Generasi sekarang dah ramai yang tinggalkan pantang larang dan petua datuk nenek mereka.
Pantang larang dan petua dah dianggap tak relevan lagi pada zaman Facebook dan Instagram, malah banyak yang dianggap sebagai mengarut, tak masuk akal dan tak berasas.
Sebenarnya, menurut Fadhilah Mat Noor, banyak pantang larang tradisi sebenarnya berguna dan masuk akal dan hanya cuma disalah fahami kerana anak bangsa tak memahami maksud yang tersurat dan tersirat.
Berikut adalah petua – petua dan pantang larang melayu yang rupanya masuk akal.
1. Dilarang Duduk di Atas Bantal
Maksud yang tersurat adalah siapa yang duduk di atas bantal, akan terkena penyakit bisul di punggungnya.
Namun maksud yang tersirat adalah sebab bantal merupakan tempat letak kepala. Bagi orang Melayu, kepala adalah anggota sensitif, tak boleh dibuat main dan bergurau, maka duduk di atas tempat letak kepala sebenarnya tak sopan.
2. Bapa yang Pulang Ke Rumah Tak Boleh Terus Masuk, Tapi Perlu Berhenti Sebentar di Luar Rumah
Sebab tersurat yang diberikan adalah nak kelirukan hantu yang ikut masuk.
Tapi sebab tersirat yang rasional adalah nak meredakan bapa yang mungkin berkeadaaan panas lepas balik kerja dan menenangkannya sebelum masuk rumah.
3. Wanita Hamil Dilarang Lalu di Bawah Ampaian
Maksud tersurat adalah anak yang bakal dilahirkan nanti akan cacat seperti gagap.
Namun maksud yang tersirat adalah dibimbangi ibu hamil tersebut akan tersadung pada ampaian dan menyebabkan keguguran atau kecederaan kandungan.
4. Gigit Mata Pisau Sebelum Potong Buah
Petua ini dikatakan untuk mengelak luka semasa potong buah. Sekali imbas macam tak ada kaitan?
Tapi sebenarnya ada rasional iaitu apabila pisau digigit, pelaku akan lebih berwaspada kerana rangsangan deria apabila pisau dimasukkan kedalam mulut. Maka secara langsung pengguna akan lebih berhati – hati ketika memotong buah.
5. Sewaktu Membina Rumah, Hadapkan Pintu Menghadap Angin Bertiup.
Ini adalah petua hasil daripada cerapan pemerhatian orang dulu – dulu yang melihat rumah yang dibina dengan tak melihat arah angin akan menyebabkan rumah tersebut tak dimasuki angin.
6. Orang Perempuan jangan Menyanyi Sewaktu Memasak di Dapur
Dikatakan jika perempuan menyanyi sewaktu memasak di dapur, dia akan berkahwin dengan lelaki tua.
Maksud tersirat pantang larang ini sebenarnya untuk elakkan lalai memasak. Kalau menyanyi hingga lalai sewaktu memasak, ditakuti hangus makanan nanti.
7. Jangan Potong Kuku Waktu Malam
Maksud tersirat adalah nanti pendek umur. Namun hakikatnya ajal maut itu sebenarnya ketentuan Allah.
Maksud tersirat adalah takut terlukakan jari pada waktu malam. Sebabnya dahulu tiada bekalan elektrik di rumah. Maka setiap rumah gelap dan hanya berbekalkan lampu pelita.
Kesimpulan
Tuntasnya, sebahagian petua dan pantang larang memang boleh dijustifikasikan secara rasional dan masih boleh diterima sampai sekarang.
Namun unsur – unsur yang merupakan kepercayaan karut yang bertentangan dengan ajaran Islam seharusnya tidak diterima pakai lagi.
Begitulah pepatah yang mengatakan ‘adat bersendi syarak, syarak bersendi kitabullah’.
Rujukan:
Paradoks pantang larang : tersurat dan tersirat
PANTANG LARANG DALAM KALANGAN ORANG MELAYU: ANALISIS DARI PERSPEKTIF TEORI SPB4K