Semua manusia tercipta dengan latar belakang, pengalaman dan intuisi berbeza. Tidak hairanlah apabila variasi pandangan dan pendapat itu berlaku. Dan perkara ini merupakan satu perkara yang baik kerana satu kelompok itu dapat membantu membuka satu dimensi pemikiran yang baru kepada kelompok yang lainnya.
Dalam konteks negara kita sekarang yang dihujani pelbagai isu, terlalu ramai netizen-netizen yang berani dan lantang melontarkan hujah serta pendapat masing-masing. Sehinggakan aktiviti kecam-mengecam turut berlaku dengan jayanya. Al-maklumlah fasa PKP kan. Inilah masanya untuk memanfaatkan penggunaan media sosial dengan baik.
Habis tu, salah ke? (soalan tak puas hati)
Uish. Tak salah. Silakan selagi mana boleh membuka mata manusia-manusia lain dengan lebih luas, dan selagi mana tidak melebihi batas syariat.
Sebab itu juga wujudnya penulisan ini. Saya nak dedahkan satu konsep matematik untuk kita jadi lebih bijak dalam membuat sebarang kecaman, komen dan menghukum sesuatu isu. (Angkat kening)
Bukan main tajuk kali ini. Serius arr nak kecam pun, guna konsep matematik?
Ya serius! Jom kita lihat buktinya.
PENAAKULAN LOGIK
Konsep yang dimaksudkan ialah penaakulan logik. Kalau bahasa omputihnya, kita sebut Logical Reasoning. Kita belajar waktu tingkatan 4. Haa, ingat tak? Bagi yang dah lama belajar,mesti terimbau kenangan manis dengan tajuk ni kan. Rasa senang sangat nak score. Betul ke? (Angkat kening)
Logik ni apa?
Logik ini sebenarnya perkataan lain bagi mantik. Dan mantik ini merupakan satu cabang dalam matematik kerana peranannya yang utama bagi memastikan kesahihan pembuktian dalam setiap kajian.
Pada akhir 1980-an, mantik telah dijadikan satu tajuk dalam matematik KBSM selepas kesedaran dalam kalangan penggubal kurikulum terhadap peri pentingnya ilmu mantik dalam aliran sains dan teknologi kini, terutamanya bidang matematik dan komputer. Hal ini bagi membuka fikiran dan minda pelajar supaya lebih kritis, rasional, bersistem dan analitis. Maka, terciptalah satu topik yang dipanggil logik dalam sistem pembelajaran sehingga kini.
Pemikiran logik adalah satu cara fikir untuk mencari jawapan atau membuat keputusan kepada suatu permasalahan. Terdapat enam konsep asas dalam pemikiran logik. Antaranya ialah konsep andaian, premis, konsep pernyataan umum, konsep pernyataaan khas, konsep kelayakan dan konsep menyangkal. Ilmu ini turut menjadi konsep asas kepada ilmu tauhid dan ilmu agama yang lain bagi menetapkan sesuatu hukum.
Seperti yang dinyatakan oleh Prof. Mat Rofa Ismail (2013), sebuah hadis riwayat Ath-Thabrani ada menyatakan bahawa “Banyak bicara, maka banyak salahnya, banyak salah, maka banyak dosanya, banyak dosa, maka tempatnya di neraka.” Dengan menggunakan kaedah transitif dalam ilmu logik, hadis ini menerangkan kepada kita bahawa, apabila kita banyak bicara, maka, kesimpulannya tempat kita di neraka.
Di bawah konsep ini, terdapat pelbagai kaedah yang dapat diaplikasikan dalam membuat sesuatu penghujahan. Tetapi, untuk penulisan kali ini, saya kemukakan dua kaedah penting dalam penaakulan logik yang sesuai dengan konteks semasa masyarakat kita, iaitu kaedah implikasi dan kaedah induksi.
Kaedah Implikasi
Secara tulisan logiknya,

p ialah antejadian/ hipotesis,
q ialah akibat.
Dalam kaedah ini, satu pernyataan asal akan menghasilkan tiga keadaan bersyarat, yang disebut dengan istilah akas, songsangan dan kontrapositif. Secara matematiknya, sekiranya pernyataan itu betul, maka ayat kontrapositif juga akan betul. Manakala, sekiranya ayat akas itu betul, maka ayat songsangan juga betul. Tetapi, perlu kepada satu pembuktian. Sebagai asas untuk penggunaan kaedah ini :
Pernyataan : Jika p, maka q.
Akas : Jika q, maka p.
Songsangan : Jika bukan p, maka bukan q.
Kontrapositif : Jika bukan q, maka bukan p.
Untuk lebih memahami aplikasikannya, kita cuba uji dalam satu contoh kes. Kesnya berbunyi begini :
“ Oyen telah didakwa melakukan satu perbuatan yang tidak senonoh ke atas Comot. Maka, tuan Comot telah membuat laporan ke atas salah laku Oyen. Maka, Oyen telah direman bagi membantu siasatan.”
Maka, daripada fakta kes ini, kaedah implikasi akan membantu menerangkan andaian-andaian yang mungkin berlaku.
Pernyataan : Jika Oyen melakukan perbuatan tidak senonoh itu, maka dia didapati bersalah dan perlu dijatuhkan hukuman.
Akas : Jika Oyen didapati bersalah dan perlu dijatuhkan hukuman, maka, dia melakukan perbuatan itu.
Songsangan : Jika Oyen tidak melakukan perbuatan itu, maka dia didapati tidak bersalah dan tidak perlu dijatuhkan hukuman.
Kontrapositif : Jika Oyen tidak didapati bersalah dan tidak dijatuhkan hukuman, maka, dia
tidak melakukan perbuatan itu.
Langkah seterusnya ialah kita perlu menguji kebenaran tiga kenyataan bersyarat yang telah dinyatakan, barulah hukuman itu dapat dijatuhkan dengan adil.
Bagaimana ingin dinilai kebenarannya?
Kalau rajin, boleh cuba buat pengiraan di bawah ini.
Teori Bayes/ Bayes Theorem
Teori ini antara kaedah untuk mendapatkan solusi dan tekaan kebarangkalian yang berlaku dalam sesuatu jenayah. Antara item yang diperlukan dalam pengiraan ini ialah kebarangkalian masa dan tempat berlaku, nama penjenayah, dan kenalan penjenayah. Berikut antara model sistem yang digunakan dalam teori ini :

Dan di bawah ni, saya tempek terus gambar formulanya.

Fuh! Dahsyatkan. Macam mana nak kira ni? Maklumat pun tak cukup.
Jawapannya, tidak perlu kira. Biar mereka yang berautoriti sahaja bergerak untuk mendapatkan maklumat-maklumat berkaitan dan membuat pengiraan ini. Kita tak perlu pening-pening kepala.
Jadi, apa tindakan kita?
Kita doakan supaya urusan pihak berautoriti dipermudahkan dan kebenaran segera dibentangkan. Baik Oyen, mahupun Comot, bukti kukuh diperlukan untuk menentukan pihak yang teraniaya supaya penjenayah sebenar diheret ke muka pengadilan.
Kaedah Induksi
Kaedah ini menghasilkan hujah induktif, iaitu satu kesimpulan umum yang dibuat daripada kes-kes khusus. Sebelum kesimpulan itu dibuat, kita perlu hadirkan dahulu premis-premisnya.
Mari kita lihat contoh kes ini:
“Oyen dan Yoyo dikatakan melakukan perbuatan sumbang. Malah, kedua-duanya mempunyai bulu di badan yang berwarna oren.”
Eh, bulu? Kucing rupanya.
Premis pertama : Oyen didakwa melakukan perbuatan sumbang.
Premis kedua : Yoyo didakwa melakukan perbuatan sumbang.
Kesimpulan : Semua kucing yang berbulu oren didakwa melakukan perbuatan sumbang.
Tetapi, adakah kesimpulan ini benar?
Dalam konsep taakulan logik, satu perkara yang perlu diketahui ialah kesimpulan hujah induktif tidak semestinya benar kerana hujah ini boleh dipengaruhi intuisi dan pengalaman sebelum. Premis atau kesimpulan yang dihadirkan boleh dipertikaikan kebenarannya selagi mana tiada satu bukti atau hujah kukuh yang membenarkan kesimpulan tersebut.
