Monopoli merupakan satu mainan berpapan (board game) yang amat terkenal. Konsep permainan monopoli yang menerapkan unsur tempat-tempat menarik di negara yang berlainan menjadikan ia satu medium untuk mengajak generasi muda mengenali tempat-tempat baru, di samping sedikit asas berkenaan dunia perniagaan – dan apa ertinya Monopoli – mengumpul hartanah sebanyak mungkin dan menghancurkan kedudukan kewangan pihak lawan. Mungkin sebab itu juga Monopoli diambil (dalam bentuk jenaka) sebagai permainan yang merosakkan hubungan kekeluargaan.
Dalam tulisan kali ini, kita akan meninjau sedikit asas permainan Monopoli, dan tips untuk anda menang melawan ahli keluarga dan rakan anda yang lain.

Fahami Kebarangkalian Dadu.
Selalunya, orang akan membeli hartanah dalam permainan Monopoli tanpa sebarang stratergi khusus. Sekiranya anda merupakan salah seorang dari pemain seperti ini, jangan bimbang. Ini adalah saat untuk anda mula merangka stratergi berdasarkan statistik, dengan memahami konsep kebarangkalian dadu berfungsi.
Dalam permainan Monopoli, pemain selalunya akan diberi dua biji dadu. Mungkin agak memeranjatkan, namun dua biji dadu ini sebenarnya akan mengikut graf kebarangkalian Binomial (Binomial Distrubition).
Secara mudahnya, apabila anda memiliki dua biji dadu, kebarangkalian anda untuk mendapat nombor 7 sebenarnya adalah lebih tinggi berbanding nombor 2, kerana terdapat hampir enam susunan untuk mendapat nombor 7 dari dua dadu, iaitu gabungan (1+6), (2+5) dan (3+4), manakala untuk mendapat nombor 2 pula hanya ada satu susunan, iaitu (1+1). Maka, sekiranya anda membeli hartanah di tapak kedua dan tapak ketujuh, hartanah di tapak ketujuh adalah berkemungkinan tinggi memberi anda pulangan yang lebih besar.

Fahami Kebarangkalian Lorong.
Lorong disini merujuk kepada lorong tempat pemain bergerak. Dalam kes monopoli, terdapat empat lorong iaitu bermula dari “Go” sehingga “Jail” yang meletakkan nilai hartanah yang rendah, dari “Jail” hingga ke “Free Parking”, yang meletakkan nilai hartanah yang rendah dan sederhana, dari “Free Parking” sehingga ke “Go To Jail”, yang meletakkan hartanah bernilai sederhana, dan lorong dari “Go To Jail” sehinggalah ”Go”, yang meletakkan hartanah dengan harga agak mahal.
Maka di sini, apa stratergi yang perlu anda gunakan?
Kalau anda ambil satu pusingan penuh dari tapak “Go” pusing sehinggalah kembali ke tapak “Go”, sebenarnya ada satu tapak yang mempunyai kebarangkalian lebih tinggi untuk dilawati berbanding tapak lain. Tapak apakah itu?
Tapak “Jail” ataupun penjara.
Hal ini kerana, sekiranya anda melihat kembali keseluruhan tapak dalam permainan, tapak “Jail” akan anda lawati sekurang-kurangnya sekali dalam setiap pusingan, manakala anda juga mempunyai kebarangkalian untuk ‘terkena’ tapak “Go To Jail” yang akan menangkap anda dan mengembalikan anda ke tapak “Jail”. Selain dari tapak “Go To Jail”, anda juga sebenarnya berkebarangkalian untuk dipenjara akibat dari kad “Chance” dan “Community Chest” yang masih lagi berkebarangkalian untuk menghantar anda ke penjara.

Di sini, sekiranya anda bijak, anda akan perasan bahawa tapak “Jail” adalah tapak paling berkebarangkalian dilawati oleh pemain Monopoli, maka lorong dari “Jail” sehinggalah ke “Free Parking” adalah lorong paling banyak dilawati, dan mendapatkan hartanah di kawasan ini pastinya mempunyai peluang tinggi untuk memberi pulangan lumayan kepada anda.
Berapa banyak rumah nak buat?
Salah satu cara untuk anda membuat duit dalam permainan Monopoli adalah apabila pihak lawan anda sampai ke tapak hartanah yang anda miliki. Sekiranya mereka datang “menyinggah”, mereka perlu membayar kepada anda sedikit bayaran, yang ditulis dalam kad hartanah anda. Satu cara untuk menambah nilai yang perlu dibayar ini adalah dengan membeli hartanah dengan sama warna, di mana hartanah dengan sama warna selalunya akan meningkatkan nilai bayaran sekali ganda dari nilai asal.
Selain dari itu, anda juga boleh membuat rumah di tapak anda, dengan syarat anda telahpun memiliki kesemua hartanah dengan warna yang sama. Dan sekiranya anda Berjaya memiliki hartanah dengan sama warna dan terfikir untuk membina rumah, berapa banyak rumah yang ‘optimum’ untuk anda bina – harga rumah tidak terlalu mahal namun memberi untung yang lumayan?
Jawapannya adalah tiga biji rumah.
Tiga biji rumah adalah nilai yang berbaloi sekiranya anda ingin membina rumah, kerana nilai yang perlu dibayar oleh pelawat kepada anda berubah dengan agak drastik dari dua buah rumah ke tiga buah rumah. Kos bagi pembinaan tiga buah rumah juga selalunya di bawah harga ‘gaji’ yang anda selalunya dapat apabila melepasi petak ‘Go’, maka anda masih ada baki dalam tangan yang anda boleh gunakan untuk kecemasan.

Selain dari itu, membina empat buah rumah atau hotel meletakkan anda dalam risiko rugi, kerana dalam syarat umum Monopoli yang dikeluarkan oleh Hasbro, pemain tidak dibenarkan membeli hotel sekiranya tapak hartanah mereka yang lain tidak memiliki empat biji rumah bagi tiap-tiap tapak sama warna. Hal ini menyusahkan kerana anda perlu berbelanja besar untuk membina hotel (kesemua tapak sama warna perlu ada 4 biji rumah sebelum hotel boleh dibina).
Selain itu, rumah dan hotel yang banyak juga boleh menjadi liability kerana dalam dek “Community Chest” dan “Chance”, terdapat kad yang akan memaksa anda membayar wang berdasarkan jumlah rumah dan hotel yang anda miliki. Maka semakin banyak harta yang anda miliki, makin besar jumlah yang perlu anda bayar, dan ini meletakkan tiga buah rumah untuk setiap hartanah sebagai harta optimum berdasarkan konsep ‘trade-off’.

Perlu ke beli Lapangan Terbang atau utilities?
Selain tapak hartanah biasa, tapak hartanah lain yang turut wujud dalam permainan Monopoli adalah tapak lapangan terbang (versi Malaysia) atau tapak landasan keretapi (versi UK). Dari aspek keuntungan, tapak lapangan terbang memberi anda keuntungan paling besar sekiranya anda Berjaya mengumpul keempat-empat lapangan terbang, dengan nilai bayaran selalunya empat kali ganda nilai biasa bagi satu tapak lapangan terbang, dan ia memberi keuntungan kadar rata bagi semua pusingan. Jadi anda mungkin boleh masukkan lapangan terbang sebagai antara benda pertama yang anda ingin beli dalam permainan Monopoli.

Utilities pula merujuk kepada syarikat yang membekalkan tenaga (air dan elektrik). Utilities mempunyai cara bayaran yang unik kerana sekiranya anda ‘tersinggah’ ke tapak ini, anda perlu melontar dadu dan mendarab nilai dadu itu dengan pekali yang spesifik. Bagi edisi UK, nilai pekali ini adalah 4 bagi satu utility, dan 10 kali ganda bagi dua utility. Ini bermakna sekiranya anda mendapat nilai dadu 7, anda perlu membayar $28 ($7 x 4) sekiranya orang yang memiliki utility itu mempunyai hanya satu utiliti dan $70 ($7 x 10) sekiranya dia memiliki dua utiliti.
Dari aspek kebarangkalian, kebarangkalian untuk pemain singgah ke salah satu tapak landasan kapal terbang adalah 4 daripada 40 tapak atau 10% kebarangkalian, manakala kebarangkalian untuk singgah di utilities pula adalah 2 daripada 40 tapak atau 5% kebarangkalian.
Selain dari aspek memberi pulangan yang agak menarik, pemain monopoly juga mengumpul utilities dan landasan kapal terbang kerana ia amat berguna dalam proses tawar menawar antara hartanah. Bak kata orang, kalua ada sekadar satu landasan kapal terbang, kita tidak mampu membuat untung. Namun apa akan jadi sekiranya kita menukar landasan kapal terbang dengan hartanah sama warna milik lawan kita? Hal ini menjadikan Monopoli satu permainan perniagaan yang memerlukan kebolehan tawar menawar, dan memiliki utilities dan lapangan terbang membolehkan anda mempunyai ‘upper hand’ dalam prose negosiasi tersebut.
Tapak paling selamat.
Bayangkan anda sedang berada dalam permainan penuh intensif. Sudah 40 minit berlalu, dan kesemua pemain telah memiliki rumah dan hotel dalam kawasan hartanah milik mereka. Anda pula, akibat baru pertama kali bermain Monopoli, tidak membeli banyak hartanah pada awal permainan. Hal ini menyebabkan anda dalam dilema.
“Aduh, kalau lontar dadu, nanti masuk tempat orang ni kena bayar. Kalau tak pun masuk tempat orang tu. Ada hotel lagi. Ah macam mana ni?”
Tahukah anda, tempat paling selamat bagi anda sewaktu perlawanan telah berlangsung lama sebenarnya adalah di – penjara.
Hal ini kerana bayaran keluar dari penjara sebenarnya agak murah berbanding bayaran tapak dengan rumah, lebih-lebih lagi kalau di saat semua pemain sudahpun ada rumah masing-masing. Dalam kes ini, taktik paling berkesan yang anda mampu buat, sekiranya anda ingin melarikan diri dari kebarangkalian membayar wang yang banyak adalah sekiranya anda dihantar ke penjara, minta peluang untuk keluar penjara dengan mendapat doubles dari lontaran dadu.
Menurut syarat yang dikeluarkan oleh Hasbro, pemain yang masuk ke penjara boleh keluar penjara dengan tiga kali peluang lontaran dadu. Maksudnya, dalam pusingan pertama anda di penjara, anda boleh melontar dadu dan sekiranya anda mendapat doubles (dua nombor sama), anda boleh keluar penjara tanpa bayaran. Anda cuma diberi peluang sebanyak tiga kali, dan andainya kali ketiga anda masih tidak mendapat doubles, anda wajib membayar denda keluar penjara (kadangkala dua kali ganda nilai akibat tidak mendapat doubles).
Dalam erti kata lain, di akhir permainan, duduk sahajalah di penjara dengan tenang. Sekian sahaja tips bermain Monopoli dari perspektif matematik, statistik dan kebarangkalian.
Video dan Bacaan lanjut:
“The Mathematics of Winning Monopoly” https://www.youtube.com/watch?v=ubQXz5RBBtU
“All About Houses and Hotels in Monopoly” https://www.thesprucecrafts.com/when-can-i-buy-houses-hotels-411891
“Binomial Distribution” StackExchange (Matematics) https://math.stackexchange.com/questions/1204396/why-is-the-sum-of-the-rolls-of-two-dices-a-binomial-distribution-what-is-define
“How to Win at Monopoly – a Surefire Stratergy” http://www.amnesta.net/monopoly/
“How to Win at Monopoly, According to Professional Monopoly Players” https://www.thrillist.com/entertainment/nation/how-to-win-at-monopoly-every-time-according-to-experts