Jarang kita jumpa kartun yang ajar matematik. Lagi jarang kita jumpa kartun mengajar matematik yang kelakar!
Sebuah video kartun baru yang diterbitkan di Youtube oleh saluran Official Misi bertajuk Misi The Series – Mat & Maths meneroka persoalan mereka yang bencikan matematik dan anggap matematik tiada manfaat.
Berikut adalah kupasan video tersebut, dan kenapa kartun berdurasi pendek kurang 5 minit itu begitu gempak!
Lagu Pembukaan

Sesuatu anime atau kartun itu biasanya memperoleh identiti yang istimewa menerusi lagu pembukaannya.
Pembukaan awal kartun Misi ini dimulakan dengan lagu rancak yang begitu catchy oleh Orkes A Hizadin, diikuti oleh visual yang memperkenalkan watak – watak siri tersebut.
Ini pertama kali penulis mendengar lagu tersebut, dan agak terpesona dengan mesej lagu yang begitu positif, dan sememangnya sedap didengar!
“Kenapalah Belajar Matematik Ini Semua”
Episod pertama bermula dengan pernyataan soalan oleh seorang watak yang tertekan dengan matematik.
“Aku benci betul matematik! Dari tadika sampai sekarang aku dipaksa belajar matematik. Apalah gunanya x y algebra, pythagoras semua ni? Tak ada manfaat!”

Kemudian lelaki tersebut didatangi oleh watak bermuka bengis yang entah datang dari mana, muncul dalam keadaan yang begitu menakutkan.

Rupa – rupanya watak bermuka ganas tersebut adalah seorang genius matematik bernama Mat, dan dia kemudian menyedarkan, dengan cara baik yang tak melibatkan seksaan dan penderaan (jangan nilai orang dengan muka tuan – tuan), tentang kepentingan matematik.
“Siapa Kata Matematik Tak Ada Manfaat?”
Mat sememangnya seorang watak yang penulis amat minati. Dengan perwatakan yang begitu cool dan bergraviti, dia menjadikan episod pertama ini begitu gempak.
Mat kemudian menjelaskan kegunaan matematik, satunya adalah untuk melakukan urusan kewangan seperti membeli makanan, serta menguruskan baki yang diperoleh.

Kemudian dalam contoh yang lebih hiperbolik, Mat menjelaskan dengan pengiraan halaju langkah ke kelas, dibandingkan dengan jarak ke kelas, dia perlu tiba ke kelas sebelum Cikgu Halim.

Malangnya setelah melalukan pengiraan tersebut, dia dapati masa sangat suntuk dan Mat perlu mengambil jalan pintas,

Tapi pelajar dilarang pijak rumput!

Maka Mat pun berjalan menggunakan tangan, sebab itu tak dikira pijak!

Akhirnya dia berjaya sampai sebelum Cikgu Halim!

“Matematik adalah Misteri yang Mesti Dirungkai”
Menamatkan episod tersebut, Mat menjelaskan kepentingan matematik yang sebenarnya:
“Matematik membantu kita membuat analisa dan seterusnya membuat tindakan yang lebih tepat. Matematik adalah asas bagi banyak perkara yang akan kita temui, Faham?”

Akhirnya Jo, watak yang kita temui pada awal episod, mengakui bahawa matematik sememangnya berguna dan dia menarik semula tuduhannya.
Apa pun, ini adalah satu percubaan yang sangat baik oleh pasukan MISI dalam memperkenalkan kartun pendidikan yang baik untuk ditonton golongan remaja. Episod – episod akan datang sangat dinantikan.
Mat memang gempak!