SALJI HIJAU

Perubahan iklim yang semakin ketara kini berpunca daripada peningkatan gas rumah hijau terutamanya karbon dioksida.  Penyerap karbon dioksida yang sering dikenali adalah tumbuh-tumbuhan. Namun, kita sering terlepas pandang bahawa dua pertiga daripada bumi kita diliputi air. Laut, tasik dan sungai kita dipenuhi dengan organisma yang sama pentingnya dengan tumbuhan yang ada di daratan. Namun, disebabkan organisma ini tidak dapat dilihat dengan mata kasar, kita alpa dan sering mengabaikannya.

Tompokan salji berwarna hijau ini dihasilkan oleh mikroalga yang tumbuh dengan pesatnya.

Alga merupakan organisma yang memainkan peranan penting seperti tumbuhan yang mampu berfotosintesis menggunakan cahaya matahari untuk menukarkan molekul bukan organik (karbon dioksida, nutrien dan air) kepada glukosa dan oksigen. Terdapat dua kumpulan utama alga iaitu alga mikroskopik dan alga makroskopik. ‘Mikro’ bermaksud kecil, iaitu organisma ini hanya dapat dilihat dengan bantuan mikroskop manakala ‘Makro’ bermaksud besar dan boleh dilihat dengan mata kasar, sebagai contoh, rumpai laut. Mikroorganisma kecil yang memenuhi permukaan lautan ini menyumbangkan kira-kira 75% daripada pengeluaran oksigen untuk kegunaan manusia. Tanpa alga sesaklah nafas kita!

Mikroalga juga adalah pengeluar utama yang memulakan rantaian makanan di dalam lautan dan menyokong semua hidupan laut. Bayangkan kehidupan tanpa ‘shellout’, ikan bakar, sotong celup tepung dan pelbagai makanan laut yang lazat akibat ketiadaan alga di lautan. Amat mengerikan kerana makanan laut adalah sumber protein yang penting dan utama untuk kira-kira 3 bilion penduduk dunia. Sebahagian besar penduduk di dunia, terutamanya di negara miskin juga bergantung kepada tangkapan daripada lautan sebagai sumber utama pendapatan mereka.

Saya mula mengkaji alga semasa menyertai ekspedisi ke Antartika pada tahun 2004. Benua yang paling ekstrem di dunia dengan 98% daripada kawasan daratannya dilitupi ais dipenuhi tompokan berwarna hijau, merah dan jingga pada salji dan ais. Hamparan berwarna juga ditemui di atas daratan dan tasik yang menunjukkan mikroalga merupakan organisma penting untuk benua ekstrem ini. Saya mula membandingkan corak taburan alga di Antartika dengan alga di kawasan temperat dan tropika. Memandangkan mikroalga adalah organisma mikroskopik yang boleh diterbangkan angin serta melekat pada haiwan dan manusia, fragment atau spora (akinetes) alga dapat dipindahkan dengan mudah ke mana-mana sahaja. Spora alga mampu kekal dalam keadaan dorman (tidak aktif) untuk tempoh masa yang lama sehingga mencecah 70 tahun.  Apabila keadaan persekitaran menjadi sesuai, pertumbuhan alga boleh berlaku seawal 48 jam. Memandangakn ekosistem Antartika merupakan ekosistem yang ringkas, perubahan kepada komuniti alga mikroskopik yang menyokong rantaian makanan dan merupakan habitat untuk mikroorganisma lain adalah sesuatu yang membimbangkan.  

Pengutipan sampel ais dengan tompokan hijau yang akan dibawa ke makmal untuk kajian selanjutnya.

Dengan peningkatan suhu global kini, saya mula meletakkan fokus kajian saya kepada kewujudan alga toksik di Antartika. Fenomena ledakan alga toksik bukanlah sesuatu yang baru, malah telah direkodkan seawal tahun 1878 di Tasik Alexandrina, Australia. Kajian alga toksik telah didokumentasikan dengan baik di kawasan temperat dan tropika berbanding Antartika. Banyak kajian telah menunjukkan kesan serius akibat alga toksik ke atas haiwan dan manusia. Pada tahun 1996, sebanyak 116 daripada 130 pesakit di pusat dialisis di Caruaru, Brazil, mengalami gangguan penglihatan, loya dan muntah, manakala 26 orang lagi maut akibat kesan alga toksik daripada air empangan yang tidak diproses dengan sempurna.

Walaupun laporan pertama mengenai alga toksik di Antartika telah dibuat pada tahun 2000, tidak ada sebab untuk mengandaikan bahawa ketoksikan adalah fenomena baharu di Antartika. Kajian yang kami lakukan telah mengenalpasti kewujudan alga toksik daripada sampel berusia 43 tahun melalui kolaborasi bersama saintis di New Zealand. Penemuan alga toksik daripada sampel berusia 100 tahun turut dilaporkan oleh saintis Britain. Persoalannya kini, dengan keadaan suhu yang semakin meningkat, adakah ledakan alga toksik akan berlaku di Antartika?  Apakah implikasi terhadap ekosistem Antartika sekiranya ini berlaku? Yang pasti, ledakan alga toksik adalah sesuatu yang perlu dielakkan daripada berlaku di Antartika bukan sahaja kerana kesan negatif pada organisma lain yang bergantung pada alga sebagai makanan,  tetapi juga kesannya ke atas simpanan air tawar terbesar di dunia.

Peningkatan suhu juga telah menyebabkan lebih banyak kawasan yang dahulunya dilitupi ais kini menjadi kawasan tanah terdedah yang memudahkan pertumbuhan alga dengan lebih pesat. Di kawasan bersalji pula, peningkatan nutrien daripada ledakan populasi haiwan termasuk penguin dan singa laut telah menyebabkan salji bertukar daripada putih ke hijau, merah dan jingga. Salji berwarna ini semestinya kelihatan cantik dan menarik untuk sesi fotografi. Pertumbuhan alga yang pesat di atas hamparan salji  juga dapat membantu menyerap lebih banyak gas karbon dioksida dari atmosfera. Namun, jika dilihat dari sisi yang berbeza, pertukaran warna pada permukan salji yang putih akan menyebabkan pencairan salji berlaku dengan lebih pantas akibat kesan albedo. Warna yang gelap akan menyerap lebih banyak haba dan mengakibatkan salji yang berwarna mencair dengan lebih pantas. Fenomena ini telahpun dibuktikan dengan pencairan ais yang  lebih cepat di Alaska akibat pertumbuhan alga yang pesat di atas permukaan salji. Perkara yang sama boleh berlaku di Antartika.

Kesan pencairan ais akan menyumbang kepada peningkatan paras air laut seperti yang sedang berlaku kini.  Sebagai contoh, di Tamil Nadu, India, para petani di persisiran pantai kehilangan kawasan pertanian mereka akibat  ditenggelami air laut. Data daripada empat pelabuhan India pada tahun 1993 sehingga 2012 menunjukkan peningkatan paras laut sebanyak 4.8 cm, iaitu kira-kira 3.2 mm setahun. Dijangkakan peningkatan air laut sebanyak 16 ke 32 cm boleh berlaku menjelang 2050-2100. Keadaan yang sama juga telah direkodkan di Bangladesh, China dan Indonesia. Dengan populasi penduduk yang tinggi di kawasan persisiran pantai Asia, implikasi kenaikan paras laut ini akan menyebabkan masalah penempatan penduduk yang serius (climate refugees). Nasihat saya, jauhi pembelian hartanah berdekatan kawasan pantai untuk mengelakkan rumah anda ditenggelami air sebelum sempat menjelaskan pinjaman perumahan!

Pelbagai jenis mikroalga yang menarik hanya dapat dilihat dengan bantuan mikroskop cahaya.

Banyak yang dapat dipelajari daripada tindak balas yang ditunjukkan oleh organisma mikro ini. Perubahan diversiti, pengeluaran toksin dan ledakan alga dapat digunakan sebagai penunjuk biologi terhadap perubahan persekitaran yang sedang berlaku di Antartika. Kajian alga Antartika yang telah saya jalankan ditaja oleh Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dengan sokongan Univeristi Sains Malaysia khususnya [email protected] YPASM sentiasa menggalakkan program penyelidikan saintifik di benua Artik dan Antartika. Dengan bantuan dan sokongan yang diberikan oleh pihak YPASM, saintis Malaysia dapat melibatkan diri secara aktif dalam kajian polar dan turut menyumbang dalam inisiatif pemeliharaan kawasan kutub untuk kepentingan sejagat.

Sokongan daripada YPASM juga telah berjaya melahirkan kumpulan Eco-Rem Tech yang terdiri daripada sebahagian penerima geran. Penubuhan kumpulan ini telah berjaya memvariasikan penggunaan alga Antartika dalam aplikasi teknologi hijau sebagai salah satu usaha dalam memastikan kelestarian benua ini. Kesedaran tentang kepentingan benua Antartika perlu disebarkan kepada semua demi menjaga keseimbangan alam sekitar untuk generasi akan datang.

“If not us, then who? If not now, then when?”

Artikel ditulis oleh Dr. Faradina Merican Mohd. Sidik Merican, Penyelidik Alga Antartika, Pusat Pengajian Sains Kajihayat, Universiti Sains Malaysia.

Total
909
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts