ANDA BATUK? MAKANLAH MADU

Dah berbotol-botol makan ubat batuk yang beli di pasaran, tetapi masih batuk malah lebih teruk?

Dah cuba makan madu?

Tahukah anda, madu antara ubat mujarab untuk batuk dan sakit tekak. Walau bagaimanapun, madu kurang sesuai untuk anak-anak bawah satu tahun.

Jom kita baca satu artikel yang ditulis oleh seorang ahli medik di San Francisco, California.

………………………………………………………………………………………………….

Menggunakan madu, mungkin tidak akan menghilangkan batuk sepenuhnya. Tetapi, terdapat beberapa bukti menunjukkan satu dos madu yang diberikan kepada kanak-kanak ketika ingin tidur boleh membantu melegakan batuk.

Madu akan menyelubungi tekak dan melegakan membran mukus yang meradang, menenangkan batuk dan meredakan gejala yang berkaitan.

Malah, beberapa kajian mencadangkan bahawa madu mungkin berkesan dalam melegakan batuk pada waktu malam pada kanak-kanak seperti ubat dextromethorphan, yang terdapat dalam sirap batuk kanak-kanak. 

Madu ialah ubat yang telah lama digunakan untuk merawat sakit tekak dan batuk pada kanak-kanak dan orang dewasa. Madu boleh diberikan dengan sudu teh atau diputar ke dalam secawan teh atau air lemon suam. Walau bagaimanapun, madu mesti dielakkan untuk kanak-kanak bawah umur 1 tahun.

Pada tahun 2010, sebuah kajian telah menguji kesan madu, ubat batuk (dextromethorphan) dan antihistamin (diephenhydramine) pada batuk 139 orang kanak-kanak yang berlaku setiap malam akibat jangkitan saluran pernafasan atas. Dapatan kajian menunjukkan madu mempunyai kesan yang lebih efektif dalam mengubati batuk, berbanding dua ubat batuk tersebut.

Kemudian, pada tahun 2012, satu kajian lain menguji pula keberkesanan tiga jenis madu (eucalyptus, citrus, dan labiatae) pada batuk yang mana menunjukkan ketiga-tiga jenis madu membantu dalam melegakan kekerapan dan sakit batuk. Kanak-kanak dan ibu bapa mereka telah melaporkan bahawa tidur malam mereka lebih baik apabila mengambil madu.

Madu boleh digunakan bersama dengan ubat batuk lain, ataupun secara sendiri. Selain mudah dicari dan murah, madu tidak menimbulkan sebarang risiko berkait dengan dadah (seperti yang mungkin menjadi kerisauan atas beberapa ubat yang digunakan untuk tujuan yang sama). Hampir semua orang dewasa boleh mengambil madu untuk meredakan batuk. Tetapi, madu tidak boleh diberikan kepada bayi yang berumur bawah 12 bulan kerana risiko botulisme, iaitu sejenis keracunan yang jarang berlaku disebabkan oleh toksin yang menyerang saraf.

Madu boleh mengandungi Clostridium botulinum, sejenis bakteria yang berada dalam tanah. Walaupun kebanyakan sistem pencernaan orang dewasa boleh mengendalikan spora ini, tetapi sistem pencernaan bayi adalah tidak matang. Sekiranya diberikan madu, maka akan mengakibatkan pertumbuhan bakteria dan penghasilan toksin di dalam saluran usus. Keadaan ini boleh menyebabkan kelemahan otot dan masalah pernafasan yang memerlukan rawatan segera. 

Jawatankuasa penasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat mengesyorkan bahawa kanak-kanak bawah umur 6 tahun tidak boleh mengambil sebarang ubat batuk atau selesema kerana tidak terbukti berkesan dan boleh menyebabkan kesan sampingan yang serius. Bagi kanak-kanak yang berumur lebih daripada 12 bulan, madu boleh dijadikan sebagai pengganti yang efektif.

Untuk sukatan pengambilan madu, anda boleh mencuba 1 hingga 2 sudu teh madu sama ada sendiri, disapu pada roti bakar, atau dicampur dalam secawan teh dan air suam. Namun, harus diingatkan bahawa madu perlu diambil mengikut keperluan kerana madu bakal menambah gula dan kalori kepada diet anda. Persatuan Jantung Amerika mengesyorkan untuk mengehadkan gula tambahan kepada kira-kira 30 gram sehari. Maka, anda perlu pastikan pengambilan madu harian adalah kurang daripada 6 sudu teh.

KESIMPULAN DARIPADA PENULIS

Madu merupakan salah satu cara untuk menyembuhkan batuk. Selalunya, batuk disebabkan jangkitan pada saluran pernafasan atas dapat diredakan dengan kekal terhidrasi dan memperbanyak rehat. Sekiranya batuk masih berlarutan selama lebih tiga minggu, ditambah dengan gangguan pernafasan atau demam, maka anda perlu segera menemui doktor.

ARTIKEL DITERJEMAHKAN DARIPADA PORTAL VERYWELL HEALTH DI PAUTAN : 

https://www.verywellhealth.com/honey-for-coughing-1298405

SUMBER GAMBAR : https://obatbatukalamia.blogspot.com/2016/02/cara-mengobati-batu-dengan-resep-obat.html

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts