Kalau Islam agama yang maju, kenapa sikit sangat orang Islam yang menang anugerah Nobel?
Mungkin kita biasa dengar ayat ini. Benar, jika anugerah Nobel dijadikan sandaran, hanya 12 penerima anugerah Nobel beragama Islam. Daripada jumlah tersebut, hanya 3 orang dalam bidang sains.
Namun kaitan yang orang cuba lakukan seolah – olah agama Islam yang bertanggungjawab menyebabkan ‘kemerosotan’ pencapaian saintifik penganutnya adalah salah, atas 2 sebab:
- Kalau Islam bertanggungjawab menyebabkan kemerosotan, maka sejarah umat Islam pasti tiada langsung atau sedikit saja pencapaian saintifik. Namun ternyata sebaliknya, sejarah Islam sangat gemilang.
- Masalah dengan menjadikan anugerah Nobel sebagai ukuran kecemerlangan.
Monopoli Sejarah Islam terhadap Kecemerlangan Sains
Martin Kramer, seorang sarjana sejarah dan Yahudi mengakui sendiri bahawa orang Islam sememangnya merupakan master ilmu sains ribuan tahun dahulu. Berikut adalah terjemahan tulisan dalam laman web beliau:
“Jika Ada Anugerah Nobel 1000 Tahun Lepas, Ia Pasti Dibolot Sepenuhnya oleh Muslim. Seorang daripada penerima sudah pasti polymath multi – genius al Biruni (973 – 1050) yang merupakan seorang ahli astronomi, matematik, mineralogist, botanist, pakar bahasa dan ahli sejarah.
Termasuk pencapaian hebatnya, beliau menentukan secara tepat jejari dan ukur lilit bumi. Kepakaran Muslim dalam astronomi berkekalan hingga abad ke 15, dan disimbolkan menerusi astrolabe Arab dalam pengembaraan orang Eropah.
Perubatan juga menginspirasikan genius Muslim, terutama sekali terhadap ahli falsafah Ibn Sina (980 – 1037). Beliau menjuarai sains Yunani, dan pengamalan perubatan di Eropah adalah berpandukan Kanun Perubatan beliau sepanjang abad ke 15. Universiti Eropah mengajar anatomi dalam terminologi Arab sepanjang tempoh itu.
Dalam peradaban Islam, pertukaran idea saintifik berlaku meluas. Ahli perubatan dan ahli falsafah mengembara dari mahkamah ke mahkamah, dan tiada istana yang lengkap tanpa perpustakaan yang luas, jika tidak ‘Baitul Hikmah’ – Sejenis institut untuk kajian mendalam”
Keilmuan Eropah dalam sains ternyata tidak mampu menandingi, dan ia diapungkan sepanjang Zaman Pertengahan menerusi sisa baki ilmu yang ditinggalkan di atas meja Muslim. Daripada sudut pandang Muslim yang miliki peradaban hebat (atau Yahudi yang tinggal di bawah pentadbiran Islam), tanah melangkaui Pyrenees adalah pusat kegelapan”.
Ternyata berdasarkan sejarah gemilang Muslim tersebut, agama Islam tidak boleh dipersalahkan terhadap kemerosotan Muslim. Mana mungkin agama yang mendatangkan kemajuan mendadak kepada manusia yang tinggal di padang pasir pula yang dipersalahkan atas kemerosotan golongan tersebut?
Yang lebih jelas, jika ada faktor yang perlu dipersalahkan, ia adalah penjajahan imperialis Barat terhadap negara Islam.
Kenapa Anugerah Nobel Jadi Kayu Ukur?
Sebenarnya, jika Anugerah Nobel hendak dijadikan ukuran kecemerlangan peradaban, bukan orang Islam saja yang sedikit jumlahnya.
Tiada saintis pemenang anugerah Nobel dalam kalangan negara Asia Tenggara, tiada daripada orang kulit hitam Afrika, dan hanya empat daripada Amerika Latin. Malah jumlah pemenang anugerah Nobel daripada dua negara paling ramai penduduk di dunia, iaitu China dan India juga adalah kecil, kurang daripada 10 setiap satu. Itupun kebanyakan mereka lakukan kajian di Barat.
Maka jelas di sini, pemilihan pemenang anugerah Nobel adalah sangat bergantung kepada ekonomi negara tersebut.
Malah bukan itu saja, artikel the Atlantic bertajuk ‘Anugerah Nobel dalam Sains yang Tidak Munasabah‘ dan ‘Adakah telah tiba masanya kita tinggalkan anugerah Nobel?‘ meneroka dengan lebih mendalam ketidakwajaran anugerah Nobel.
Anugerah ini tidak menghargai sains, sebaliknya mengherotkan sifatnya, memesongkan sejarahnya, dan tidak menghiraukan banyak nama penyumbang yang lain
Hal ini kerana dapatan sains adalah perkara yang paling bersifat kepasukanan. Namun daripada 3 mukasurat penuh nama yang menyumbang kepada projek Laser Interferometer Gravitational-Wave Observatory (LIGO) sebagai contoh, hanya tiga nama yang terpilih sebagai penerima anugerah Nobel dalam Fizik.
Pemenang anugerah tersebut juga nampaknya dimonopoli oleh lelaki berkulit putih.
Anugerah Nobel mengiktiraf penemuan saintifik. Tapi masalahnya, penemuan saintifik biasanya melibatkan sumbangan puluhan jika tidak ratusan malahan ribuan para pengkaji. Anugerah Nobel ini bagaimanapun sangat kontroversi kerana wasiat Alfred Nobel mensyaratkan untuk memberi pengiktirafan kepada seorang penemu penemuan saintifik. Seorang saja nama individu untuk penemuan dalam fizik, kimia, perubatan.
Maka bukan saja anugerah ini mengherotkan sejarah dan pencapaian peradaban – peradaban dalam dunia, ia juga menjejaskan sifat dunia kajian sains untuk membawa idea ‘individu – individu genius perseorangan‘ yang memonopoli sumbangan sains.