Baru-baru ini media melaporkan dakwaan NASA yang kononnya China bakal tuntut bulan mereka punya.
Menurut NASA, program angkasa lepas China merupakan program ketenteraan dan China telah mencuri idea serta teknologi negara-negara lain. Selain itu, China dikatakan juga bakal membina pangkalan di bulan dan mengkaji kemungkinan menembak jatuh satelit negara lain.
China telah membidas dan menolak dakwaan yang dikatakan tidak bertanggungjawab itu. China memaklumkan bahawa kadar program angkasa lepas mereka sedang ditingkatkan dan sekarang bulan sedang menjadi fokus utama. Mereka berhasrat untuk melancar roket yang cukup kuat untuk menghantar angkasawan ke bulan menjelang akhir dekad ini. Tetapi, tidak berkait dengan sebarang aktiviti persenjataan dan China sering mempelawa pembinaan masa depan bersama di angkasa lepas.
Sebenarnya, NASA pun mempunyai misi yang sama pada tahun 2024 dan 2025 ini di bawah Program Artemis. Eh?
Fuh, bukan main-main peperangan dua buah negara besar ini. Di saat negara-negara lain sibuk dengan urusan di bawah, mereka sibuk dengan urusan di atas.
Namun, perkara ini bukanlah baru kerana misi-misi angkasa ini telah lama dilaksanakan demi kajian-kajian di ruang angkasa yang unik. Secara umumnya, matlamat misi-misi ini adalah untuk mengkaji keadaan geologi di bulan selain berlawan antara negara untuk meraih posisi kuasa besar di angkasa.
Saya cuba berkongsi secara ringkas dapatan mengenai misi mereka ini di bawah.
Misi China
Pada tahun 2013, China berjaya mendarat di bahagian terang bulan dalam misi Chang’e-3.
Pada awal tahun 2019, NASA mengumumkan kejayaan New Horizon tiba di objek paling jauh pernah diteroka di angkasa. Kemudian, China mengumumkan kejayaan kapal angkasa robotiknya, Chang’e-4 mendarat di bahagian gelap bulan yang begitu berisiko dan kompleks kerana keadaan permukaannya lebih tebal, pejal serta lebih banyak kawah, termasuklah tiada hubungan langsung komunikasi radio dengan Bumi. Kapal angkasa itu dikatakan membawa 3 kilogram kentang dan benih tumbuhan, serta telur ulat sutera bagi tujuan eksperimen.
Beberapa hari kemudian, berita melaporkan perancangan NASA dan China untuk berganding bahu meneroka misi ke bulan.
Pada hujung tahun 2020, sekali lagi China mengumumkan pendaratannya di bulan dengan kapal angkasa Chang’e-5. Matlamat misi kali ini adalah untuk mengutip sampel batu dan tanah dari bulan bagi membantu penyelidikan saintis berhubung asal usul bulan, formasi serta aktiviti gunung berapi di permukaannya. Misi ini dikatakan sebagai percubaan pertama untuk membawa pulang sampel dari bulan selepas Kesatuan Soviet melaksanakannya pada tahun 1976.
Dalam misi yang lain, pada tahun 2021, China telah menghantar tiga angkawasan buat pertama kali dalam tempoh lima tahun menerusi misi Shenzhou-12 yang merupakan misi ketiga daripada sebelas misi untuk menyiapkan stesen angkasa lepas China menjelang tahun 2022. Perancangan besar mereka adalah untuk menjadi kuasa utama dalam penerokaan angkasa lepas menjelang tahun 2030 setelah mereka berjaya menjadi negara kedua meletakkan rover peneroka di Marikh pada bulan Mei 2021. Selain itu, China sedang merancang kaedah untuk mendaratkan lebih ramai manusia di bulan pada masa hadapan.
Menurut laporan, China telah menjadikan misi ruang angkasa sebagai keutamaan buat masa ini dengan pelbagai perancangan lanjutan yang tidak hanya terhenti di bulan. Tetapi juga melibatkan planet-planet dan kandungan lain yang terdapat di ruang angkasa.
Program Artemis NASA
Program ini merupakan misi NASA untuk menghantar semula manusia ke bulan setelah misi Apollo 17 mereka pada 50 tahun yang lalu. Kira nak buat ‘comeback’ ke bulan la ni.
Menurut laporan NASA, sebuah roket paling berkuasa telah dibina iaitu ‘Space Launch System(SLS)’ untuk menjalankan misi ini. Menariknya lagi, misi kali ini juga akan menghantar wanita pertama dan orang kulit berwarna ke permukaan bulan.
Misi ini akan dijalankan secara berperingkat dengan peringkat pertama dijadualkan pada Ogos 2022 yang melibatkan pengujian penerbangan tanpa kru, dan pada misi kedua barulah bersama kru. Pendaratan di bulan disasarkan pada peringkat ketiga iaitu pada tahun 2025. Kemudian, peringkat seterusnya adalah misi untuk masuk ke bulan dan menghantar lebih ramai angkasawan ke bulan untuk penyelidikan lanjut.
Selain mendaratkan manusia ke bulan, misi ini juga bertujuan untuk melaksanakan eksplorasi robotik di sana.
Dalam sidang kongres Mei 2021, kemampuan dan kelajuan luar angkasa China telah disebut sebagai ancaman kepada NASA. Lebih-lebih lagi apabila China mencatat sejarah baru dengan menjadikan Wang Yaping sebagai angkasawan pertama berjalan di luar angkasa semasa misi enam bulan mereka, dalam usaha membina stesen angkasa sendiri.
Pertangguhan misi NASA yang sepatutnya dilancarkan pada tahun 2023 telah dicantas oleh mereka. Disebutkan bahawa faktor pembiayaan dana, perancangan dan pandemik telah melambatkan misi NASA. Namun, mereka akan kembali agresif dengan cara yang aman untuk mengalahkan China.
3 buah Negara yang berhasil ke bulan
Sebenarnya, bukan hanya China dan NASA yang menjalankan misi ini. Terdapat juga perlumbaan dari negara-negara lain dan agensi-agensi lain yang turut mengumumkan modul dan perancangan ke bulan bagi tujuan pelancongan dan perlombongan.
Tetapi, setakat ini hanya tiga buah negara sahaja yang dikhabarkan benar-benar berjaya ke bulan.
- Amerika Syarikat menerusi misi Apollo 17 pada tahun 1969.
- Russia menerusi misi pada tahun 1959,1970, 1972, dan 1976.
- China menerusi misi Chang’e pada tahun 2013 dan 2020.
Perihal bulan dalam Al-Quran
Dalam kesibukan mereka meneroka bulan di angkasa dengan menghabiskan berbilion-bilion wang, ayuh kita meneroka bulan dengan meneliti kalam-Nya di dalam Al-Quran.
Al-Quran telah menyebut perihal bulan sebanyak 27 kali.
Menurut tafsiran Hamka, secara keseluruhan Al-Quran membahaskan tentang bulan dalam kerangka penciptaan yang tepat perhitungannya dalam aspek kejadian fizikal dan fungsinya yang berkait rapat dengan bumi dan matahari.
Ketepatan ini telah menatijahkan keharmonian yang tidak membawa mudarat kepada makhluk-Nya yang lain. Ketaatan bulan dan semua ciptaan-Nya di ruang angkasa terhadap Dia Sang Pencipta menyebabkan sistem-sistem kompleks di seluruh dunia dapat terlaksana dengan baik.
Matlamat kajian dalam Islam
Allah tidak suka hamba-Nya yang hanya beribadah dan bekerja, tanpa berfikir. Berulang kali di dalam Al-Quran, Allah menyebut perihal golongan yang berjaya iaitu golongan ulul albab, yakni golongan yang sentiasa melihat alam dan dunia ini, kemudian berfikir dan mensyukuri kebesaran-Nya. Dalam kerangka berfikir dan memerhati ini adalah berkait rapat dengan aktiviti pengkajian.
Maka, aktiviti mengkaji merupakan tuntutan dalam Agama. Tetapi, matlamatnya harus jelas.
Menurut Prof. Osman Bakar, di dalam bukunya, ‘Tauhid dan Sains’, beliau menerangkan sepertimana yang terakam dalam dua ayat Allah, iaitu Surah Ghafir, ayat 82 dan Surah Fussilat, ayat 53, kajian perlu dilaksanakan berlandaskan dua matlamat.
Matlamat pertama adalah bagi mengamati tanda-tanda kebesaran Tuhan yang termanifestasi di alam semesta, dalam jiwa-jiwa manusia, dan pada lembaran-lembaran sejarah.
Matlamat kedua adalah bagi membuktikan semua klaim kebenaran dan pengetahuan dalam memastikan keadilan tertegak, serta membuka jalan keyakinan bagi sebarang keraguan.
Di samping matlamat itu, berlaku intervensi kesedaran Agama kerana sistem kepercayaan orang Islam mengajarkan bahawa wujudnya fenomena-fenomena dan realiti-realiti di luar jangkauan kemampuan pancaindera, sekalipun mendapat bantuan instrumen-instrumen kajian canggih. Kuasa dan kebenaran yang tertingginya hanyalah Allah Yang Maha Berkuasa.
Kesimpulan
Berbalik kepada misi-misi negara luar yang begitu ghairah meneroka ruang angkasa, adalah manfaat dari sisi kajian untuk membuktikan kehebatan penciptaan-Nya. Tetapi, matlamat yang hanya berlandaskan material semata-mata hakikatnya membawa kerugian.
Sikap ingin tahu yang tidak berpandukan kebenaran tidak akan ada batasan dan pencariannya tiada kesudahan. Seandainya berlebihan, bimbang akan membawa kerosakan dan kemurkaan Tuhan.
Sebagai seorang Muslim, kita harus jelas hala tuju dan makna kehidupan kita di muka bumi ini. Melihat kepada kerosakan umat di era perkembangan teknologi kini, umat Islam perlu melengkapkan diri dengan kepakaran bersesuaian bagi menyebarkan kefahaman kebenaran yang sebenar-benarnya.
RUJUKAN
- Artikel ‘Artemis program : Here’s how NASA plans to return to the Moon’ di pautan, https://indianexpress.com/article/technology/science/nasa-artemis-moon-program-artemis-i-capstone-gateway-space-station-7998181/
- Buku ‘Tauhid & Sains’ (1994) karya Prof. Osman Bakar.
- Artikel ‘Pendaratan Astronout NASA ke Bulan Mundur, China Duluan?’ di pautan, https://www.republika.co.id/berita/r2cmc5368/pendaratan-astronot-nasa-ke-bulan-mundur-china-duluan
- Artikel ‘China might be contemplating a ‘takeover’ of the moon, says NASA administrator’, https://www.timesnownews.com/technology-science/china-might-be-contemplating-a-takeover-of-the-moon-says-nasa-administrator-article-92633320
- Artikel ‘China denies NASA’s claim it will “take over” the moon’, di pautan, https://www.businesstoday.in/latest/world/story/china-denies-nasas-claim-it-will-take-over-the-moon-340246-2022-07-04
- Artikel ‘4 Negara yang Sudah Berhasil ke Luar Angkasa’ di pautan, https://news.okezone.com/amp/2022/06/06/18/2606667/4-negara-yang-sudah-berhasil-ke-luar-angkasa-as-dan-rusia-bersaing-ketat?page=1
- Kertas Konferens ‘Ayat-ayat Astronomi dalam Al-Quran dan Pndangan Hamka berdasarkan Tafsir ‘Ilmiy : Satu Tinjauan.’ di pautan, https://www.researchgate.net/publication/313226740_AYAT-AYAT_ASTRONOMI_DALAM_AL-QURAN_DAN_PANDANGAN_HAMKA_BERDASARKAN_TAFSIR_’ILMIY_SATU_TINJAUAN
- https://kanlishnews.com/race-to-the-moon-is-it-nasa-v-s-china/