Apa Itu Masa, Sebenarnya?

“Nah masa” . “Tapi ini bukan masa pak cik, ini kalendar”. “Errrr”

Sekiranya ada seorang kanak – kanak bertanya kepada anda,

“masa tu apa pakcik?”

bagaimanakah anda akan menjawab soalan budak tersebut?

Kebanyakan orang akan menjawab bahawa masa merujuk kepada siang dan malam, tahun, bulan dan hari. Kalau dalam setahun, kita ada 12 bulan, ataupun 365 hari. Dalam masa sehari pula kita ada urutan siang dan malam, dengan kita di Malaysia merasa (secara kasarnya) 12 jam siang dan 12 jam malam.

Jadi, adakah itu definisi “masa” yang anda pegang?

Bukanlah ingin menyatakan anda salah, namun definisi masa yang anda pegang itu sebenarnya agak kurang tepat.

Kenapa?

Ayuh saya pecahkan satu-persatu.

Masalah definisi masa berdasarkan pergerakan objek angkasa

Anda mengatakan bahawa tahun, bulan dan hari merupakan sebahagian daripada masa. Anda kata bahawa dalam masa satu tahun, akan ada tempoh 12 bulan ataupun 365 hari. Apa maknanya? Setahun merujuk kepada tempoh Bumi mengelilingi Matahari, di mana dalam tempoh Bumi mengelilingi Matahari tersebut, bulan juga telah mengelilingi Bumi sebanyak 12 kali (definisi sebulan adalah tempoh bulan berputar mengelilingi Bumi), dan pada kadar waktu yang sama, Bumi juga telah berputar di atas paksinya sebanyak 365 kali (putaran Bumi di atas paksinya akan menghasilkan fenomena siang dan malam).

Anda faham fenomena satu tahun yang berlaku di atas?

Baiklah, saya bagi satu contoh yang agak berbeza.

Katakan, anda tidak hidup di Bumi, sebaliknya anda menetap di Musytari (Jupiter). Apakah definisi satu tahun bagi anda? Sekiranya anda tinggal di Musytari, definisi 1 tahun anda akan menjadi berbeza, kerana Musytari mengambil masa selama 12 tahun Bumi untuk melengkapkan putaran mengelilingi Matahari. Ingat, definisi setahun pada asalnya adalah tempoh putaran satu planet mengelilingi Matahari. Bagaimana pula dengan definisi sehari di Musytari? Sehari di Musytari adalah bersamaan dengan 9 jam 56 minit di Bumi. Aduh, sekejap gila! Keluar rumah waktu siang, balik-balik dah isyak dah!

“Bulan puasa dah dekat ni, abang nak pergi mana tu bang?” . “Planet lain yang waktu siang pendek sikit”

Maka, adalah logik sekiranya definisi masa anda berubah, sekiranya anda tinggal di planet selain Bumi.

Takrifan Masa dalam Sains

Dalam sains, masa merupakan satu entiti fizikal yang penting. Meneroka sejarah sains, antara individu paling awal yang cuba untuk meneroka sifat masa adalah Sir Isaac Newton, yang terkenal dengan Hukum Pergerakan Newton beliau (Newton’s Law of Motion). Menurut Newton, sekiranya kita tahu bagaimana berlakunya perubahan pergerakan sesuatu objek, kita mampu meneka kesemua aspek berkenaan dengan objek tersebut hanya dengan menggunakan formulasi matematik yang berkaitan dengan kinematik ataupun pergerakan sesuatu objek tersebut. (Rujuk: Clockwork Universe)

Maka, takrifan yang diberikan oleh Newton ini telah mempengaruhi ramai saintis selepas era beliau. Menurut mereka, masa merupakan suatu entiti fizikal yang wujud dan boleh dicerap dengan menggunakan jam, dan dengan wujudnya masa, mereka mampu melakukan operasi matematik dan melihat evolusi pergerakan sesuatu objek terhadap masa (Ini merupakan idea utama Kalkulus, mengira perubahan sesuatu benda atau keadaan terhadap masa).

Sehinggalah sampai kepada zaman Einstein, barulah definisi masa mula dipersoalkan semula.

Idea utama Einstein dalam Teori Relativiti, iaitu konsep Kebersamaan (Relativity of Simultaneity) adalah salah. Perbincangan lain mengenai Teori Relativiti boleh dibaca dalam post lain yang disediakan di bahagian bawah artikel.

Kebersamaan (Simultaneity) merujuk kepada keadaan di mana kita melihat sesuatu peristiwa dalam keadaan serentak. Antara contoh mudah adalah kita melihat kawan kita di hadapan kita, hal ini dipanggil sebagai situasi yang berlaku secara langsung (live event).

Katakan pula, kawan anda tinggal di …. Matahari. Sekiranya anda melihat rakan anda dalam teleskop, dan anda melihat rakan anda sedang duduk minum air, adakah rakan anda minum air tersebut sekarang?

Imej rakan anda dari Matahari, akan mengambil masa selama 8 minit 20 saat untuk sampai ke Bumi, jadi, sewaktu anda sedang melihat rakan anda sedang duduk minum, di Matahari sana, 8 minit 20 saat telahpun berlalu.

Situasi seperti ini sebenarnya memecahkan persepsi kita terhadap Kebersamaan (Simultaneity). Hakikat bahawa cahaya memerlukan 13 milisaat untuk bergerak dari mata ke otak, menunjukkan bahawa kita sebenarnya sentiasa hidup dalam lebih kurang 26 milisaat lebih lambat dari dunia asal (jika dikira bersama tempoh reaksi kita untuk respon pada situasi).

Animated GIF
Cahaya melantun daripada objek masuk ke mata.

Berbeza dengan penakrifan masa oleh Einstein, di mana masa digambarkan sebagai suatu entiti yang tidak mutlak dan relatif terhadap pemerhati dan sistem, revolusi sains yang dibawa oleh satu lagi bidang sains, fizik kuantum, menyatakan perkara sebaliknya. Menurut salah satu formulasi matematik penting dalam fizik kuantum, dipanggil Formula Schroedinger, masa merupakan suatu entiti fizikal nyata yang wujud akibat perubahan dinamik sistem kuantum, argumen yang hampir sama dengan argumen Newton tadi.

Permasalahan cara untuk menggabungkan takrifan masa menurut Teori Relativiti dengan takrifan masa menurut Fizik Kuantum ini dikenali sebagai Problem of Time, suatu konflik konsep dalam cubaan kita untuk menyatukan cabang sains moden utama.

Masa itu Ilusi?

Maka, apa sebenarnya maksud “sekarang”? Kalau ikutkan, benda yang kita rasakan seperti “sekarang” pun sebenarnya adalah masa yang diambil sewaktu pergerakan cahaya sampai ke mata, dan dari mata ke otak, dan otak kemudian mengambil masa untuk menafsir apa yang berlaku sekarang, apakah “sekarang” itu sebenarnya satu ilusi?

Oleh kerana rumitnya proses penafsiran “sekarang” dari sudut biofizikal manusia ini, ahli fizik pada zaman sekarang memberi definisi masa bersandarkan kepada peristiwa, ataupun kesan dan akibat (cause and effect). Hal ini yang turut dikenali sebagai causality, merupakan satu cubaan manusia untuk memberi definisi masa dalam notasi yang mampu dicerna oleh akal manusia, masa sebenarnya terlahir akibat lahirnya sesuatu peristiwa.

Sebagai contoh, masa yang paling dekat dengan anda pastinya adalah umur anda. Umur anda merupakan tempoh masa bagi anda, di mana peristiwa pemula yang memulakan masa umur anda adalah detik kelahiran anda di dunia ini. Adakah umur anda wujud sebelum anda lahir?

“Umur anak dalam perut saya ni negatif empat bulan”. “Hah?”

Namun begitu, sebelum anda disenyawakan dalam rahim ibu anda, berapakah umur anda? Persoalan berapakah umur anda tidak relevan, dan hal ini adalah produk daripada causality sendiri. Kerana anda belum wujud (peristiwa tersebut belum berlaku), maka apa-apa pertanyaan mengenai masa anda sewaktu anda belum wujud adalah tidak relevan. Dalam erti kata lain, without any cause, there will be no effect. (Sebab anda belum lahir, umur anda juga belum lahir).

Daripada konsep causality ini jugalah, kita mampu untuk membuat rantaian masa (timeline). Dengan adanya sebab dan akibat, minda kita mampu untuk mencerna apa yang dimaksudkan dengan masa lalu, sekarang, dan masa hadapan. Masa lalu, atau selalunya kesan, akan membuka ruang kepada peristiwa, atau akibat, untuk berlaku.

Sebagai contoh, sekiranya anda lapar, anda pergi ke kedai dan makan. Sesudah anda makan, anda menjadi kenyang. Maka rantaian masa yang terjadi berdasarkan prinsip causality adalah: anda lapar (cause), anda pergi makan (effect 1), dan akhirnya anda kenyang (effect 2). Dalam evolusi rantaian peristiwa inilah, kita mampu lihat wujudnya aspek masa secara fizikal, yang mampu dicerap oleh jam (berapa lama kita makan, berapa lama masa diambil untuk kenyang dan sebagainya).

Nota Tambahan: Causality dalam al-Quran.

Apa akan jadi sekiranya effect mendahului cause? Dalam sains, fizik secara khususnya, tidak ada lagi teori sains khusus yang membincangkan apa yang akan terjadi sekiranya konsep causality ini musnah, sebaliknya kebanyakan cakap-cakap orang adalah berkenaan dengan konsep pengembaraan masa (time travel).

Tahukah anda, terdapat satu kisah menarik dalam al-Quran berkenaan causality. Kisah yang penulis maksudkan adalah kisah Nabi Allah Musa yang berguru dengan Nabi Allah Khidir, seperti yang tercatat dalam surah al-Kahfi. Dalam kisah tersebut, Nabi Musa telah bertemu dengan Nabi Khidir, dan meminta untuk mengikuti Nabi Khidir untuk menimba ilmu dari beliau. Nabi Khidir mengatakan bahawa Nabi Musa tidak akan mampu bersabar dengannya, namun setelah dipujuk oleh Nabi Musa, Nabi Khidir bersetuju untuk membenarkan Nabi Musa mengikuti beliau.

Dalam perjalanan mereka, Nabi Khidir membuat perkara yang aneh dan luar biasa. Sewaktu dalam perjalanan menaiki sampan, Nabi Khidir telahpun membuat lubang ke atas sampan tersebut. Sewaktu berjumpa dengan seorang anak yang kecil, Nabi Khidir telahpun membunuh anak tersebut, dan sewaktu berjumpa dengan satu tembok di suatu kota, Nabi Khidir meluruskan tembok (atau dinding) tersebut, dan menyebabkan Nabi Musa mempersoalkan perbuatan-perbuatan tersebut.]

Seandainya kita berada di tempat Nabi Musa, kita sendiri pasti menanyakan soalan yang sama. Kenapa dilubangkan perahu tersebut, sedangkan perahu tersebut dalam keadaan elok dan pemilik perahu tersebut telah berbaik hati memberi tumpang kepada kita? Apa jenis kekejaman yang telah dilakukan, membunuh seorang anak kecil yang tak berdosa? Tidakkah difikirkan perasaan ayah dan ibunya? Dan atas alasan apa tembok dinding tersebut ditegakkan?

Setelah hampir kepada detik perpisahan mereka, Nabi Khidir menerangkan bahawa beliau diberi ilmu oleh Allah, dan beliau mampu mengetahui masa hadapan. Perahu tersebut milik orang miskin, dan dilubangkan kerana terdapat raja yang akan mengambil perahu-perahu yang elok. Anak muda itu pula dibunuh kerana dikhuatiri bakal mendorong orang tuanya kearah kesesatan dan kekufuran, manakala dinding rumah itu pula merupakan hadiah dari orang tua buat anak-anaknya, dan sekiranya roboh dinding tersebut, anak tersebut tidak mampu mendapatkan harta mereka.

Dari kisah ini, kita mampu membuat beberapa konklusi.

Konklusi pertama yang mampu penulis buat adalah, ilmu manusia sebenarnya terhad kepada apa yang mereka mampu fahami, dan causality sebenarnya merupakan satu konsep luas, yang tidak hanya terhad kepada satu tempoh masa, bahkan causality mampu mempengaruhi masa yang lebih jauh kehadapan.

Antara argumen yang seringkali penulis dengar dari golongan atheis adalah, sekiranya tuhan itu benar wujud dan penyayang, kenapa terjadi pembunuhan dan kekejaman di atas muka Bumi? Hakikatnya, bentuk soalan itu adalah hampir sama bentuknya dengan soalan yang ditanya oleh Nabi Musa kepada Nabi Khidir, sesungguhnya kita, sama seperti Nabi Musa, tidak mempunyai pengetahuan berkaitan dengan masa hadapan, maka adalah tidak adil untuk kita menyamakan ketidaktahuan kita itu dengan pengetahuan Tuhan yang pastinya Maha Mengetahui. Hal itu (perkara di masa hadapan, dan sebab berlakunya suatu perkara), merupakan rahsia Tuhan yang belum lagi kita fahami, selagi mana belum sampai masanya.

Konklusi kedua yang penulis mampu buat adalah, sabar merupakan kunci utama “melawan” masa. Sekiranya anda merasakan bahawa anda berada dalam keadaan sekarang, dan anda yakin bahawa Tuhan anda adalah Maha Penyayang, maka tidakkah anda merasakan bahawa Tuhan akan memberikan perkara yang terbaik dalam kehidupan anda? Persoalan sebenarnya bukanlah “Kenapa tuhan tidak memperkenankan doa aku?”, sebaliknya persoalan yang perlu ditanya adalah “Bila masanya akan terjadi”, dan “Apa sebenarnya yang ingin Tuhan beri @ ajar kepada aku?”

Maka sekali lagi penulis tekankan, sebagaimana ketegasan Nabi Khidir terhadap Nabi Musa, sabar merupakan kunci bagi masa.

Penulis bukanlah ingin mengeluarkan tafsir baharu terhadap kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa, namun apa yang penulis ingin tegaskan adalah causality, kesan-akibatmerupakan sebahagian daripada sunnatullah dan perkara yang mampu kita fahami dengan akal. Apa yang terjadi kepada Nabi Musa dan Nabi Khidir pula merupakan satu bentuk mukjizat yang tidak perlu diberi justifikasi saintifik, sebaliknya cukup dengan mengambil pengajaran darinya.

P/s: Penulis bukan seorang ahli dalam bidang tafsir al-Quran. Tafsiran yang dibuat pada bahagian hujung berkenaan kisah Nabi Khidir dan Nabi Musa adalah pandangan peribadi penulis, maka mohon maklumkan kepada penulis sekiranya berlaku kesalahan.


Rujukan / Bacaan Lanjut:

Antara graviti dan masa. https://www.thepatriots.asia/antara-graviti-dan-masa/

Sesungguhnya masa itu tidak mutlak. https://www.thepatriots.asia/sesungguhnya-masa-itu-tidak-mutlak/

Mengejar kelajuan cahaya: https://www.thepatriots.asia/mengejar-kelajuan-cahaya/

Sebenarnya masa tidaklah tetap. https://www.thepatriots.asia/sebenarnya-masa-tidaklah-tetap/

Apa akan berlaku jika anda terjun ke lohong hitam. https://ajar.com.my/2019/08/01/apa-akan-berlaku-jika-anda-terjun-ke-dalam-lohong-hitam/

Apa itu teori kerelatifan khasa. https://ajar.com.my/2019/07/12/apa-itu-teori-kerelatifan-khas/

“The Experience and Perception of Time” – The Stanford Encyclopedia of Philosophy. https://plato.stanford.edu/archives/win2004/entries/time-experience/

“Quantum Gravity’s Time Problem” – QuantaMagazine. https://www.quantamagazine.org/quantum-gravitys-time-problem-20161201/

“Time may not exist” – Discover Magazine. http://discovermagazine.com/2007/jun/in-no-time

“Temporal relationalism” – Lee Smolin. https://arxiv.org/pdf/1805.12468.pdf

“Natural Philosophy of Cause and Chance” – Max Born. https://archive.org/details/naturalphilosoph032159mbp/page/n19

“Hikmah Kisah Nabi Musa dan Khidir Berdasarkan Surah al-Kahfi ayat 60-82 Menurut M. Quraish Shihab dalam Tafsir al-Mishbah” – Muhammad Rasyied Awabien, Universitas Muhammadiyah Surakarta. http://eprints.ums.ac.id/72243/11/NASKAH%20PUBLIKASI.pdf

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts