Anugerah Nobel mula dikurniakan sejak 1901, sebagaimana yang telah diwasiatkan oleh pencipta dinamit, Alfred Nobel. Berdasarkan wasiat Alfred Nobel, anugerah Nobel akan diberikan kepada sesiapa yang telah memberikan jasa tertinggi kepada manusia.
Anugerah ini dibahagikan kepada lima bidang iaitu fizik, kimia, fisiologi atau perubatan, sastera dan keamanan. Pada tahun 1968, bidang Sains Ekonomi dimasukkan sebagai bidang keenam anugerah Nobel. Jawatankuasa yang memilih pemenang anugerah Nobel dikenali sebagai jawatankuasa Nobel. Mereka ini dipilih berdasarkan syarat tertentu, bergantung kepada bidang yang dianugerahkan.
Anugerah Nobel dianggap sebagai anugerah tertinggi dalam kesemua enam bidang di atas. Memenangi anugerah Nobel merupakan impian bagi hampir kesemua saintis, ahli ekonomi dan sasterawan. Pada bulan oktober setiap tahun, para ahli akademik akan menunggu pengumuman pemenang anugerah Nobel. Sebahagiannya menunggu deringan telefon daripada jawatankuasa Nobel kerana mereka menjangka akan menang pada tahun tersebut.
Walaupun anugerah Nobel dianggap sebagai anugerah tertinggi, ia tetap dibelenggu pelbagai masalah. Di bawah ini, saya sertakan masalah-masalah dalam anugerah Nobel.
Anugerah Nobel dalam bidang sains, dihadkan kepada 3 orang sahaja.
Sebahagian anugerah Nobel dalam bidang sains merupakan hasil kerja berkumpulan dan bukan hanya 3 saintis sahaja. Contohnya dalam bidang fizik pada tahun 2011, 2013 dan 2017. Anugerah Nobel dalam bidang fizik pada 2011 dianugerahkan kepada Saul Perlmutter, Adam Reiss dan Brian Schmidt. Saul Perlmutter merupakan ketua penyelidik bagi sebuah kumpulan penyelidikan Supernova Cosmology Project, manakala Adam Reiss dan Brian Schmidt mengetuai kumpulan High-z Supernova Search Team .
Kedua-dua kumpulan ini terdiri lebih 40 penyelidik, namun anugerah Nobel hanya diberikan kepada 3 penyelidik sahaja. Anugerah pada tahun 2013 hanya diberikan kepada 2 ahli fizik iaitu Francois Englert dan Peter Higgs walaupun lebih tiga ribu penyelidik terlibat. Begitu juga dengan tahun 2017 yang diberikan kepada 3 ahli fizik, walaupun lebih seribu penyelidik terlibat.
Anugerah Nobel tidak diberikan kepada mereka yang telah meninggal dunia.
Syarat yang diletakkan oleh jawatankuasa Nobel ini telah banyak menimbulkan kontroversi. Banyak calon anugerah Nobel tidak dianugerahkan walaupun pencapaian mereka telah mengubah hala tuju manusia.
Antara nama popular yang tidak dianugerahkan anugerah Nobel ialah Mahatma Gandhi (keamanan). Mahatma Gandhi cukup popular sebagai seorang aktivis kemanusiaan. Beliau berjuang bagi penyatuan masyarakat berlainan agama di India tanpa mempromosi keganasan. Mahatma Gandhi telah dicalonkan bagi anugerah Nobel sebanyak lima kali iaitu pada tahun 1937, 1938, 1939, 1947 dan akhirnya pada januari 1948, beberapa hari sebelum beliau dibunuh. Namun Mahatma Gandhi terlepas kelima-lima anugerah tersebut.
Jawatankuasa Nobel telah dikritik kerana tegas tidak mahu menganugerahi Mahatma Gandhi selepas kematian beliau.
Pemilihan anugerah Nobel tidak demokratik
Pencalonan anugerah Nobel dipilih berdasarkan beberapa kriteria. Setelah nama calon-calon telah dikemukakan kepada jawatankuasa Nobel, jawatankuasa Nobel ini akan bermesyuarat bagi memilih pemenang.
Proses pemilihan ini telah banyak dikritik kerana pemilihan akhir dibuat oleh jawatankuasa Nobel dan bukan pencalonan tertinggi. Sebagai contoh, Arnold Sommerfeld telah dicalonkan sebanyak 82 kali sepanjang selama 25 tahun, dan mendapat pencalonan tertinggi pada 1927, namun langsung tidak memenangi anugerah Nobel.
Bias dalam pemilihan pemenang anugerah Nobel
Anugerah Nobel dalam bidang sains telah didominasi oleh kaum lelaki. Hal ini menunjukkan bias dalam keputusan jawatankuasa Nobel bagi memilih pemenang. Bagi bidang fizik, setakat tahun 2019 hanya 3 saintis wanita sahaja yang pernah memenangi anugerah Nobel iaitu Marie Curie (1903), Maria Goeppert Mayer (1963) dan Donna Strickland (2018) . Anugerah Nobel juga banyak diberikan kepada negara-negara maju seperti USA, Canada, negara-negara Eropah, Jepun, China dan Rusia.
Pemilihan tajuk pemenang yang tidak menentu
Anugerah Nobel dalam bidang sains akan diberikan berdasarkan tajuk kajian tertentu. Namun, terdapat banyak kes penganugerahan diberikan kepada penyelidik berdasarkan 1 kertas kajian, namun terdapat penyelidik lain yang melakukan penyelidikan yang sama pada kertas kajian lain dan tidak dianugerahkan.
Sebagai contoh, pemenang Nobel bidang fizik bagi tahun 2013 dianugerahkan kepada Peter Higgs dan Francois Englert . Namun, terdapat 4 lagi penyelidik lain yang menerbitkan kertas kajian berkenaan tajuk yang sama iaitu Robert Brout, Gerald Guralnik, Hagen dan Tom Kibble tidak memenangi anugerah Nobel .