Di manakah pusat alam semesta?

Sejak zaman Greek purba lagi, sarjana Greek telah mula berbahas tentang keadaan alam semesta. Mereka ingin tahu di manakah kedudukan manusia yang sebenar, bukan lokasi di Bumi, tetapi lokasi Bumi di alam semesta. Zaman mereka banyak berbeza dengan zaman kita. Zaman mereka tiada lampu LED, lampu-lampu jalan, dan lampu dari bangunan yang menyumbang kepada pencemaran cahaya di waktu malam. Mereka hanya berbekalkan lilin yang tak berapa terang untuk menerangi malam mereka. Di sebabkan teknologi lampu mereka tidak sehebat kita, di waktu malam, mereka dapat menikmati pemandangan langit yang dipenuhi oleh bintang-bintang, gugusan bintang atau buruj, galaksi-galaksi, nebula dan sebagainya. Hasil daripada keindahan alam ini, tercetus dalam minda sarjana-sarjana mereka untuk mengkaji tentang keadaan alam semesta.

Antara model yang diperkenalkan ialah model geosentrik oleh Aristotle dan kemudiannya diperbaiki oleh Ptolemy. Model Aristotle meletakkan Bumi (sfera) sebagai pusat alam semesta, dikelilingi oleh Matahari, Bulan, 5 buah planet yang dapat dilihat dengan mata kasar iaitu Utarid, Zuhrah, Marikh, Musytari dan Zuhal, dan objek samawi lain. Model Aristotle ini meletakkan Bulan sebagai lapisan pertama, diikuti oleh Utarid, kemudian Zuhrah, Matahari, Marikh, Musytari, Zuhal dan objek-objek lain yang kelihatan tidak bergerak pada lapisan terakhir. Model ini popular dalam kalangan sarjana Greek kerana ia menghubungkan alam semesta dengan keindahan simetri dalam matematik iaitu bentuk orbit objek-objek samawi ini ialah bulat. Bulat mempunyai simetri yang tak terhingga.

Rajah 1 Model Aristotle

Setelah beberapa abad kemudian, Ptolemy menambahbaik model ini berdasarkan pemerhatian baharu berkenaan dengan gerakan songsang sebahagian planet (retrograde motion). Ptolemy menambah epikitar (epicycle) bagi sebahagian planet untuk menjelaskan pemerhatian tersebut.

Rajah 2 Model Ptolemy

Model Ptolemy ini bertahan lebih seribu tahun sebelum dicabar oleh Copernicus yang mengusulkan model heliosentrik. Model heliosentrik meletakkan Matahari sebagai pusat bagi alam semesta manakala Bumi hanyalah satu planet daripada planet-planet lain di sistem suria. Pada mulanya, model ini mendapat tentangan hebat daripada pelbagai pihak kerana membawakan satu perubahan terhadap model Ptolemy yang telah kukuh diterima. Namun setelah ahli-ahli astronomi terkemudian menghalakan teleskop mereka ke lapangan angkasa, mereka dapat memberikan bukti-bukti pemerhatian yang menyokong model baharu daripada Copernicus. Pada abad-abad seterusnya, model geosentrik mula digantikan oleh model heliosentrik kerana semakin banyak bukti yang menyanggah model geosentrik oleh Ptolemy.

Rajah 3 Model Copernicus

Model Copernicus ini mula diperbaiki dengan penemuan-penemuan baharu seperti hukum Kepler, penemuan planet Uranus dan Neptun dan hukum graviti. Model Matahari sebagai pusat alam semesta diterima agak lama sehinggalah dicabar oleh penemuan baharu oleh ahli astronomi. Selepas beberapa ratus tahun penciptaan teleskop, teknologi teleskop semakin maju dengan penciptaan teleskop yang lebih besar yang dapat melihat gambar-gambar dengan lebih jelas. Dengan bantuan alat teleskop ini, ahli astronomi dapat melihat pergerakan sebahagian bintang dia angkasa dan mereka mendapati bahawa bintang-bintang ini tidak bergerak mengelilingi Matahari, tetapi mengelilingi pusat Bima Sakti. Bintang-bintang yang bertaburan diangkasa adalah sebahagian daripada isi kandungan galaksi Bima Sakti, malah Matahari hanyalah sebutir bintang daripada jutaan bintang-bintang ini.

Maka model alam semesta bertukar dengan meletakkan Galaksi Bima Sakti sebagai keseluruhan alam semesta dan bintang-bintang di dalamnya mengelilingi pusat galaksi ini.

Namun model ini tidak bertahan lama. Kefahaman tentang alam semesta berubah secara drastik apabila cerapan oleh Edwin Hubble mendapati bahawa terdapat galaksi-galaksi lain selain dari galaksi Bima Sakti dan kebanyakan galaksi-galaksi ini bergerak menjauhi galaksi kita. Dalam masa yang sama, teori kerelatifan oleh Einstein ditambah baik oleh beberapa ahli fizik lain untuk menerangkan keadaan sebenar alam semesta ini.

Teori kerelatifan memberitahu bahawa alam semesta ini terdiri daripada ruang masa dan ruang masa ini berasal daripada satu titik ketunggalan (singularity) pada 14 bilion tahun lalu. Titik ini berkembang dalam satu proses dentuman besar (Big Bang) dan membentuk alam semesta kita pada hari ini. Sebagai analogi, bayangkan ruang masa ini diwakili oleh sebiji belon. Kemudian belon ini ditiup dan berkembang. Alam semesta juga begitu. Alam semesta secara keseluruhannya berkembang dari satu titik. Semua yang terkandung dalam alam semesta berasal dari titik tersebut termasuklah ruang masa.

Rajah 4 Lakaran perubahan alam semesta dengan masa.

Berdasarkan model terbaru ini, semua tempat adalah pusat alam semesta, atau pusat pengembangan alam semesta. Bumi adalah pusat alam semesta. Matahari adalah pusat alam semesta. Setiap bintang adalah pusat alam semesta. Malah setiap ruang di alam semesta ini adalah pusat alam semesta kerana segalanya berasal dari titik yang sama.

Bagi penulis, persoalan yang lebih menarik ialah adakah alam semesta ini tak terhingga (infinite) atau terdapat sempadan alam semesta. Inilah persoalan yang masih belum terjawab oleh ilmu sains pada hari ini. Kita tak tahu penghujung alam semesta. Adakah alam semesta tiada penghujung, atau ada sempadan alam semesta yang masih di luar ilmu pengetahuan kita. Hanya Allah yang tahu. Kita sebagai manusia, teruskanlah mengkaji khazanah yang terkandung dalam alam semesta ini.

Total
11
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts