Masalah Slogan “Belajar Luar Negara, Nanti Balik Malaysia Sumbang”

Slogan “belajar luar negara, nanti balik Malaysia sumbang” mungkin satu slogan yang amat biasa didengari oleh pelajar luar negara.

Pemergian mereka ke negara – negara seberang, terutama sebelah Barat memakan kos yang banyak dan mereka menjadi satu aset pelaburan yang mahal oleh negara. Jadi, sewajarnya, kita nak mereka balik menyumbang. Apatah lagi, mereka ini pastilah terdiri dari kalangan pelajar – pelajar luar biasa yang cemerlang tahap akademik.

Maka, slogan “belajar luar negara, nanti balik Malaysia sumbang” dimanterakan kepada mereka, supaya mereka tahu apa end point pengajian mereka di luar negara. Malah, sebahagian penaja siap mengadakan sesi ikrar sebelum mereka berangkat pergi.

Namun, slogan ini perlu diubah dan dikaji semula, kerana ia ternyata bermasalah terhadap pelajar – pelajar kita di luar negara.

Slogan demikian menyahkan langsung aspek kehidupan dan pembelajaran mereka di luar negara. Seolah implikasinya mengatakan, “apa yang berlaku dan apa kamu buat dekat sana tak kisah, yang penting bila kamu habis belajar, balik Malaysia sumbang”

Maka terjadilah hidupan di luar negara itu seolah satu tempat persinggahan yang tak relevan. Tasawwur atau Worldview mereka tentang tempat belajar mereka itu kosong, kerana tidak diisi motif. Motifnya hanya tercapai bila mereka habis belajar, kemudian pulang sumbang di negara mereka.

Jika pelajar tersebut hanya luangkan tempoh setahun lebih atas kursus Masters mungkin tak apa lagi, tapi apabila terkena kepada pelajar Degree empat ke lima tahun di negara tersebut, kekosongan ini tersangat bermasalah.

Malah, slogan ini mungkin merupakan punca terbesar sekalian masalah pelajar Malaysia di luar negara.

Apa Masalahnya?

Apabila pelajar datang ke negara asing tanpa motif yang jelas, cuma sebagai satu ‘mengisi masa’ antara sengkang mendarat di lapangan terbang dengan berlepas semula ke negara mereka, terlahirlah tiga jenis golongan pelajar:

  1. Pelajar luar negara yang ‘hilang’
  2. Pelajar luar negara yang ‘syok sendiri’
  3. Pelajar luar negara yang terlebih adaptasi.

Pelajar Luar Negara yang ‘Hilang’

Ini kes yang biasa berlaku, apabila pelajar – pelajar ini … ‘hilang’.

Tak dapat dikesan malah oleh kawan sekursus. Tak tahu apa yang dibuat. Di kelas tak jumpa, aktiviti persatuan pun tak ditemui, biasanya bilangannya beberapa individu saja, tapi kadang – kadang boleh mencecah ‘geng – geng’. Jumpa hanya di dewan peperiksaan, atau waktu balik cuti musim panas, atau terjumpa gambar bercuti di Paris, Amsterdam dll di media sosial.

Malang apabila ini turut berlaku kepada pelajar – pelajar yang dulunya di Malaysia merupakan pemimpin pelajar.

Pelajar Luar Negara yang ‘Syok Sendiri’

Ini mungkin trend yang paling dikesali, yang disyaki puncanya bertitik tolak daripada slogan permulaan yang salah tersebut.

Golongan ini adalah golongan yang mengimport segalanya dari Malaysia ke negara tempat mereka belajar. Mereka terikat sepenuhnya dengan isu – isu negara asal mereka, dan hampir tidak langsung memberi kisah apa yang berlaku di sekeliling. Kelompok mereka hanyalah sesama mereka tanpa cubaan memahami kehidupan negara tersebut.

Skop perbincangan mereka hanyalah pada isu – isu politik negara asal, video – video tular keluaran tempatan, mungkin juga isu khilaf golongan agama tempatan yang diperbesar sehingga memberi kesan kepada persatuan.

Selama pengajian saya di UK selama 4 tahun, terdapat beberapa krisis besar yang melanda komuniti, terutama masyarakat Islam yang merupakan minoriti di situ.

Charlie Hebdo, Manchester Attack, Grenfell Tower, London attack antara sebahagiannya. Semua krisis ini mengerah respon balas Muslim di sana, dari komuniti Masjid, kepada persatuan Islam Universiti, kepada persatuan Muslim peringkat negara, mereka semua ini diminta bertindak balas segera, mengadakan demonstrasi, atau surat bantahan, atau laporan media. Tekanannya amat dirasai.

Namun impak atau tindak balas dari komuniti pelajar Malaysia seolah tiada. Seolah tiada kaitan langsung. Tidak juga menjadi bahan bualan. Malah ada yang tak tahu menahu sungguhpun terpampang di dada akhbar seperjalanan ke universiti.

Pelajar Luar Negara yang Terlebih Adaptasi.

Terdapat juga dalam kalangan pelajar kita yang, lantaran kosong motif mereka sepanjang 4 – 5 tahun di negara asing tersebut, memilih untuk mencari makna sendiri dengan ‘mengadaptasi’. Secara berlebihan.

Maka mereka meresap masuk sekalian budaya atau pemahaman asing tersebut ke dalam benak mereka. Bagi mereka, inilah ‘sumbangan’ yang boleh dibawa sekembalinya ke negara asal. Bukan teknologi, tapi ideologi. Kesimpulan mereka, pemelukan nilai progresif sebeginilah tujuan asal penghantaran mereka ke sana.

Apa Solusinya?

Pandangan saya, masalah ini semua bertitik tolak daripada niat belajar luar negara yang salah, yang didorong oleh slogan yang salah. Apatah lagi, apabila slogan tersebut dipegang dan dicanangkan oleh kementerian dan institusi pendidikan.

Apabila slogannya “belajar luar negara, nanti balik Malaysia sumbang”, maka secara tak langsung pengurusan pelajar luar negara juga menjurus ke arah itu.

Sebelum terbang ke luar negara, mereka tak diajar dengan prinsip hidup di sana, melainkan beberapa perkara teknikal seperti cara buka bank, atau cara cari makanan halal, pengurusan kewangan dll. Mereka malah, sebelum terbang, diajar cara lapor diri pada penaja, cara peroleh temu duga syarikat asing, dan aktiviti selepas graduasi.

Mereka tak diajar dengan prinsip hidup di negara orang, kaedah berinteraksi dengan budaya hidup baru yang berlainan dengan norma negara asal, penekanan membantu dan menyumbang pada penduduk lokal, prinsip hidup dalam golongan minoriti, prinsip bermuamalah dengan bukan Islam, dan tasawur agama terhadap aliran pemikiran semacam humanisme, sekularisme, liberalisme, LGBT dan ateisme.

Jika ada yang mendengar ceramah ustaz khas sebelum terbang, maka yang diterangkan hanyalah permasalahan fiqh semata, semacam cara solat dalam kapal terbang, fiqh solat jamak, khuf, dan isu makanan halal. Perbincangan yang lebih besar seperti tasawur menghidupkan Islam di Barat amat sukar diperoleh sebelum terbang.

Kerana mereka cuma belajar di luar negara untuk pulang ke Malaysia.

Maka untuk diubati masalah – masalah ini, seharusnya ia bermula dari akar umbi. Bertitik tolak daripada penetapan tujuan niat penghantaran dan pembelajaran di luar negara. Dan dirangka semula ethos atau slogan untuk diterapkan kepada pelajar luar negara.

Mungkin boleh diperbincangkan lagi slogan bagaimana yang sesuai, tapi cadangan saya:

Belajar di Luar Negara, Sumbang di Negara Tersebut, Sumbang Juga Nanti di Malaysia

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts