FAKTA MENGENAI KELIP-KELIP YANG PERLU ANDA TAHU

‘Fireflies’ merupakan satu spesies serangga yang sangat terkenal dan cantik. Secara litralnya, mungkin boleh ditafsir sebagai ‘penerbang berapi’. Tetapi, nama tempatannya ialah kelip-kelip atau kunang-kunang.

Kelip-kelip dikelaskan sebagai Class Insecta, order Coleoptera (kumbang), keluarga Lampyridae. Di Malaysia sendiri, kelip-kelip yang banyak ditemui berasal daripada genus Pteroptyx.

Kelip-kelip

HABITAT

Kita dapat menemui kelip-kelip di kawasan pinggir sungai, paya bakau dan juga di daratan. Terdapat spesies kelip-kelip yang gemar kepada pokok-pokok tertentu untuk dijadikan rumah seperti pokok berembang.

Selain pokok berembang, terdapat juga kelip-kelip yang hidup di sekitar tumbuhan tepi sungai seperti pokok nipah. Pokok durian dan bachang pun kadang-kadang ada juga kumpulan kelip-kelip yang jadikan tempat persinggahan.

Pokok Berembang
Buah Berembang

KITAR HIDUP

Kelip-kelip mengalami kitar hidup metamorphosis yang lengkap dimana bentuk anak dan dewasa spesies ini berbeza. Fasa metamorphosis tersebut ialah telur, larva, pupa dan dewasa.

Kelip-kelip dewasa

Larva kelip-kelip berbentuk sangat unik dan menarik. Badan larvanya agak nipis, kulit luar seakan lapisan perisai yang berlapis. Larva juga mengamalkan mod pemakanan yang jauh berbeza dengan dewasa. Kelip-kelip dewasa mengambil nutrien daripada madu tumbuhan, malah ada juga yang tidak makan sepanjang menjadi dewasa. Manakala larva kelip-kelip pula menjadi ‘hunter’ dengan memakan spesies siput kecil di atas tanah.

Spesies larva akan masuk ke dalam tanah untuk menjadi pupa selama lebih kurang 9 – 12 hari. Kemudian, apabila sudah menjadi dewasa, kelip-kelip ini akan terbang ke atas kawasan pokok dan mula mengawan.

Kebanyakan kelip-kelip tidak aktif pada waktu siang, oleh itu spesies ini digelar sebagai serangga nocturnal (aktif waktu malam).

BAGAIMANA KELIP-KELIP BERCAHAYA?

Cahaya yang keluar daripada badan kelip-kelip terletak di abdomen bawah. Tindakan kimia yang menghasilkan cahaya berkelip disebut sebagai bioluminescene. Apabila kalsium + oksigen, adenosine triphosphate dan luciferin bertindak balas dengan kehadiran enzim luciferase, maka terhasillah sebuah cahaya di bahagian abdomen tersebut.

Cahaya yang dihasilkan oleh kelip-kelip hanya mengeluarkan haba sebanyak 5% sahaja. Hal ini menjadikan cahaya dihasilkan digelar ‘cold light’. Penghasilan haba yang rendah juga mengelakkan badan kelip-kelip terbakar.

Fungsi cahaya yang dihasilkan dikatakan perlu untuk tiga aktiviti kelip-kelip. Pertama, menarik perhatian pasangan, kedua untuk mengawan dan ketiga sebagai tanda amaran.

Terdapat satu keajaiban dalam cahaya yang dihasilkan oleh populasi kelip-kelip. Saintis tidak dapat merungkaikan lagi bagaimana individu kelip-kelip yang banyak ini mampu menunjukkan aktiviti berkelip secara serentak ataupun berirama.

Hal ini kerana, tindak balas berkelip dalam kelip-kelip adalah automatic, tetapi hasil yang dilihat pada populasi kelip-kelip seakan-akan dikawal daripada satu suis. Sama seperti lampu raya yang berkelip serentak dan ada masa berirama.

ANCAMAN KEPADA KELIP-KELIP

Bayangkan lima tahun lagi kita tidak akan nampak kerlipan cahaya di tepi sungai-sungai. Anak cucu kita pun tak akan tahu bagaimana kecantikan kerlipan kelip-kelip diwaktu malam.

Populasi kelip-kelip sedang diancam kepupusan akibat pencerobohan kepada habitat mereka. Pelbagai kawasan pinggir sungai kini diganggu ekosistemnya sehingga banyak pokok berembang ditebang. Malah, kawasan-kawasan kampung yang dulu mudah untuk kita melihat kelip-kelip kini menjadi semakin sukar.

Kelip-kelip di waktu senja pada Pokok Berembang

Pelbagai pihak kini berusaha memulihara habitat kelip-kelip daripada rosak dan terus hilang. Antara syarikat yang membantu aktiviti ini adalah Tenaga Nasional Berhad. Mereka telah memperuntukkan sejumlah dana besar bagi aktiviti pemuliharaan kelip-kelip di seluruh Malaysia

Jika anda  ingin melihat kelip-kelip dalam jumlah yang banyak, boleh pergi ke  Sungai Timun, Negeri Sembilan, Kampung Dew, Perak, dan Kampung Kuantan, Selangor.

Rujukan :

  1. https://www.scientificamerican.com/article/how-and-why-do-fireflies/#:~:text=Fireflies%20produce%20a%20chemical%20reaction,light%20production%20is%20called%20bioluminescence.&text=When%20oxygen%20combines%20with%20calcium,bioluminescent%20enzyme%2C%20light%20is%20produced.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts