Setiap makhluk yang hidup, pasti mempunyai tarikh kelahirannya sama seperti kita. Manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan, semuanya mempunyai permulaan. Begitu juga dengan Bumi, Matahari dan Sistem Suria, ketiga-tiga ini lahir bersama-sama sekitar 4.6 billion tahun lalu. Bagaimana pula dengan langit yang dipenuhi bintang-bintang ini? Bagaimana dengan alam semesta kita? Adakah ia juga mempunyai tarikh kelahiran?
Jawapannya sudah tentulah ya. Kesemua yang disebutkan di atas adalah makhluk Allah, dan setiap makhluk mempunyai tarikh kelahiran masing-masing. Berdasarkan maklumat terkini daripada cerapan-cerapan langit, alam semesta kita ini bermula sekitar 14 billion tahun yang lalu. Permulaannya dijelaskan oleh satu teori yang ramai pernah mendengarnya iaitu teori Letupan Besar atau lebih popular dengan nama teori “Big Bang”.
Teori Letupan Besar ini walaupun popular, ia sering disalah tafsir oleh masyarakat. Ada yang menentangnya kerana mempunyai teori lain, ada yang menentangnya kerana faktor tafsiran agama dan ada yang menentangnya kerana bunyinya yang tidak logik. Oleh itu, dalam artikel ini, saya akan jelaskan berkenaan salah faham umum berkenaan teori Big Bang.
Big Bang ialah satu letupan yang menghasilkan alam semesta
Inilah salah faham yang paling utama berkenaan teori Letupan Besar. Apabila kita dengar perkataan “Letupan” Besar atau Big “Bang”, kita akan terbayang keadaan alam semesta ini pada mulanya meletup dengan besar sehingga membentuk alam semesta kita hari ini. Kita juga terbayang letupan besar ini mengeluarkan bunyi yang sangat kuat. Namun pada hakikatnya, letupan besar ini sangat berlainan daripada tanggapan umum. Pada kelahiran alam semesta, keseluruhan alam semesta ini termasuklah bintang, galaksi, dan juga ruang-masa berasal dari satu titik yang dikenali sebagai ‘kesinggularan’ (singularity). Titik ini kemudian mengembang kepada alam semesta yang kita lihat pada hari ini. Pengembangan inilah yang dikenali sebagai “Big Bang”.

Big Bang mengeluarkan bunyi yang sangat kuat
Letupan yang kita faham seperti letupan mercun dan bom akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat. Jadi, apabila permulaan alam semesta dikatakan sebagai letupan besar, maka kita anggap bahawa ia mengeluarkan bunyi yang sangat kuat. Namun pada hakikatnya, letupan besar atau lebih tepat lagi pengembangan awal alam semesta ini, langsung tidak mengeluarkan bunyi. Penjelasan ini mudah sahaja untuk difahami. Oleh sebab letupan besar ini sebenarnya ialah pengembangan, maka tidak ada yang ‘meletup’ untuk menghasilkan bunyi.

Big Bang berlaku di satu kawasan khusus
Apabila kita fikirkan tentang letupan mercun, mercun tersebut meletup ke persekitaran. Asal-usul letupan itu adalah daripada mercun tersebut. Jadi, menjadi kebiasaan jika kita bertanya ‘di manakah berlakunya letupan besar?’. Adakah wujud satu titik khusus di angkasa yang merupakan titik asal-usul letupan besar atau alam semesta?. Jawapannya tidak. Letupan besar ini adalah pengembangan keseluruhan alam semesta. Pada asalnya, kesemua alam semesta ini adalah satu dan kemudian terpisah kepada semua yang kita lihat hari ini. Ruang dan masa itu sendiri adalah satu sebelum ia mengembang. Antara persoalan seterusnya yang akan ditanya ialah ‘jika alam semesta itu mengembang, ia mengembang kepada apa?’ dan ‘apakah ‘disebalik’ alam semesta ini?’. Persoalan ini mungkin akan dikongsi dalam artikel akan datang, InsyaAllah.

Big Bang hanyalah sebuah teori tanpa pembuktian
Ini satu lagi salah tanggap yang popular terutamanya dalam kalangan mereka yang langsung tidak pernah mengkaji sedikitpun berkaitan teori ini. Teori letupan besar ini bukanlah satu teori atas kertas sahaja dan ia bukan juga teori konspirasi tertentu. Sebelum tahun 1920-an, ahli astronomi menyangka bahawa alam semesta ini sebenarnya adalah statik dan tidak bergerak. Malah mereka juga menyangka alam semesta ini tidak mempunyai umur (umurnya infiniti). Inilah pegangan ahli-ahli astronomi, fizik dan lain-lain pakar dalam bidang ini termasuklah Albert Einstein. Namun pada tahun 1920-an, ahli astronomi Edwin Hubble mendapati bahawa alam semesta ini berkembang dan bukan statik. Kemudian pada era 1950-an, teori letupan besar dikukuhkan lagi dengan penemuan isyarat gelombang mikro dari langit yang dikenali sebagai Sinar Latar Belakang Gelombang Mikro Kosmik (Cosmic Microwave Background Radiation). Selepas teleskop-teleskop dihantar ke angkasa untuk mencerap, banyak lagi penemuan baharu yang menyokong teori letupan besar ini.

Big Bang menerangkan sepenuhnya asal-usul alam semesta
Asal-usul alam semesta boleh diterangkan oleh teori letupan besar merupakan salah tanggap yang paling ‘akademik’ kerana mereka yang pernah mengkaji bidang ini pun terperangkap dengan salah tanggap ini. Teori letupan besar ini menyatakan bahawa alam semesta ini asalnya ialah satu, dan termampat kesemuanya dalam titik kesinggularan, kemudian ia mengembang kepada keadaan hari ini. Teori ini tidak menerangkan ‘apa yang mencetuskan titik kesinggularan ini mengembang’ atau ‘dari mana munculnya titik kesinggularan yang mengandungi keseluruhan alam semesta ini’ atau ‘apa yang wujud sebelum letupan besar’.
Kesimpulan
Teori letupan besar ini kerapkali kita dengar dalam program-program sains, dan kadang-kala kita juga mungkin pernah bertanyakan soalan ini. Bagi yang muslim, kita percaya bahawa semua makhluk ini ada awalnya. Jadi, teori Big Bang ini adalah salah satu bukti bahawa alam semesta ini juga ada awalnya. Yang tiada awal dan tiada akhir, hanyalah Allah SWT, yang menciptakan segala-galanya.