Pelajar Sarjana sains Najmuddin Faudzir bersama pasukan dari UTHM dan syarikat Panz Adventure telah mengenalpasti lutong cenekah (Presbytis femoralis), sejenis spesis unik di Johor sebagai memiliki potensi menjadi produk pelancongan berasaskan primat.

Kajian yang bertajuk ‘mentransformasi data ekologi Presbytis femoralis di Kampung Johor Lama, Kota Tinggi kepada produk pelancongan berasaskan primat’ tersebut mendapati bahawa populasi lutong cenekah di kawasan itu memiliki ciri – ciri positif untuk kebolehpasaran pelancongan.
Ciri – ciri tersebut adalah mudah dijumpai, endemik, kelakuan menarik, keselamatan, langka dan keunikan morfologi.
Pelancongan berasaskan primat adalah sejenis pelancongan di mana sekumpulan orang mengembara dan melawati monyet liar di habitat semula jadi mereka dengan tujuan pemeliharaan spesis tersebut, di samping memanfaatkan nilai ekonomi hidupan liar.
Bagi mengumpul data, kumpulan kajian tersebut telah meluangkan masa selama 43 hari bermula Februari 2018 hingga April 2018.
Data ekologi mengenai pergerakan lutong cenekah, kawasan yang kerap dilalui, dan frekuensi pemakanan telah dikumpul menggunakan teknik pencerapan imbasan dan dianalisis untuk menilai kebolehpasaran pelancongan berasaskan primat di kawasan tersebut.
Mereka mendapati setiap kriteria untuk pelancongan berasaskan primat telah dipenuhi, dan kajian lanjutan wajar diambil untuk mengkaji pula demografi, pengetahuan dan persepsi penduduk setempat mengenai potensi pasaran pelancongan itu.