Ini Cara Bina Iman Anak – anak Dengan Melihat Langit.

Kanvas langit ketika waktu malam cukup menakjubkan sehingga orang ramai sanggup berkumpul dan melihat kepadanya. Disebabkan ramai orang yang begitu kagum melihat langit, kemudian dicetuskanlah Hari Astronomi.

Pada hari itu (11 Mei setiap tahun), orang ramai didedahkan dengan pelbagai maklumat berkaitan astronomi disamping berpeluang memegang teleskop dan mencerap langit. Ahli profesional dan amatur di bidang turut bersama-sama turun ke tapak aktiviti berhampiran mereka untuk berkongsi keterujaan menyaksikan keajaiban di langit tinggi.

Timbul satu persoalan di sini, apakah sebenarnya yang dicari di langit? Pada kekaguman yang berulang-ulang, apakah pula pelajaran yang ditemukan?

Ketika Nabi Ibrahim A.S melihat ke langit

Image result for stargazing

Suatu masa dahulu, Nabi Ibrahim A.S juga melakukan aktiviti mencerap alam sepertimana kita biasa lakukan pada hari ini. Bezanya, di zaman Nabi Ibrahim A.S tiada peralatan canggih seperti teleskop berkuasa tinggi, pusat observatori, perisian komputer untuk mengetahui kedudukan dan pergerakan tepat bulan, bintang, buruj dan sebagainya. Namun, pandangan Nabi Ibrahim A.S ke langit telah menemukannya dengan keyakinan tauhid yang sangat mendalam. Pengembaraan fitrah Nabi Ibrahim A.S mencari tuhan hanya dengan melihat kepada langit, bintang, bulan dan matahari yang terlihat dengan mata kasar sahaja. Hebat bukan?

Bagi Muslim serta mereka yang membaca Al Quran pasti tidak asing dengan kisah ini yang disebutkan dalam Surah Al-An’am, ayat 75 sehingga 80.

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yakin.

Maka ketika ia berada pada waktu malam yang gelap, ia melihat sebuah bintang (bersinar-sinar), lalu ia berkata: “Inikah Tuhanku?” Kemudian apabila bintang itu terbenam, ia berkata pula: “Aku tidak suka kepada yang terbenam hilang”.

Kemudian apabila dilihatnya bulan terbit (menyinarkan cahayanya), dia berkata: “Inikah Tuhanku?” Maka setelah bulan itu terbenam, berkatalah dia: “Demi sesungguhnya, jika aku tidak diberikan petunjuk oleh Tuhanku, nescaya menjadilah aku dari kaum yang sesat”.

Kemudian apabila dia melihat matahari sedang terbit (menyinarkan cahayanya), berkatalah dia: “Inikah Tuhanku? Ini lebih besar”. Setelah matahari terbenam, dia berkata pula: `Wahai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri (bersih) dari apa yang kamu sekutukan (Allah dengannya).

“Sesungguhnya aku hadapkan muka dan diriku kepada Allah yang menciptakan langit dan bumi, sedang aku tetap di atas dasar tauhid dan bukanlah aku dari orang-orang yang menyekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain)”.

Dan ia dibantah oleh kaumnya, ia pun berkata: “Patutkah kamu membantahku mengenai Allah, padahal sesungguhnya Ia telah memberi hidayah petunjuk kepadaku? Dan aku pula tidak takut (akan sebarang bahaya dari) apa yang kamu sekutukan dengan Allah, kecuali Tuhanku menghendaki sesuatu dari bahaya itu. (Sesungguhnya) pengetahuan Tuhanku meliputi tiap-tiap sesuatu, tidakkah kamu mahu (insaf) mengambil pelajaran?

Dalam sains, mencerap atau memerhatikan alam merupakan aktiviti yang paling asas. Dengan melihat dan mengkaji alam, manusia telah menemukan banyak khazanah ilmu pengetahuan lalu menterjemahkannya ke dalam bentuk inovasi dan teknologi yang memberi manfaat kepada kehidupan mereka. Lebih baik dari itu ialah, apabila merenung kejadian alam semesta dengan rasa insaf serta dibantu pula hidayah Allah dapat melahirkan rasa dan tindakan iman.

Nabi Ibrahim A.S pada ribuan tahun yang lalu, dan kita pada hari ini masih melihat kepada bulan dan matahari yang sama, pada langit yang sama, tetapi ternyata melahirkan kesan iman yang berbeza. Bukankah menghairankan apabila ramai manusia memandang ke bintang tetapi tidak bertemu cahaya kebenaran, melihat ke bulan tetapi tidak mengenal pencipta, hidup dari manfaat matahari tetapi hatinya tetap mati?

Jom buat aktiviti tadabbur alam ini bersama ahli keluarga

Lawatan ke pusat observatori, melihat langit menggunakan teleskop, mempelajari ilmu baharu dari pameran di pusat sains dan sebagainya adalah bagus sekali, tetapi kita tidak perlu tunggu Hari Astronomi untuk menghargai dan mengambil pelajaran dari langit, bulan dan bintang. Nah, di sini ada tiga aktiviti yang boleh dilakukan bersama ahli keluarga pada bila-bila masa.

Bed Time Story Kisah Nabi Ibrahim A.S mencari Tuhan.

Apakah kebiasaan anak-anak anda ketika hendak tidur? Melihat televisyen sehingga terlelap? Bermain telefon? Cuba buat perubahan kali ini. Ketika anak-anak sudah bersedia untuk tidur di waktu malam, matikan televisyen dan simpan semua gajet. Ambil pula Al-Quran dengan terjemahan dan buka Surah Al-An’am., ayat 75 – 80. Bacakan ayat Al Quran dan cerita terjemahannya kepada anak-anak dengan gaya yang sesuai menarik.

Berkelah sambil beriman

Image result for berkelah

Anda tentu biasa berkelah bersama keluarga ketika cuti, apa kata cuti kali ini tambahkan sedikit kelainan. Selepas makan-makan, bersembang dan begurau, buka Al Quran Surah Aali-‘Imran, ayat 190 – 191.

Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi, dan pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksanaan, dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka.

Minta anak-anak berlumba untuk menghafal ayat Al Quran dan terjemahan tersebut dengan cepat. Ibu dan ayah jangan lupa hadiahkan ais krim kepada pemenang sebelum pulang! Ini tentu sahaja menjadi aktiviti yang menyeronokkan di tepi pantai, air terjun atau taman rekreasi.

Rahmat dari hujan lebat

Image result for hujan

Hujan lebat di hujung minggu dan semua ‘terperangkap’ di dalam rumah. Bosan? Jadi habiskan masa dengan bermain gajet atau lebih baik tidur sahaja? Jangan lagi sia-siakan waktu hujan lebat begitu. Sudahkah anak anda mempelajari doa yang dianjurkan Nabi SAW untuk dibaca ketika hari hujan? Sekiranya belum, ini masa yang baik untuk belajar dan menghafal bersama-sama.

Daripada Aisyah RA berkata, Rasulullah SAW ketika melihat hujan membacakan,

?????????? ???????? ????????

Maksud: “Ya Allah Kau jadikanlah curahan hujan ini sebagai curahan yang bermanfaat.” 

Riwayat al-Bukhari (1032)

Hujan masih lebat? Alhamdulillah, bolehlah terus memanjangkan doa memohon apa sahaja hajat kepada Allah SWT, kerana waktu hujan lebat ialah antara waktu mustajab berdoa. Minta anak-anak kongsikan apakah doa-doa mereka dan aminkan pula beramai-ramai.

Daripada Sahl bin Sa’ad RA, Nabi SAW bersabda,

????????? ??? ??????????: ?????????? ?????? ??????????? ???????? ?????????

Maksudnya: “Dua doa yang tidak akan ditolak: Doa ketika azan atau selepas daripada azan dan doa ketika turunnya hujan.” – Riwayat al-Hakim (2534)

Kita patut bersyukur kerana berada di Malaysia yang iklimnya khatulistiwa –  berganti hujan dan panas sepanjang tahun. Tidak putus hujan seperti tidak keputusan rahmat, syukur kan?

Begitulah alam terkembang menjadi guru, terbentang luas seperti kitab yang terbuka. Ia sentiasa mengajarkan seribu satu pelajaran kepada siapa yang memerhatikannya. Semoga selepas ini kita tidak memandang alam di sekeling kita sebagai biasa-biasa sahaja!

– Fadhilah


Rujukan:

1. https://www.astroleague.org/astronomyday/facts

2. http://wwwcdn.skyandtelescope.com/wp-content/uploads/Astronomy-Day-Handbook-7th-edition.pdf

3. Tafsir Fi Zilal Al Quran, Surah Al-An’am

4. Al Quran dengan terjemahan

5. http://muftiwp.gov.my/ms/artikel/irsyad-al-hadith/2272-irsyad-al-hadith-siri-ke-243-doa-ketika-turunnya-hujan

Total
0
Shares
Related Posts