Kehebatan Struktur Organisasi M.A.T.A Dalam Animasi Ejen Ali

Ejen Ali The Movie, sebuah filem animasi terbitan Wau Animation merupakan kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Grafik dan animasi yang cemerlang, pembinaan karakter yang amat dekat dengan para penonton, jalan cerita dan plot twist yang sangat menarik, serta diadun kemas dengan pelbagai emosi telah berjaya menawan hati bukan sahaja golongan kanak-kanak, malah golongan dewasa juga turut berasa kagum dengan pencapaian cemerlang filem animasi Ejen Ali.

Pelbagai reaksi dan respon positif telah diberikan oleh para penonton filem Ejen Ali The Movie.

Berikut merupakan antara sebab mengapa Ejen Ali The Movie menjadi kebanggaan rakyat Malaysia:

  • Jalan cerita penuh emosi yang mengisahkan tentang pengorbanan kasih dan sayang seorang ibu terhadap anaknya yang tercinta.
  • Lagu-lagu yang menarik seperti Bukalah Matamu, Kita Jaga Kita, Mamak Maju dan Mama (Di Hatimu) yang sangat menghiburkan para pendengar.
  • Kecanggihan teknologi dan senjata yang digunapakai oleh ejen-ejen M.A.T.A. dan musuh Cyberaya.

Selain daripada sebab-sebab yang telah dinyatakan di atas, ada satu lagi sebab mengapa filem dan animasi Ejen Ali ini jauh lebih hebat daripada animasi-animasi lain iaitu disebabkan oleh kehebatan struktur organisasi M.A.T.A. itu sendiri.

Pembinaan Struktur Organisasi M.A.T.A yang Mengagumkan

M.A.T.A. (akronim bagi Meta Advance Tactical Agency) merupakan sebuah agensi perisikan yang diasaskan oleh Dato’ Othman untuk melindungi keselamatan bandar dan penduduk Cyberaya.

Terdapat empat (4) teras dalam organisasi M.A.T.A. yang diketuai oleh Ejen Zain, Ejen Dayang, Ejen Ganz dan Ejen Djin (bekas ejen M.A.T.A.) seperti berikut:

1. Teras NEURO (Warna Kuning)

Berasal daripada perkataan neurologi iaitu sebuah ilmu sains perubatan berkaitan otak dan sistem saraf. Ejen Teras NEURO merupakan ejen yang berpengetahuan tinggi serta berperanan untuk menyusun strategi dalam setiap misi yang diamanahkan.

Antara Ejen NEURO yang terkenal ialah Ejen Alicia, General Rama (beliau memakai sut berwarna kuning dalam pertempuran melawan Niki) dan Ejen Zain yang telah terkorban dalam Misi Legasi.

2. Teras KOMBAT (Warna Biru)

Berasal daripada perkataan combat yang bermaksud pertempuran. Ejen Teras KOMBAT merupakan ejen yang mahir dalam pertempuran jarak dekat dan sederhana serta berperanan melindungi keselamatan rakan-rakan sepasukan sewaktu menjalankan misi mereka.

Ejen Bakar dan Ejen Iman (seorang muslimah bertudung) merupakan antara ejen Teras KOMBAT yang dikenali ramai.

3. Teras TEKNO (Warna Merah)

Berasal daripada perkataan teknologi menjadikan ejen dalam Teras TEKNO sangat berkemahiran dan berpengetahuan tinggi dalam bidang teknologi. Peranan ejen Teras TEKNO ialah untuk mencipta dan mengendali peralatan-peralatan canggih bagi menjayakan misi.

Ejen Teras TEKNO yang terkenal ialah Ejen Ali, Ejen Aliya dan Ejen Dayang.

4. Teras INVISO (Warna Putih)

Berasal daripada perkataan invisible atau halimunan menjadikan ejen Teras INVISO sangat licik dan tangkas dalam tindakan mereka. Peranan utama ejen Teras INVISO ialah mencipta helah dan penyamaran bagi menumpaskan pasukan musuh.

Dua ejen Teras INVISO yang dikenali ramai ialah Ejen Comot dan Ejen Rizwan.

Sekarang, perhatikan semula warna-warna yang diwakili oleh setiap teras dalam organisasi M.A.T.A.

Merah, kuning, biru dan putih. Keempat-empat warna yang digunapakai bagi mewakili setiap teras dalam organisasi M.A.T.A. merupakan warna-warna bagi Jalur Gemilang!

Dari segi hierarki pula, setakat yang didedahkan sehingga hari ini, Dato’ Othman yakni pengasas M.A.T.A. berada pada peringkat tertinggi, diikuti oleh ketua-ketua teras (Ejen Zain, Ejen Dayang, Ejen Ganz dan Ejen Djin), General Rama, mentor-mentor bagi setiap teras (Ejen Leon, Ejen Geetha, Ejen Bakar dan Ejen Karya) dan seterusnya ejen-ejen muda M.A.T.A.

Nah, hebat bukan organisasi M.A.T.A. dalam animasi Ejen Ali?

Teori Pengurusan Organisasi M.A.T.A

Selain daripada pelbagai teori dan falsafah yang dipamerkan dalam Ejen Ali The Movie seperti falsafah deontologi (suatu sistem moral yang mengukur baik buruk tindakan seseorang berdasarkan niat si pelaku), utilitarianism (berpaksikan matlamat menghalalkan cara), cengkaman sistem kapitalisme ke atas golongan-golongan miskin dan lemah, sebenarnya banyak juga teori pengurusan yang dapat kita pelajari daripada animasi Ejen Ali, khususnya melalui struktur organisasi M.A.T.A.

Sebagai contoh, kepentingan rantaian perintah (chain of command) di mana para ejen akan menerima arahan melaksanakan misi yang telah disusun dan diagihkan oleh General Rama serta beberapa misi khas lain yang terus disampaikan oleh ketua-ketua teras sebagai pemimpin tertinggi dalam organisasi.

Selain itu, setiap kapasiti dan kelebihan para ejen adalah dinilai terlebih dahulu sebelum ditugaskan dalam kumpulan teras yang sesuai dengan kemahiran masing-masing sama ada Teras NEURO, INVISO, KOMBAT mahupun TEKNO. Dalam melaksanakan misi pula, setiap ejen dalam teras yang berbeza perlu bekerjasama, saling melengkapi dan menghormati peranan masing-masing bagi mencapai objektif misi.

Dalam kebanyakan keputusan yang diputuskan dalam M.A.T.A., kita dapat lihat berlakunya musyawarah sama ada di antara ketua-ketua teras mahupun sesama ahli pasukan dalam sesebuah misi. Konsep musyawarah ini adalah amat penting bagi memastikan tidak berlakunya conflict of interest dalam kalangan ejen M.A.T.A. dan semuanya bersatu demi merealisasikan matlamat agensi.

Pun begitu, apabila berlaku kes-kes kecemasan, kita dapat lihat pemimpin tertinggi dalam organisasi M.A.T.A. atau dalam sesebuah misi telah menggunakan autoriti yang dimilikinya melangkaui konsep musyawarah seperti mana yang telah dilakukan oleh Ejen Zain yang mengorbankan dirinya setelah mengarahkan ejen-ejen muda melaksanakan Protokol Gegas pada episod akhir Ejen Ali musim kedua.

Akhir sekali, tidak dapat tidak, setiap organisasi memerlukan pelapis yang terlatih bagi memastikan misi dan visi organisasi terus berjalan dan diwarisi oleh generasi seterusnya. Disebabkan semangat inilah, Akademi M.A.T.A. ditubuhkan bagi melatih ejen-ejen muda yang bakal memegang tampuk kepimpinan M.A.T.A. pada masa akan datang.

Oh ya, seperkara lagi dan tidak kurang pentingnya dalam sesebuah organisasi, apatah lagi bagi organisasi perisikan berteknologi tinggi seperti M.A.T.A., prinsip menjaga kerahsiaan dan hal-hal sulit organisasi adalah amat dititikberatkan. Disebabkan menjaga kerahsiaan inilah Ejen Bakar telah menggunakan kod identiti rahsia ejen untuk memasuki ibu pejabat M.A.T.A. melalui Restoran Mamak Maju seperti berikut:

“Nak nasi goreng kampung telur mata, 3, tak nak telur” yang mempunyai maksud tersirat “Nak masuk ke ibu pejabat M.A.T.A., 3 orang ejen, tak nak orang lain tahu.” Menarik bukan?

Siapa kata animasi Ejen Ali ini hanya untuk kanak-kanak sahaja, kerana sungguh, banyak pengajaran dan falsafah yang dapat kita pelajari daripada animasi kebanggaan rakyat Malaysia ini.

Sekarang, sebahagian daripada maklumat penting organisasi M.A.T.A. telah berada dalam pengetahuan anda. Sekiranya anda direkrut sebagai salah seorang ejen M.A.T.A., teras manakah yang akan menjadi pilihan utama anda?

Ejen Eqhwan
Teras INVISO

Berapa bintang untuk Ejen Ali The Movie? Sudah tentu 10/10.

Facebook: https://www.facebook.com/pemimpin.bersaudara

Twitter: https://mobile.twitter.com/Eqhwan94

Rujukan:

1. https://ejenali.fandom.com/ms/wiki/M.A.T.A.

2. Ejen Ali The Movie dan siri animasi Ejen Ali.

3. https://www.thepatriots.asia/terlupa-makan-popcorn-dalam-wayang-sebab-ejen-ali/

4. Twitter M.A.T.A. HQ: https://mobile.twitter.com/EjenAlidetail

Total
480
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts