Tiada tawaran biasiswa JPA bagi kursus perubatan, pergigian dan farmasi

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) tahun ini tidak menawarkan tajaan bagi kursus perubatan, pergigian dan farmasi.

Tajaan itu hanya untuk mereka yang melanjutkan pengajian ijazah pertama di universiti awam, politeknik premier dan universiti berkaitan kerajaan yang telah dipilih oleh jabatan untuk pinjaman.

“Bidang yang tidak ditaja ialah kursus perubatan, pergigian, farmasi, pendidikan dan yang memerlukan pelajar mengambil lesen seperti juruterbang dan menyelam, program francais universiti awam, dan program ijazah berkembar atau pengajian dengan kerjasama luar negara.

“Kursus lain yang tidak ditaja ialah program kejururawatan, program para-perubatan dan pra-perkhidmatan, pensijilan profesional seperti ACCA (Persatuan Akauntan Bertauliah) dan program separuh masa, dalam talian atau jarak jauh tanpa subsidi,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Syarat untuk biasiswa itu termasuk purata nilai gred kumulatif minimum 3.30 dan pemohon perlu mempunyai baki 12 bulan pengajian, tidak termasuk semester semasa.

“Bidang yang telah dipohon mestilah mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau diiktiraf oleh badan profesional,” kata JPA.

Permohonan dibuka pada 20 Mac dan akan ditutup pada 2 April manakala permulaan bagi sesi tajaan akan bermula pada September.

Di bawah terma pinjaman, ia boleh ditukar kepada biasiswa penuh dan dikecualikan daripada bayaran balik sekiranya pelajar berkhidmat dalam perkhidmatan awam selepas tamat pengajian.

Bagi mereka yang berkhidmat di syarikat berkaitan kerajaan selepas kursus mereka tamat, kadar bayaran balik ialah 25%, manakala bagi mereka yang bekerja di sektor swasta di negara ini, adalah 50%.

Mereka yang tidak termasuk dalam tiga kategori berkenaan akan dikehendaki untuk membuat bayaran penuh.

Sehingga 31 Disember 2022, terdapat seramai 6,985 doktor, 52,666 pegawai perubatan dan 69,608 jururawat berkhidmat dengan kerajaan.

Kerajaan menyasarkan untuk mencapai nisbah seorang pegawai perubatan bagi setiap 400 orang menjelang 2025.

Pada 2021, nisbah pegawai perubatan dalam sektor penjagaan kesihatan awam dan swasta kepada penduduk adalah bersamaan seorang pegawai perubatan bagi setiap 420 individu. — Majoriti

Kredit : https://majoriti.com.my/berita/2023/03/25/tiada-tawaran-biasiswa-jpa-kursus-perubatan-pergigian-dan-farmasi

Sumber gambar berita : http://infopendidikanborneo.blogspot.com/p/biasiswa.html

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts