarik adalah tarikh 2038 (Y2K38 Problem)

Masalah 2038

‘Tarikh kiamat’ pada tahun 2038 dapat diramal dengan sangat tepat. Iaitu pada pukul 03:14:07 tarikh 19 Januari 2038.

Detik tersebut adalah waktu tamatnya masa … bagi sistem komputer 32 bit.

Sama dengan masalah Y2K, masalah 2038 adalah berkaitan dengan masalah menayangkan masa pada sistem digital, yang diakibatkan oleh muatan yang tidak mencukupi bagi jenis data yang dipilih.

Sistem pemproses 32 bit dalam komputer hanya dapat mengendalikan nilai sebanyak 2^32, iaitu sebanyak 4,294,967,295 nilai. Kita bahagi dengan dua untuk nilai positif dan negatif, maka jumlah nombor maksimum yang dapat dikendalikan oleh sistem 32 bit adalah sebanyak 2,147,483,648 nilai, tolak satu untuk nombor 0 maka kita dapat 2,147,483,647 nilai.

Dalam sistem komputer kita pula terdapat jam yang tertanam yang kerjanya adalah mengira setiap saat yang berlalu. Jam ini ditentukan bermula pada 1 Januari 1970 pukul 12 a.m UTC (Coordinated Universal Time – Waktu Universal Selaras) dengan nilai 0. Ia kemudian terus mengira setiap saat tanpa henti. Pengiraan masa digital ini dipanggil Masa Unix yang digunakan secara meluas pada sistem digital seluruh dunia.

Dan disebabkan jam itu mengira dengan nombor 32 bit, ia miliki satu titik tamat. Ia akan tamat setelah ia mencapai nilai 2,147,483,647 saat daripada titik mulanya pada tahun 1970, iaitu pada 19 Januari 2038.

Had pengiraan ini seperti mengira nombor 6 dengan menggunakan sebelah tangan. Bilangan jari tidak cukup untuk mengira nombor 6.

Apa akan berlaku seterusnya? Dijangkakan jam itu akan beranjak kepada nilai negatif, iaitu ia akan melompat ke belakang kepada tahun 1901. Sudah pasti, ini akan mengakibatkan masalah besar pada sistem komputer (dan masalah pada kita, sebab kita terpaksa menghadap Perang Dunia 1 dan 2 semula).

Apabila tiba tarikh 19 Januari 2038, waktu kembali semula kepada tahun 1901

Gangnam Style – Bukti Masalah 32 Bit

Masalah dengan had pengiraan 32 bit ini pernah dibuktikan berlaku oleh artis Korea yang menari seakan menunggang kuda – Psy (dah macam tak dengar berita dah sekarang).

Pada tahun 2012 (Ya Allah dah dekat 8 tahun dah rupanya) seluruh dunia digegarkan dengan video muzik tular Gangnam Style yang digilai waima di ceruk – ceruk perkampungan orang Asli.

Begitu ramai orang yang menonton, sehingga video ini menjadi video pertama yang mencecah 1 bilion tontonan di Youtube. Namun kemudian perkara yang pelik berlaku setelah jumlah tontonan mencecah ‘nombor magis’ 2,147,483,647, nombor itu tersekat dan tidak bertambah.

Hal ini kerana jumlah tontonan itu telah pun mencapai had jumlah nombor integer 32 bit. Ketika Youtube dibangunkan belasan tahun lalu, mereka tidak terbayang pun sebuah video pada platform mereka akan mencapai jumlah tontonan melebihi had 32 bit! Bagi menyelesaikan masalah ini, Youtube terpaksa menaiktaraf sistem pengiraan tontonan mereka kepada 64 bit. Platform ini kini mampu menampung jumlah tontonan sebanyak 9,223,372,036,854,775,808 atau 9 quintillion tontonan.

Apa Kesannya?

Pepijat (bug) Y2K38 ini jika tidak diselesaikan akan memberi kesan buruk kepada semua sistem, aplikasi, dan kebanyakan sistem dalaman yang menggunakan format 32 bit untuk menunjukkan masa. Sistem – sistem ini akan kehabisan masa lantas gagal berfungsi dengan betul.

Disebabkan kita semua hidup dikelilingi oleh teknologi digital, maka glitch ini dijangka akan memberi kesan buruk, jika tidak malapetaka besar kepada kita. Apa yang mungkin berlaku adalah catuan elektrik besar – besaran, kegagalan sistem sokongan hidupan hospital, masalah sistem perbankan, satelit tumbang daripada orbit dan lain – lain. Mungkin.

Sistem yang paling terkesan adalah sistem dalaman yang direka untuk bertahan seumur hidup mesin. Sistem – sistem ini biasanya cuma disimpan di ceruk – ceruk mesin, bank, hospital, lapangan terbang, dan dibiarkan berjalan tanpa penyelenggaraan, kemas kini, dan dilupakan begitu saja. Sangat tidak mustahil menjelang tahun 2038, masih terdapat sistem 32 bit yang digunakan untuk melakukan proses pengiraan kritikal seperti di bank dan hospital.

Namun jika pengalaman mengajar kita, kemungkinan besar tiada apa yang besar bakal terjadi pada tarikh 19 Januari 2038 itu. Sewaktu panik melanda dunia pada ketika Y2K, ternyata masalah – masalah yang berlaku cumalah kecil. Loceng kecemasan di kilang nuklear Onagawa berbunyi dua minit setelah tengah malam tanpa sebab, mesin tiket bas di Australia gagal beroperasi, 150 slot kasino rosak. Kesan terbesar adalah apabila penilaian Down Syndrome dihantar kepada 154 wanita mengandung di Sheffield, UK sehingga mengakibatkan dua bayi digugurkan. Tiada kapal terbang yang jatuh.

Apa Penyelesaiannya?

Terdapat beberapa penyelesaian bagi masalah ini, tapi penyelesaian sejagat masih belum ditemui.

Penyelesaian paling ketara, seperti yang dilakukan Youtube, adalah dengan menaiktaraf sistem pengiraan kepada 64 bit, yang mampu menampung sebanyak 18 quintillion nilai integer. Dengan sistem 64-bit ini, jam digital mampu mengira dengan lebih lama sebelum temui hadnya, iaitu ia akan tamat pada pukul 3:30:08 pm pada tarikh 4 Disember, Tahun 292,277,026,596. 292 bilion tahun dari sekarang. Hmm cukup lah tu kot.

Penyelesaian lain adalah menggunakan integer 32 bit tanpa tanda. Ini dapat memanjangkan tempoh pengiraan kepada tahun 2106. Tetapi ini akan memberi kesan kepada program yang menyimpan, mengambil atau memanipulasikan nombor sebelum tahun 1970, kerana tarikh tersebut dinyatakan dengan nombor negatif.

Sekarang masih terdapat 18 tahun sebelum tahun 2038, jadi berkemungkinan besar penyelesaian bakal ditemui sebelum itu, masih banyak masa lagi.

Adapun, sekali lagi, tiada siapa yang dapat meneka tarikh kiamat. Sebenarnya di samping tarikh kiamat besar yang bakal menghancurkan dunia, kita juga perlu takuti kiamat kecil iaitu kematian kita yang sama juga, tidak kita ketahui waktunya. Jadi sama – samalah kita beramal.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts