Ini 7 panduan menjadi seorang ahli farmasi berjaya!

Apabila berkunjung ke klinik atau hospital untuk mendapatkan rawatan kesihatan, pasti akan dibekalkan ubat-ubatan.

Sumber : Laman Web Remaja

Tahukah anda, individu yang membekalkan ubat-ubatan itulah digelar sebagai ahli farmasi dan hanya petugas barisan hadapan ini sahaja yang dibenarkan untuk berbuat demikian.

Hal ini kerana mereka sudah ditauliahkan dalam bidang berkenaan, jadi mereka sudah sedia maklum dan pakar dalam selok-belok produk kesihatan yang dibenarkan mengikut piawaian.

Justeru, minggu ini, Sinar Bestari menghubungi Guru Cemerlang Sains, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Krubong, Melaka, Mohd Raimi Rahim, 36, untuk membincangkan topik kerjaya sebagai ahli farmasi.

Menurutnya, jika pelajar berminat untuk menyambung pengajian dalam bidang farmasi adalah lebih baik jika memilih aliran Sains Tulen apabila memasuki Tingkatan Empat.

“Sememangnya, Sains merupakan subjek utama yang menjadi asas kepada seorang ahli farmasi.

“Ini kerana mata pelajaran seperti Biologi dan Kimia yang dipelajari di dalam bilik darjah menjadi satu batu asas kepada pelajar-pelajar untuk mendalami bidang penghasilan ubat-ubatan yang menggunakan bahan kimia terkawal.

“Tanpa pemahaman yang kukuh dalam subjek ini, mana mungkin pelajar-pelajar mampu menamatkan pengajian dalam bidang farmasi,” katanya.

Mohd Raimi berpesan kepada adik-adik yang menyimpan impian untuk menjadi ahli farmasi agar berusaha secara konsisten dalam pelajaran.

“Memang sudah menjadi lumrah untuk berjaya, pasti akan ada banyak cabaran, dugaan dan halangan.

“Yang penting belajar bersungguh-sungguh dan rajin menelaah semua subjek termasuk Biologi dan Kimia.

“Kebolehpasaran graduan dalam bidang ini sangat tinggi, jadi saya yakin tidak akan ada graduan dalam bidang farmasi akan menganggur pada masa hadapan,” ujarnya.

Untuk itu, disertakan tujuh panduan untuk menjadi seorang ahli farmasi yang berjaya. Jom kita lihat.

1. Asas Sains yang kukuh

Asas kepada ilmu farmasi ini telah diajar sejak pelajar berada di Tingkatan Dua dalam mata pelajaran Sains, Bab 2: Kesihatan Manusia dan diteruskan semasa di peringkat menengah atas dalam mata pelajaran Biologi serta Kimia dalam Bab 5: Bahan Kimia Untuk Pengguna. Semua pengetahuan ini diperlukan semasa pengajian di peringkat ijazah dalam bidang farmasi. Mereka akan mempelajari secara meluas mengenai topik berkaitan Sains, Kimia perubatan dan Biokimia kepada farmakologi dan imunologi.

2. Mengikut preskripsi doktor

Preskripsi adalah satu dokumen rasmi yang dikeluarkan oleh pakar perubatan ataupun doktor bertujuan membekalkan ubat terkawal kepada pesakit. Semua ubat-ubatan yang perlu diambil oleh pesakit di klinik atau hospital akan ditulis di atas preskripsi tersebut. Ia amat penting bagi memastikan rawatan kepada pesakit dapat diberikan dengan betul dan tepat.

3. Berfikiran terbuka dengan ubat-ubatan tradisional

Di Malaysia, perubatan tradisional yang menggunakan tumbuh-tumbuhan, haiwan dan bahan semula jadi telah diamalkan sejak turun-temurun. Ahli farmasi perlu menjadi seorang yang berfikiran terbuka dan tidak menolak keberkesanan ubat-ubatan ini sebagai salah satu alternatif untuk merawat penyakit. Contohnya, lidah buaya untuk merawat kulit terbakar, penggunaan halia dapat mengurangkan angin dalam badan dan daun bunga raya untuk rawatan sakit kepala.

4. Berikan khidmat kaunseling

Kemahiran komunikasi secara berkesan amat penting dalam segala bidang pekerjaan. Di samping itu, seorang ahli farmasi perlu mempelajari ilmu psikologi dan kaunseling untuk meyakinkan pesakit mengenai penggunaan ubat mengikut preskripsi yang betul, pada masa sama memahami situasi pesakit dengan membina hubungan emosi yang bagus.

5. Menjadi pendengar yang aktif

Sejak di bangku sekolah, kemahiran ini perlu diasah dengan pembabitan aktif dalam kelab, persatuan dan badan beruniform. Ahli farmasi perlu menjadi pendengar aktif kerana perlu memberi reaksi yang sesuai terhadap segala tindak balas pesakit secara lisan ataupun bahasa badan. Ahli farmasi juga perlu memberikan respon melalui isyarat bukan lisan seperti membuat hubungan mata, mengangguk, senyuman dan ekspresi muka untuk benar-benar mendalami emosi pesakit.

6. Bina stamina yang kuat

Daya tahan dan stamina yang kuat mampu membantu ahli farmasi untuk kekal aktif bagi jangka masa yang panjang dan tidak mudah berasa letih semasa menjalankan tugas. Ini disebabkan pesakit hadir untuk mendapatkan rawatan ke klinik atau hospital tanpa mengira masa.

7. Jadi ahli farmasi berdaftar

Menurut Akta Pendaftaran Ahli Farmasi 1951, setiap graduan dalam bidang farmasi ini perlu menjadi ahli farmasi yang berdaftar dengan Lembaga Farmasi Malaysia. Setelah tamat pengajian di IPT akan diikuti dengan program ‘housemanship’ selama setahun. Latihan wajib ini boleh dilakukan di institusi-institusi seperti hospital, unit penguatkuasaan farmasi, Biro Kawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan syarikat farmaseutikal atau kedai farmasi komuniti yang dibenarkan oleh Bahagian Farmasi di Kementerian Kesihatan (KKM).

Kredit : Sinar Bestari

Sumber gambar : https://sumberkini.my/persatuan-ahli-farmasi-malaysia-puji-usaha-kj/

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts