KENALI SAINTIS WANITA MALAYSIA PENEMU LOHONG HITAM DI GALAKSI NGC 1448

Sekali lagi saintis wanita Malaysia ini mengharumkan nama negara dengan anugerah yang dirangkul baru-baru ini. Namanya yang mula dikenali pada tahun 2017 kerana satu penemuan yang begitu menakjubkan ketika penyelidikan doktor falsafahnya dalam bidang astrofizik, sehingga mendapat liputan meluas media di seluruh dunia.

Prof. Madya Dr. Nur Adlyka binti Ainul Annuar.

Tiga hari lepas, beliau telah menerima anugerah kategori sains, teknologi, dan digital daripada ‘Women of the Future Awards South East Asia’ kerana sumbangannya yang luar biasa dalam ilmu sains dan perlu diangkat sebagai contoh kepada anak muda supaya gigih mengejar cita-cita.

Sumber : Facebook

‘Women of the Future Awards South East Asia’ merupakan sebuah inisiatif untuk menyokong dan menyambut kejayaan wanita muda yang luar biasa, dimulakan di United Kingdom pada tahun 2006 oleh Pinky Lilani CBE DL. HRH The Countess of Wessex.

Siapa Prof. Madya Dr. Nur Adlyka binti Ainul Annuar sebenarnya? Jom kita kenali siapa beliau.

SIAPA BELIAU

Kini, Prof. Madya Dr. Nur Adlyka binti Ainul Annuar merupakan seorang Associate Professor di Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau yang merupakan anak kelahiran Muar, Johor ini telah ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2008 untuk melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains di United Kingdom dan memperoleh kelas pertama dalam bidang yang diceburi iaitu bidang Fizik dan Astrofizik daripada University of Sheffield, UK.

Kemudian, beliau meneruskan pengajian ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Astrofizik di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, UK dengan tajaan oleh Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA). Ketika pengajiannya itu, beliau juga merupakan salah seorang saintis teleskop X-ray NASA (National Aeronautics and Space Administration, USA).

Sumber foto : Astro Awani

Ketika pengajian doktor falsafahnya, beliau menjalankan penyelidikan berkaitan “active supermassive black holes” di alam semesta, yang merupakan lohong-lohong hitam yang sekurang-kurangnya sejuta kali lebih berat daripada matahari kita dan aktif ‘memakan’ objek yang berada di sekitarnya.

PENYELIDIKAN MENAKJUBKAN

Tumpuan penyelidikannya adalah untuk mencari “active supermassive black holes” yang tersembunyi kerana ditutupi gas dan habuk yang tebal. Pencarian ini amat penting bagi membantu manusia memahami bagaimana lohong-lohong hitam di alam semesta mengembang, kemudian memberi kesan kepada galaksi yang mereka duduki. Beliau yang merupakan ketua penyelidik telah menggunakan NuSTAR (Nuclear Spectroscopic Telescope Array), iaitu teleskop yang dapat mengesan sinaran-X daripada objek-objek dan berupaya menembusi gas dan habuk tebal tersebut.

Hasilnya, sebuah galaksi berdekatan dengan bumi yang mengandungi “active supermassive black holes” berjaya ditemui, iaitu Galaksi NGC 1448. Lohong hitam tersebut ditemui berada di tengah-tengah galaksi tersebut, dalam jarak 38 juta tahun cahaya daripada galaksi kita. Biarpun secara nombor kasarnya kelihatan jauh daripada kita. Hakikatnya, dalam dunia astronomi, jarak ini dikira sangat dekat kerana keadaan saiz alam semesta kita yang sangat besar.

Subhanallah! Hebat!

KESIMPULAN

Dua perkara yang min dapat simpulkan di sini.

  1. Sesungguhnya seseorang yang gigih berusaha dan bermatlamat pasti akan kecapi kejayaannya cepat atau lambat. Sekiranya seseorang itu berusaha lakukan yang terbaik dengan berstrategi, di hujungnya Allah pasti akan tunjuk hasil yang menakjubkan.
  2. Melalui penemuan ini, Allah mengizinkan manusia melihat sebuah ciptaan-Nya yang begitu menakjubkan, yang tidak pernah terfikir oleh akal waras manusia. Hal ini menjadi mesej bahawa manusia ini terlalu kerdil di celah-celah ciptaan-Nya yang jauh lebih besar, ajaib, dan menakjubkan, bukan sahaja di dalam bumi, tetapi di luar bumi yang tidak tercapai anggota manusia menggapainya tanpa alat bantuan yang sepatutnya.

Oleh itu, jangan pernah merasa bangga diri dan melupakan Dia Yang Maha Esa. Sesungguhnya, pengetahuan kita sangatlah terbatas. Masih banyak perkara tersembunyi yang tidak kita ketahui. Dan sudah pasti itulah peranan kita untuk terus terokainya dan mencari mesej cinta-Nya dalam setiap pertemuan tersebut.

Maka, ambillah kejayaan Prof. Madya Dr. Nur Adlyka binti Ainul Annuar ini sebagai semangat dan motivasi untuk kita membentuk kejayaan penerokaan kita dalam bidang yang diceburi. Selamat maju jaya!

RUJUKAN :

1.https://www.majalahsains.com/penemuan-supermassive-black-holes-temubual-khas-bersama-nur-adlyka-ainul-annuar/

2. https://ukmsarjana.ukm.my/main/lihat_profil/SzAyMjI1NA==

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts