BoboiBoy merupakan satu fenomena dalam masyarakat kita. Sejak dari episode 1 BoboiBoy sehingga yang terbaharu, BoboiBoy The Movie 2 ditayangkan, sambutan dari masyarakat umum terhadap karya animasi tempatan ini amat menggalakkan.
BoboiBoy merupakan cerita seorang budak lelaki, BoboiBoy, yang diberi kuasa elemental oleh sfera kuasanya, Ochobot. Kuasa yang diberikan adalah elemen api, air, angin, tanah, petir, daun serta cahaya. Sepanjang pengembaraan BoboiBoy juga, penonton telah didedahkan bahawa terdapat beberapa tahap bagi kuasa elemental ni, dan setakat ini, BoboiBoy telah berjaya menguasai tahap satu dan dua. Dalam filem BoboiBoy kedua, kita didedahkan dengan pengguna elemental pada tahap lebih tinggi, iaitu Retak’ka dan Hang Kasa.
Jadi, kalau BoboiBoy ni tiba-tiba buat gila dan bergaduh sesama sendiri, rasa-rasanya siapa yang akan menang? Berikut adalah senarai elemen Boboiboy menurut turutan ‘kuasa’ dijustifikasikan dengan teori sains!
Tempat Ketujuh: BoboiBoy Daun.

Sekiranya berlaku pergaduhan antara watak-watak BoboiBoy ni, BoboiBoy Daun rasanya yang akan menjadi BoboiBoy pertama yang kalah. Kenapa? Kerana BoboiBoy Daun merupakan BoboiBoy yang paling kebudak-budakan antara BoboiBoy yang lain. Dia juga terkenal sebagai seorang yang penakut, macam tak sesuai je dia nak bergaduh dengan BoboiBoy yang lain.
Tapi, kalau nak diceritakan dari segi kuasa, BoboiBoy Daun masih lagi dikategorikan sebagai BoboiBoy yang lemah. Merupakan seorang Botanokinesis (mampu mengawal tumbuhan), antara teknik serangan BoboiBoy Daun ni adalah Lontaran Daun, satu teknik melontar daun (yang dah diubah strukturnya). Untuk teknik ni berkesan, BoboiBoy Daun perlu melontarkan senjatanya (iaitu daun) kepada musuhnya. Kalau tengok BoboiBoy yang lain pulak, kita akan dapati mereka mempunyai kelajuan yang tinggi (macam BoboiBoy Petir dan BoboiBoy Cahaya), jadi untuk BoboiBoy Daun menang melawan mereka berdua ni, dia kena buat lontaran yang amat laju.
Teknik Lontaran Daun ni juga macam tak relevan apabila bertemu dengan BoboiBoy Api dan BoboiBoy Ais (tahap kedua bagi BoboiBoy Air). Api, seperti yang kita tahu, mampu membakar daun dengan amat mudah, dan Ais juga mampu membekukan daun dengan amat mudah. Kalau nak dilihat dalam dunia nyata sekalipun, tumbuhan paling panas dicatatkan pernah hidup adalah pada suhu 98 darjah celcius, dan paling sejuk pernah hidup adalah pada suhu -20 darjah celcius. Tak mustahil BoboiBoy Api serta BoboiBoy Ais mampu sampai ke tahap itu, jadi BoboiBoy Daun akan mudah dikalahkan oleh mereka berdua.
Teknik Lontaran Daun juga dilihat tidak berkesan kepada BoboiBoy Angin, kerana BoboiBoy Angin dengan mudahnya mampu memanipulasi angin dan trajektori lontaran daun-daun tersebut. Melihat kepada Kesan Lontaran Daun kepada BoboiBoy Tanah, Daun perlu melakukan balingan yang amat kuat untuk menembusi perisai serta Golem yang dimiliki oleh BoboiBoy Tanah.
Andaikata dia mampu pergi ke tahap kedua, iaitu BoboiBoy Thorn, mungkin perlawanan ini boleh jadi lebih menarik. Dengan teknik Akar Berduri, BoboiBoy Thorn mampu mengeluarkan akar dari tanah, serta menyerang dan cuba untuk menjerut mangsanya. Masalahnya masih lagi sama, dari aspek suhu, BoboiBoy Api dan Ais akan menang. Dari aspek kelajuan pula, kalau kita rujuk pada filem BoboiBoy kedua serta BoboiBoy Galaksi, BoboiBoy Thorn mampu “melahirkan” akar dalam keadaan ruang angkasa. Ini bermakna Thorn mampu mencambahkan tumbuhan dan akar secara semulajadi. Kalau ikut rekod sains, kepantasan tumbuhan paling laju penah direkodkan adalah buluh yang mampu tumbuh pada kadar 0.00003 kmph. Aduh lambatnya! Mampu ke nak kejar BoboiBoy lain yang mampu terbang?
Sebagai tambahan, hukuman dengan menggunakan tumbuhan ni sebenarnya pernah dipraktikkan pada masa lampau, di Tanah Melayu sendiri! Pesalah yang bersalah akan dibaringkan pada satu pucuk buluh muda, dan mereka akan diletakkan di sana pada tempoh masa yang agak lama. Buluh tersebut akan membesar, dan menembusinya daging mangsanya. Sungguh menggerunkan. Teknik seksaan ini merupakan salah satu teknik seksaan paling kejam di dunia, kerana mangsa akan mati sambil merasai kesakitan yang amat perlahan.
Jadi, mungkin BoboiBoy Thorn nampak macam lemah dan berada di tangga ketujuh, tapi andaikata dia mampu mengejar BoboiBoy lain dan menjerat mereka, dia ada kebarangkalian yang tinggi untuk menang.
Tempat Keenam: BoboiBoy Angin.

Berada satu tahap di hadapan BoboiBoy Daun, BoboiBoy Angin merupakan BoboiBoy yang memiliki kuasa untuk mengawal angin (aerokinesis). Kebolehan utama BoboiBoy Angin ni dalam siri animasi berkisar kepada kebolehan BoboiBoy untuk menggunakan taufan dan puting beliung sebagai senjatanya. Jadi, tak ada masalah untuk BoboiBoy Angin bertarung dengan BoboiBoy Daun, kerana selain mampu memanipulasi pergerakan Lontaran Daun, teknik-teknik taufan yang digunakan oleh Angin juga mampu menjadi perisai terhadap teknik Akar Berduri BoboiBoy Thorn. Cuma masalah dengan taufan adalah, terdapat satu titik buta di tengah-tengah taufan, dipanggil “Eye of the storm”. Sekiranya BoboiBoy Thorn bijak mencari perluang, dia boleh menyerang BoboiBoy Angin dari arah bawah tanah Eye of The Storm ini dan menangkap BoboiBoy Angin.
Sebab kenapa BoboiBoy Angin berada di bawah BoboiBoy Air dan Api adalah, kerana BoboiBoy Air, Tanah dan Api mengawal benda-benda penting untuk BoboiBoy Angin, iaitu suhu dan tekanan. BoboiBoy Api dan Air mampu mengawal suhu di arena perlawanan mereka. Sekiranya hari tersebut agak panas, udara akan menjadi kering, dan molekul air di udara akan tersejat, dan angin akan bergerak dengan laju. Sekiranya hari tersebut tidak berapa nak panas, molekul air di udara akan menjadi banyak, menyebabkan ketumpatan udara bertambah, serta melambatkan pergerakan angin. Tanah pula dilihat tidak akan terkesan dengan Angin, hatta sekiranya taufan berlaku. Sekiranya Angin ingin mengalahkan teknik Tanah Pelindung, satu puting beliung dengan magnitude yang tinggi perlu diberi hanya untuk merobohkan pelindung tersebut. Teknik Taufan mungkin mampu mengangkat Golem Tanah, namun mengikut pandangan panel penilai, BoboiBoy Angin sukar nak mengalahkan BoboiBoy Tanah.
Tempat Kelima/ Tempat Keempat: BoboiBoy Api/ BoboiBoy Ais.

Tempat kelima dan tempat keempat dikongsi oleh BoboiBoy Api (pyrokinesis) dan BoboiBoy Air (Hydrokinesis). Merupakan dua elemental yang mampu mengawal suhu, sekiranya mereka bertemu antara satu sama lain, sukar nak ditentukan siapa akan kalah dan siapa akan menang. Bersandarkan pada personaliti, BoboiBoy Api berkemungkinan menang kerana dia lebih bersemangat dalam pertarungan, manakala BoboiBoy Air terkenal dengan sifat malasnya. Dari segi teknik pertempuran pula, mereka berdua kelihatan amat berbeza, kerana BoboiBoy Api merupakan seorang pertempur jarak dekat, dengan tekniknya tinju berapi, manakala BoboiBoy Air pula lebih kepada serangan jarak jauh seperti Tembakan Air dan Panahan Ais (tahap kedua BoboiBoy Air). Jadi, disebabkan mereka berada pada tahap yang sama, yang membezakan mereka cumalah skill dan kawalan emosi mereka pada waktu itu.
Tempat Kelima/ Tempat Keempat: BoboiBoy Api/ BoboiBoy Ais.
(seperti diatas)
Tempat Ketiga: BoboiBoy Petir.

Berada di tempat ketiga, kita ada BoboiBoy Petir, salah satu BoboiBoy pertama yang diperkenalkan pada musim pertama BoboiBoy. Salah satu sebab kenapa BoboiBoy Petir berada di tempat ketiga adalah kerana BoboiBoy Petir mempunyai kelajuan yang amat tinggi, yang rasanya hanya boleh ditandingi oleh BoboiBoy Cahaya. Menurut kiraan Wikipedia, kelajuan petir adalah 27,800 km/j, hampir 1/3 dari kelajuan cahaya. Wow, lajunya! Sepantas kilat!
Jadi, sekiranya berlaku pergaduhan, elemental lain akan mengalami kesusahan untuk nak mengejar BoboiBoy Petir ni.
Dari segi kuasa kemusnahan pula, mana yang lagi kuat, BoboiBoy Petir ke BoboiBoy Api? Andaikata mereka berdua buat lontaran bola kuasa, dan bertembung antara satu sama lain, mengikut anggaran, BoboiBoy Petir akan menang, kerana tenaga yang dimiliki oleh petir dalam alam semulajadi sebenarnya adalah lebih tinggi dari tenaga api. Menurut Quora ini, kiraan di petir secara umumnya mempunyai tenaga sebanyak 5 GigaJoule, manakala api (andaikata api tu dibakar oleh bahan bakar), ia akan mempunyai tenaga sebanyak 127 MegaJoule. Beza tenaga mereka di situ adalah dalam 1000 Joule. Banyak tu! Ditambah dengan kebolehan petir untuk membuat kejutan elektrik (elektrik shock) yang tak ada pada elemen api, elemen petir ini terlampau hebat.
Kalau BoboiBoy Air lawan BoboiBoy Petir macamana? Akan berlaku Hydrolysis, satu keadaan di mana air tu sendiri terpecah menjadi dua molekul, oksigen dan hydrogen. Jadi, tak payahlah cuba bayangkan. Memang confirm kalah.
Tempat Kedua: BoboiBoy Tanah.

Ya, BoboiBoy Petir mungkin laju, tapi ada satu perisai yang BoboiBoy Petir tak mampu nak kalahkan, iaitu Perisai Tanah. Tanah merupakan penebat petir yang baik, bahkan Bumi ini diketahui menjadi tempat simpanan cas-cas elektrik. Maknanya, andaikata BoboiBoy Petir menggunakan tenaga elektrik terhadap BoboiBoy Tanah, secara teorinya, BoboiBoy Tanah boleh meng-ground-kan cas yang dihantar oleh BoboiBoy Petir tersebut.
Satu benda yang membuatkan BoboiBoy Tanah berada di kedudukan kedua adalah kerana versetalitinya. Dia merupakan BoboiBoy yang tidak terlampau fokus pada aspek serangan mahupun pertahanan, kerana dia memiliki kedua-duanya dan mampu menggunapakai kedua-duanya serentak. Teknik Golem Tanah yang dia miliki membolehkan dia menyeru Golem Tanah, dan Golem tersebut bertindak sebagai satu unit serangan. Bayangkan. Tu kalau dia keluarkan satu Golem. Kalau dia buat tentera Golem? Wah.
Dengan anggaran tinggi 2 meter, Golem Tanah BoboiBoy mampu mempunyai berat sebesar 110,000 kg (kiraan sendiri). Dengan berat ini, daya yang mampu dikenakan oleh Golem ini terhadap lawannya adalah sebanyak 1,000,000 Newton (Satu juta Newton). Jumlah daya ni hampir sama dengan jumlah daya enjin Merlin dari roket SpaceX Falcon 1, sewaktu dia sedang berlepas dan melawan graviti Bumi.
Tempat Pertama: BoboiBoy Solar

BoboiBoy ini perlu diakui merupakan BoboiBoy paling kuat di antara kesemua BoboiBoy. Dengan namanya yang mewakili elemental cahaya, dia sepatutnya mempunyai kelajuan sepantas cahaya, yang merupakan kelajuan paling laju dalam alam semesta (menurut Einstein). Jadi, dapat difahami la kenapa dia menang dari segi ketangkasan.
Dari segi serangan pula, dia digambarkan dalam BoboiBoy Galaxy episode terakhir sebagai mempunyai kebolehan serangan Tembakan Solar. Serangan ini, walaupun mempunyai keaamatan yang tinggi, namun satu kelemahannya adalah ia mampu dipantulkan. Kalau ikutkan, serangan BoboiBoy Solar ni seakan-akan serangan laser (sebab laser merupakan cahaya dengan keamatan yang amat tinggi). Kalaulah BoboiBoy Cahaya mampu guna serangan laser, dia perlu diiktiraf sebagai elemen terkuat BoboiBoy kerana laser mampu digunakan untuk memotong besi! Satu pertembungan yang menarik sebenarnya adalah pertembungan antara BoboiBoy Cahaya dengan BoboiBoy Tanah. Pertarungan watak BoboiBoy yang memiliki serangan terkuat (BoboiBoy Cahaya) dengan watak BoboiBoy yang memiliki pertahanan yang paling ampuh (BoboiBoy Tanah), perlawanan tersebut pastinya menjadi perlawanan yang terbaik (bak kata Papa Zola).
Teori Konspirasi.
Baiklah. Sebenarnya ada sebab kenapa dua elemental ini berada pada tempat kedua dan pertama. Elemen Cahaya dan elemen Tanah ditunjukkan mempunyai tahap yang lebih tinggi, yang hanya dikuasai oleh Retak’ka dan Hang Kasa. Retak’ka, dalam filem tersebut, memiliki kuasa gamma, dan hal ini meletakkan masa depan BoboiBoy dalam keadaan yang amat menarik. Dalam keadaan sekarang, pada tahap kedua, BoboiBoy Solar dilihat amat berkuasa dengan serangan yang dia miliki, namun penambahan kuasa gamma (yang merupakan sebahagian daripada keluarga gelombang cahaya), aduh, jumlah radiasi yang dimiliki olehnya amat tinggi. Dalam erti kata lain, sekiranya wujud BoboiBoy Gamma, ia pasti menjadi amat hebat, kerana radiasi Gamma merupakan radiasi dengan tenaga paling kuat. Dengan radiasi gamma yang rendah pun, DNA manusia mampu berubah!
Satu lagi elemental yang kami jangka akan menjadi menarik adalah tahap tinggi elemental Tanah, iaitu elemen Kristal. Buat masa sekarang, kristal merupakan bahan semulajadi paling kuat dan tahan dalam dunia. Ada beberapa bahan buatan manusia lain yang lebih kuat dari kristal dan berlian, namun dari sudut BoboiBoy, antara kesemua elemental yang wujud, BoboiBoy Kristal sepatutnya boleh diiktiraf sebagai BoboiBoy paling kental.
Dalam filem kedua juga, Retak’ka menunjukkan beberapa sisi lebih tinggi kuasa elemental, seperti elemental Voltra (elemental tier tinggi bagi BoboiBoy Petir) sewaktu dia menyedut kuasa di planet Gurlatan. Retak’ka juga sempat meng”upgrade” elemen Angin menjadi Beliung di planet Bayugan dan menggunakan elemental tersebut untuk mengalahkan Hang Kasa. Namun, kuasa penuh kesemua elemental yang telah di upgrade tidak dapat ditunjukkan oleh Retak’ka kerana untuk menguasai elemental pada tahap lebih tinggi, pengguna kuasa elemental perlu menggunakan sfera kuasa elemental tersebut, sepertimana yang dipersembahkan oleh Hang Kasa yang menggunapakai Sfera Kuasa elemental Kristal.
Maka, kita boleh bayangkan, akan banyak lagi upgrade yang kita akan dapat lihat pada masa akan datang untuk BoboiBoy.