Baru-baru ini, sekumpulan anak tempatan daripada syarikat penyedia solusi robotik Ideasparq Robotics Sdn Bhd telah berjaya mencipta robot pembersihan lantai buatan Malaysia yang pertama di Malaysia. Tenaga kerja tempatan ini melibatkan 20 siswazah universiti pelbagai bidang termasuk kejuruteraan, reka bentuk dan teknologi maklumat.
Matlamat ciptaan ini adalah untuk memastikan proses pembersihan dan pencucian serta sanitasi di hospital berjalan dengan lebih selamat memandangkan robot ini bergerak secara automatik, lebih-lebih lagi di fasa penularan COVID-19.
Ketua Pegawai Eksekutif Ideasparq Robotics, Tuan Asyraf Abdul Rahman menyatakan bahawa kejayaan ini seiring dengan pembangunan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan berjaya memberi pelbagai faedah kepada pengguna.

“Ia mengurangkan penglibatan pekerja, sekali gus risiko pendedahan terhadap penularan virus COVID-19 juga rendah apabila robot ini boleh menjalankan pembersihan lebih efisien di hospital, selain mudah dikendalikan menerusi teknologi dan perisian tersendiri. Sememangnya kita sudah ke arah IR4.0 dan ia memberi nilai tambah kepada modal inan itu sendiri. Jika dahulu pekerja menggunakan tenaga sendiri untuk mencucui, kini taraf kemahiran mereka dipertingkatkan apabila mampu menguruskan dan menyelenggara robot tersebut.”
Tuan Asyraf Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif Ideasparq Robotics.
Penghasilan robot yang mempunyai fungsi empat dalam satu ini, iaitu cuci, mop, sapu, dan vakum menjalankan pembersihan dengan efisien bersama kualiti pembersihan yang meningkat sebanyak 60% berbanding proses pembersihan secara manual, di samping telah berlaku penjimatan sehingga 60 peratus bahan kimia yang digunakan.

Menurut Tuan Asyraf, penghasilan robot ini mengambil masa enam bulan untuk disiapkan dengan kos keseluruhan RM 600,000 bagi sebuah robot termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D). Projek ini telah bermula sejak tahun 2020 dan berjaya dilaksanakan di tiga hospital iaitu Hospital Tampin, Hospital Jasin, dan Hospital Sultan Ismail di Johor.
“Kita telah bekerjasama dengan syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital Medivest Sdn Bhd, iaitu membekalkan mereka dua hingga tiga unit robot pembersihan lantai di tiga hospital iaitu Hospital Tampin, Hospital Jasin, dan Hospital Sultan Ismail di Johor.”
Tuan Asyraf
Dalam pada itu, robot pembersihan lantai ini juga telah diperkenalkan di hotel, hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan tempat awam lain, malah telah digunakan di Pasar Ayam Amanjaya, Ipoh, Perak pada Nov 2020. Tetapi, sasaran utamanya adalah di hospital. Maka, penggunaan robot ini akan diperluaskan lagi penggunaannya ke hospital-hospital lain dengan sasaran 19 hospital menerusi fasa kedua sebelum akhir tahun ini
Syabas anak muda!
Sumber : Bernama, https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=2053780