20 tahun lepas, kalau kita katakan kita mahu menjadi seorang ‘pengurus media sosial’, ‘pembangun aplikasi telefon bimbit’, ‘Youtuber’, ‘Pakar viral Malaysia’, mungkin orang akan kata kita bermimpi di siang hari.
Namun hakikatnya, kini semakin banyak peluang pekerjaan baru muncul yang kita mungkin tidak pernah terfikir puluhan tahun lepas.
Untuk itu, kita boleh ucapkan terima kasih kepada Revolusi Industri 4.0. Ringkasnya, Revolusi Industri keempat ini kita bolehlah fahami sebagai ‘kemunculan superkomputer, robot pintar, kenderaan tanpa pengemudi, suntingan genetik dan perkembangan neuroteknologi yang memungkinkan manusia untuk lebih mengoptimalkan fungsi otak’.

Maka pada masa depan, generasi baru bukan saja perlu bersaing sesama manusia, tapi juga dengan robot. Dan dalam banyak perkara, kita manusia sedang ditewaskan. Itulah sebabnya dijangka beberapa sektor pekerjaan berikut mempunyai 95% kebarangkalian untuk diganti dengan robot:
- Penjaga kaunter
- Kerani pejabat
- Penjaga buku perpustakaan
- Posmen
- Pegawai perhutangan
- Pengumpul bil
- Penyusun dan pemasang barangan elektrik dan elektronik
- Dan banyak lagi
Ringkasnya, kerja – kerja yang memerlukan aktiviti berulang – ulang, patuh pada prosedur, terhad kepada kehendak fizikal mungkin tidak akan terselamat daripada digantikan oleh robot. Malah 800 juta pekerjaan dijangka hilang akibat revolusi baru ini.
Agak menakutkan bukan? Tapi sebenarnya ia akan diganti dengan peluang – peluang pekerjaan yang baru, yang mungkin tidak lagi wujud dan kita tidak lagi terfikir pun.
Menurut World Economic Forum, 65% daripada kanak – kanak yang mula masuk sekolah rendah pada hari ini akhirnya akan memasuki sektor pekerjaan yang belum lagi wujud.
Antara peluang pekerjaan masa depan yang dijangka terbuka adalah seperti:
- Mekanik kereta pandu sendiri
- Pengurus drone
- Pengurus dunia realiti maya
- Pakar bedah jarak jauh
Maka untuk mempersiapkan generasi baru untuk berhadapan dengan dunia pada masa depan, sistem pendidikan memainkan peranan yang sangat penting. Dan kita mungkin perlu membuang soalan – soalan lapuk seperti ‘nak jadi apa bila besar‘ kepada anak – anak kita bermula sekarang.
Pelajar – pelajar perlu disiapkan dengan kemahiran berfikir secara kritikal, kreativiti, komunikasi dan kemahiran bekerjasama, menurut World Economic Forum.
Malangnya, kebanyakan kita masih terperangkap dengan sistem peperiksaan yang sekadar menghafal dan memuntahkan kembali info di atas kertas, untuk kemudian ditempel dengan peratus dan gred pada kad laporan. Jika menghafal adalah kemahiran anak – anak kita, maka kemahiran copy & paste robot yang lebih hebat pasti akan menggantikan mereka.