Maka, dalam isu ini, seseorang itu lebih memegang kepada kepercayaan dan pengalamannya, berbanding hujah manusia lain. Ini juga diterangkan oleh falsafah Falibilism, iaitu satu prinsip manusia yang mungkin salah berdasarkan kepercayaan, sangkaan dan kefahamannya, tetapi, masih dianggap betul selagimana tiada bukti kukuh lain yang dikemukakan.
KESIMPULAN
Secara kesimpulannya, dua kaedah ini saya dedahkan kepada anda bagi memperjelaskan kaedah matematik yang rasional dalam menyedarkan manusia berkenaan pentingnya kebenaran sesuatu perkara untuk mendapatkan satu kesimpulan yang jelas. Hal ini kerana hakikat logik dalam matematik hanyalah untuk mencari kebenaran dan perlukan kepada pembuktian jelas sebelum menjatuhkan hukuman ke atas sesuatu perkara atau peristiwa.
Berdasarkan pembuktian kaedah yang pertama, ilmu ini mengajar kita supaya bersikap rasional dalam membuat andaian dan tidak menjatuhkan hukuman selagi mana belum dikemukakan satu bukti yang kukuh.
Manakala, berdasarkan pembuktian kaedah yang kedua, ilmu ini mengajar kita bahawa sifat manusia ini mudah membuat kesimpulan berdasarkan pengalaman-pengalaman dan kes-kes khusus yang pernah dialaminya, walaupun firasat dan rasanya itu mungkin salah.
Oleh yang demikian, dalam konteks bersuara dan mengecam di media sosial, jadikanlah konsep ini sebagai asas untuk membuat satu kesimpulan dan menjatuhkan hukuman. Sebelum dikemukakan bukti yang jelas, usahlah berlebihan dalam menyalahkan, dan usahlah berlebihan dalam mempertahankan. Cukuplah berbicara sekadar untuk memahamkan masyarakat dan mengambil pengajaran daripada peristiwa yang berlaku. Bimbang sekiranya hasil siasatan membuktikan sebaliknya dengan tanggapan dan tindakan kita, maka, kita termasuk dalam golongan yang menyebarkan fitnah dan yang merugikan.
Dan yang paling penting, jagalah perilaku dan akhlak dengan sebaiknya. Setiap manusia membawa identiti dan nama yang perlu dijaga. Janganlah hanya kerana kekhilafan dan ketamakan kita, habis semua manusia yang bersama kita terkena tempias yang sama.
Inilah yang kita sebut, kerana nila setitik, rosak susu sebelanga! Kerana Oyen dan Yoyo, merana semua kucing oren di dunia! Kesian Yaya.
Yaya mana pula ni? (Garu kepala)
Akhir kalam, sentiasalah beringat pada hadis Rasulullah S.A.W, agar kita sentiasa berwaspada dan tidak tergolong dalam keadaan yang disebutkan.
Daripada Abu Hurairah ra. berkata: Rasulullah saw. bersabda; “Akan timbul di akhir zaman orang-orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud dari dunia) untuk mendapat simpati orang ramai, dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka adalah hati serigala (mempunyai tujuan-tujuan yang jahat)”.
Nau’zubillahiminzalik!
RUJUKAN :
- Epistemologi, Falsafah dan Etnomatematik : Ke Arah Kesepaduan Kuantitatif dan Kualitatif (2013)
- http://studentsrepo.um.edu.my/2461/2/BAB_1.pdf
- Criminal Prediction Using Naïve Bayes Theory file:///C:/Users/User/Downloads/springer_2016.pdf
- Logik : Deduktif dan Induktif, http://eurekamemento.blogspot.com/2015/09/logik-deduktif-dan-induktif.html
- https://reasonandmeaning.com/2014/03/16/fallibilism/
- http://www.injet.upm.edu.my/images/journal/issue2/Meneroka%20Pemikiran%20Logik%20Melalui%20Penggunaan%20Aplikasi%20Mudah%20Alih.pdf