Benarkah tak lama lagi bumi akan tenggelam?
Tahun demi tahun kebelakangan ini, kita dikejutkan dengan kajian-kajian mengenai hal ini.
BANDAR YANG DIRAMAL TENGGELAM MENJELANG 2100
Berikutan pemanasan global dan peningkatan aras air laut, bandar-bandar di pesisir pantai sering mengalami banjir yang dahsyat dan diancam fenomena-fenomena alam berkaitan.
Menurut satu kajian pada tahun 2019, beberapa bandar sedang tenggelam disebabkan dua faktor utama iaitu paras laut yang meningkat secara perlahan-lahan meresap masuk ke kawasan pantai dan pengepaman air bawah tanah yang berlebihan mengakibatkan perubahan tekanan dan isi padu yang menenggelamkan tanah.
Antara bandar utama yang dilaporkan terjejas dalam kajian tersebut ialah sebelas bandar berikut.
- Jakarta, Indonesia
- Lagos, Nigeria
- Houstan, Texas
- Dhaka, Bangladesh
- Venice, Italy
- Virginia Beach, Virginia
- Bangkok, Thailand
- New Orleans, Louisiana
- Rotterdam, The Netherlands
- Alexandria, Egypt
- Miami, Florida
Manakala, pada tahun 2022, portal “The Swiftest” melaporkan dapatan satu kajian yang menggunakan Alat Penyaringan Risiko Pesisir untuk melihat peta mengikut kawasan berisiko tenggelam berdasarkan paras laut yang kian meningkat. Manakala, Euromonitor digunakan untuk mengenal pasti 36 bandar terkenal dengan pengunjung serata dunia yang akan terkesan.
Berdasarkan susunan kedudukan mengikut populasi dan paling terdedah kepada risiko, 9 bandar diletakkan sebagai destinasi pelancongan paling terkenal yang akan berada di bawah paras laut dahulu menjelang tahun 2100.
- St. Mark’s Basilica – Venice, Italy
- Pantai Waikiki – Honolulu, Hawaii
- Pantai Miami, Florida
- Pulau Easter, Chile
- Maldives
- Wadden Sea, Netherlands, Germany, dan Denmark
- Eifel, Germany
- Key West, Florida
- Statue of Liberty, New York City
Dalam satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal Nature Climate Change pada tahun 2023 pula memberi amaran akan impak kenaikan suhu lautan serta kadar pencairan ais akibat perubahan iklim bakal menjejaskan berjuta-juta penduduk di beberapa bandar utama Asia. Hal ini kerana kawasan-kawasan ini menjadi titik panas bagi kesan fenomena tersebut. Bandar-bandar yang disebutkan antaranya ialah Manila, Bangkok, Bandar Raya Ho Chi Minh, dan Yangon di Myanmar.
BANDAR UTAMA DI MALAYSIA BAKAL LENYAP MENJELANG 2050
Di Malaysia pula, beberapa bandar utama didakwa bakal lenyap menjelang tahun 2050 kerana berada di bawah paras laut. Hal ini didedahkan melalui satu ciapan pada November 2019 oleh sebuah pusat penyelidikan swasta, Centre for Governance and Political Studies (Cent-GPS) berdasarkan kajian Elevation Data Triples Estimates of Global Vulnerability to Sea-Level Rise and Coastal Flooding terbitan Nature Communications. Negeri-negeri yang terjejas ialah Perlis, Kedah, Penang, Perak, Negeri Sembilan, Pahang, Kelantan dan Sarawak.
Kajian ini yang dijalankan oleh Scott A. Kulp di Universiti Rutgers Amerika Syarikat telah menggunakan model CoastalDEM untuk mendapatkan pengukuran tanah terjejas yang berpunca daripada perubahan iklim dengan lebih tepat. Menurut kajian ini, 70 peratus daripada populasi Asia terdedah kepada kenaikan paras laut sekaligus menunjukkan angka tertinggi di peringkat global.
PENYELIDIKAN TERBARU DI CHINA
Pada tahun 2024, negara China pula menyusul dengan kajian bandar-bandar di negara itu yang berisiko tenggelam yang melibatkan 82 bandar dengan populasi hampir 700 juta orang. Kajian mendapati 45 peratus daripada kawasan bandar yang dianalisis sedang mengalami penurunan tanah, dengan 16 peratus mengalami penurunan lebih daripada 10 mm setahun.
Penyelidikan ini dilaksanakan di University of East Anglia telah menggunakan data satelit untuk memetakan pergerakan tanah di China dengan tepat. Bandar-bandar pesisir seperti Tianjin sangat terjejas berikutan perubahan iklim dan kenaikan paras laut. Manakala, bandar Shanghai yang telah mengalami penurunan hingga 3 meter sepanjang abad lalu semakin mencetus kebimbangan. Tanpa tindakan sewajarnya, bandar-bandar di China boleh meningkat tiga kali ganda menjelang 2120 yang akan berada di bawah paras laut dan menjejaskan 55 sehingga 128 juta penduduk.
Para saintis dari University of East Anglia (UEA) dan Virginia Tech menyatakan bahawa penurunan tanah sering diabaikan sebagai bahaya di bandar-bandar. Biarpun amaran pernah diberikan kepada China berdasarkan beberapa kajian yang pernah dilaksanakan, namun tindak balas yang lebih agresif perlu dilaksanakan secepatnya berdasarkan kajian terbaru ini yang semakin membuktikan ancaman yang bakal menjejaskan bandar-bandar di China.
KESIMPULAN
Hakikatnya, dunia semakin tenat kerana tangan-tangan pihak yang tidak amanah dan tidak bertanggungjawab. Keadaan ini tidak dapat dihalang secara sepenuhnya kerana terlalu banyak kerosakan dan kegiatan haram telah menjarah alam sekitar yang sepatutnya bertindak sebagai ekosistem yang menyeimbangi hidupan di dunia ini. Apa yang dapat dilaksanakan ialah setiap manusia perlu berperanan sebaiknya untuk menjaga kesejahteraan alam mengikut kapasiti dan kuasa yang ada.
Beringat dan bermuhasabahlah sepertimana yang telah Allah katakan di dalam Firman-Nya, yang bermaksud :
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).”
RUJUKAN
- https://www.sciencedaily.com/releases/2024/04/240418165151.htm
- https://www.weforum.org/agenda/2019/09/11-sinking-cities-that-could-soon-be-underwater/
- https://www.nationalgeographic.com/environment/article/these-cities-are-sinking-into-the-ground
- https://eos.org/articles/sinking-cities-and-rising-waters
- https://edition.cnn.com/2024/03/06/climate/sinking-cities-us-sea-level-rise-climate/index.html
- https://www.designboom.com/architecture/these-36-cities-in-the-world-will-be-the-first-to-sink-underwater-02-26-2022/
- https://www.kosmo.com.my/2023/03/09/bandar-utama-asia-diramal-tenggelam-pada-2100/
- https://www.sinarharian.com.my/article/55967/berita/nasional/bandar-utama-di-malaysia-akan-lenyap-pada-2050#google_vignette
- https://siakapkeli.my/2022/03/22/betul-ke-bumi-diramal-bakal-tenggelam-menjelang-2050-ini-yang-korang-perlu-tahu/