Apa Rahsia Video Matematik Ini Sehingga Tular?

Bagi pembuat bahan pendidikan (educational content creator), suatu perkara yang benar – benar mencabar adalah menghasilkan video / tulisan / artikel yang tular dan mencapai ramai orang.

Bahan – bahan pendidikan biasanya kalah dengan genre politik, hiburan, dan berita – berita sensasi.

Maka untuk menyelitkan bahan pendidikan dalam capaian ruangan maya rakyat Malaysia, kadang kala perlu digunakan beberapa taktik seperti umpan klik (clickbait), thumbnail yang menarik, tajuk yang sensasi, dan penalaan isi yang gempak, supaya orang tidak lari dalam masa 10 saat setelah video bermula.

Namun, kadang kala walaupun setelah penghasil bahan pendidikan tersebut berusaha bersungguh – sungguh mencurahkan tenaga dan masa terhadap satu topik yang dirasakan bakal meletup, akhirnya kemudian sedikit saja capaiannya.

Tapi pada masa yang sama, boleh jadi terdapat satu bahan pendidikan yang dirasakan tidak akan dapat sambutan yang baik, dan dibuat hanya sebagai pengisi slot sementara menghasilkan bahan yang lebih berpotensi, tetapi kemudian tidak sangka ia meletup jauh melebihi jangkaan.

Itulah apa yang berlaku kepada video berikut: Persamaan Matematik Paling Pelik

https://www.facebook.com/AjarMalaysia/videos/264740734442465/

Video matematik tersebut peroleh 2000+ kongsian dan mencecah 260k + tontonan di Facebook.

Apa rahsianya? Mengapa video ini begitu berjaya?

Tular Walaupun Isi yang Berat

Jika diperhatikan, bahan – bahan pendidikan yang tular (jika tular lah) di media sosial biasanya pendek, tidak berat, dan miliki ‘faktor kejutan’ dan emosi.

Sebagai contoh, video tentang pengajaran struktur jantung menggunakan lukisan di tangan yang tular baru – baru ini adalah antara video pendidikan paling tular setakat ini (730k + tontonan):

https://www.facebook.com/SINARdotmy/videos/277867256444025/

Video tersebut yang berdurasi pendek mendapat sambutan antara lain kerana ramai yang tidak menyangka terdapat teknik yang begitu unik untuk mengajar satu topik biologi yang berat itu (faktor kejutan), di samping kagum dengan semangat guru yang berusaha gigih membantu anak murid memahami topik (faktor emosi).

Namun lain cerita dengan video ‘persamaan matematik paling paling pelik’ ini. Bukan sahaja videonya berdurasi panjang (10 minit 29 saat), penyampaiannya juga sangat berat kerana sebahagian besar video melibatkan penulisan persamaan matematik di papan putih.

Faktor emosi pula tiada (kecuali kalau nak diambil kira emosi sedih sebab tak faham)

Sewaktu video ini dibuat, disangkakan bahawa tiada orang yang akan meminati tajuk sebegini, ia tidak akan dapat capaian yang baik, dan hanya akan dilupakan.

Sangkaannya, paling banyak tontonan video ini boleh peroleh adalah dalam 5000 – 8000 tontonan.

Bagaimanapun sangkaan tersebut ternyata meleset apabila video tersebut mendapat capaian yang begitu banyak (yang semakin bertambah), dan mencetus perbincangan yang hebat dalam kalangan wargamaya (1000+ komen!)

Bagaimana lagi kita hendak dapat begitu banyak perbincangan daripada setiap lapisan masyarakat tentang satu topik matematik?

Persoalannya, mengapa begitu? Apa rahsia video matematik ini?

Pesona Idea yang Besar

Apabila difikirkan, pendedahan kita dengan matematik selama ini hanya banyak berkisar kepada cara menjawab soalan peperiksaan. Apabila habis noktah terakhir pada peperiksaan matematik SPM kita, kita merasakan sudah habis bab matematik dalam hidup.

Namun sebenarnya, jika kita ubah persembahan matematik kepada orang ramai, kita dapat mengubah persepsi bahawa matematik ini hanya penting dan relevan untuk dapat gred A dalam slip peperiksaan.

Apabila kita mempersembahkan matematik dalam bentuk retrospektif (fikirkan apa persamaan matematik paling pelik pernah kita belajar), di luar buku teks (buku teks biasanya tak tanya soalan topik apa paling susah, persamaan paling pelik dll), dan menghidang topik besar yang meletuskan minda (infiniti), kita akan dapat sambutan yang luar biasa berbanding penalaan ilmu semata – mata sebagai satu topik buku teks.

Begitu juga sebenarnya, terdapat beberapa topik dalam subjek yang dianggap paling kering ini yang begitu mengejutkan (shock factor) hanya dengan mempersembahkan topik tersebut secara standalone.

Dalam kes ini, Ramanujan sum to infinity, 1 + 2 + 3 …. = -1/12, begitu mencanggahi intuisi dan layak mendapat lampu bias daripada content creator pendidikan, untuk ditalakan kepada masyarakat sebagai satu topik matematik yang menarik.

Dan sudah pasti, lebih banyak lagi topik – topik sebegini, baik dalam matematik, sains, sejarah, falsafah, agama, yang menunggu untuk disampaikan kepada ramai orang.

Jangan Pandang Rendah Masyarakat

Begitu juga, satu pengajaran berharga sebagai content creator adalah kita jangan terlalu memandang rendah kepada masyarakat.

Biasanya, kita menganggap masyarakat tidak mahukan content ilmiah, apatah lagi yang berat – berat. Kita anggap mereka cuma mahu content ringan dan hiburan.

Namun ternyata, masyarakat mahukan video – video dan artikel – artikel ilmiah ini. Mungkin isunya bukan kerana mereka tidak mahu, tetapi mereka tidak dapat.

Berapa banyak percubaan telah dibuat untuk menghasilkan saluran – saluran pendidikan, bahan – bahan pendidikan ini? Jika sangat sedikit (laman web sains Malaysia masih boleh dibilang dengan tangan, saluran Youtube pendidikan hampir tiada kecuali beberapa cara jawab soalan SPM, PMR) jadi mengapa menyalahkan masyarakat? Jika tidak menjadi, mengapa tidak banyakkan lagi eksperimen mencari formula terbaik untuk persembahkan ilmu?

Bagi content creator, tanggungjawab kita adalah dengan berlaku adil kepada ilmu – ilmu tersebut, dengan cara menyampaikannya secara paling baik dan paling memberi keadilan kepada topik – topik itu.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts