Alhamdulillah, keputusan SPM 2017 telah diumumkan, dan banyak berita positif yang kita terima. Mungkin ada yang sudah kebas tangan bersalam dengan saudara – mara yang ucap tahniah, mungkin ada yang dah bingkaikan keputusan pada dinding bilik. Atau mungkin ada yang dah fikirkan “apa selepas ini?”
Ada beberapa perkara yang boleh dibuat selepas dari anda menerima keputusan SPM tersebut, artikel ini senaraikan lima cadangan yang baik.
1) Sujud syukur, ucap alhamdulillah, dan berterima kasih.
Mungkin di sebalik kegembiraan terima antara sijil terpenting hidup anda, anda terlupa untuk bersujud syukur dan bertahmid kepada Tuhan Maha Pencipta yang memberi rezeki kejayaan kepada kita.
Biasalah, manusia kan memang selalu terlupa.
Apapun keputusan yang anda dapat, mungkin dijangka, mungkin tak dijangka, ucapkan pujian dan syukur kepada Allah. Begitu juga, jangan lupa berterima kasih kepada sebanyak mungkin cikgu yang mengajar anda (atau tak mengajar), ibu bapa, kawan – kawan yang berjaga malam ajar kita jawab soalan fizik.
Kongsi penghargaan ilmu – ilmu yang kita peroleh dengan mereka semua 🙂
2) Dalami diri, fahami apa nak dicapai dalam hidup.
Mungkin sepanjang waktu cuti selepas SPM kita ‘hadiahkan’ diri kita dengan rehat berbulan – bulan. Ialah, honeymoon kan? Dah penat lelah belajar untuk periksa SPM dua tahun apa salahnya cuti main Dota, Hearthstone, Mobile Legends, panjat tangga ranking 3 bulan ye dak?
Boleh jadi hati dan minda kita terbeku, keruh dan berkarat disebabkan ke’mandom’an yang begitu lama. Kemudian sekarang tersentak pula dengan kewujudan sekeping ijazah.
Jadi, inilah masa untuk kita kembali ‘berfungsi’ semula, dan memikirkan apa sebenarnya yang kita nak capai dalam hidup.
Adakah aku nak menyumbang kepada masyarakat, adakah aku sebenarnya nak kumpul duit, hidup senang, adakah aku nak cuba segala benda baru yang menarik dalam hidup tanpa kongkongan, adakah aku nak ikut saja ‘flow’ masyarakat yang selamat dan konsisten, macam mana nak masuk syurga akhirnya…
Adakah aku nak sambung belajar, atau nak terus kerja, atau tunggu dulu nak rehat lagi beberapa tahun? Kalau aku pilih pilihan – pilihan ini, sebab apa?
Ini mungkin soalan – soalan berat yang kalau boleh kita tak nak tanya. Tapi inilah waktu terbaik untuk anda introspeksi diri anda, tanya soalan – soalan ini. Cari masa terbaik, mungkin atas sejadah selepas solat.
Ada orang yang mungkin umur 30 tahun baru tertanya – tanya soalan ini. Anda sangat bertuah kalau berfikir tentangnya sekarang.
3) Baca tentang latar belakang kerjaya/ subjek yang diminati waktu belajar.
Jika anda sudah miliki cita – cita dan visi tentang kerjaya atau laluan akademik pilihan, maka saya cadangkan anda baca sedikit tentang latar belakang kerjaya atau subjek yang anda minati tersebut waktu belajar.
Bukan apa, sebabnya boleh jadi minat kita dulu datang dari pelbagai punca. Boleh jadi kita minat sebab cikgu yang ajar tu seronok, boleh jadi kita minat sebab tahun tu ada watak drama Korea / Inggeris / Melayu yang mahir dalam bidang tu dan kita rasa terinspirasi.
Tapi, kalau kita tak bersedia, boleh jadi kita akan terkejut apabila sifat subjek yang kita pelajari itu berubah 180 darjah. Contohnya ambil Bio sebab tak minat matematik, tapi sudahnya berjela – jela statistik kena buat. Atau ambil kejuruteraan sebab minat sains tapi entah ke mana ‘sains’nya.
Pembacaan itu pula bukanlah semacam ‘hafal persamaan Navier Stokes sebab itu silibus tahun dua’. Kalau boleh cuba terokai subjek yang kita sukai itu dari segi falsafah dan sejarahnya.
Taip dalam google ‘philosophy/ history of engineering/ physics/ biology pdf’ contohnya. Banyak bahan bacaan yang terbaik.
Lebih kurang macam nak cari pasangan lah, kalau boleh kita nak tau latar belakang dia, suka makan apa, kenapa dia perangai macam tu, tak cukup sebab kita berkenan sebab terpandang mata je.
4) Kaji Laluan Belajar / Biasiswa
Setelah itu, boleh lah anda mulakan penerokaan memahami laluan belajar anda ke menara gading, yang dah pasti, akan dimulakan dengan asasi / STPM/ STAM / matrikulasi / A – level / International Baccalaureate dan lain – lain.
Jika anda nak belajar dalam negara, lain laluannya. Kalau anda nak belajar dalam negara, lain juga laluannya.
Ini carta alir laluan belajar yang anda boleh tempuhi:
Begitu juga, kaji prospek biasiswa mana untuk diambil. Banyak lah persoalan yang boleh ditanya pasal biasiswa, siapa yang tawarkan, bila, untuk siapa, untuk belajar ke mana, jumlah tajaan, keperluan minimum dan lain – lain.
Relaks, tenang, jangan gelojoh. Kaji sampai anda puas hati dengan maklumat dan pilihan yang anda buat. Kalau terlepas satu dua tajaan sebab anda ralik mengkaji pun tak apa. Yang penting anda yakin bila mengisi kontrak.
Antara website baik untuk dirujuk adalah: https://afterschool.my/scholarship
5) (Banyak) Tanya Senior
Ini mungkin yang paling penting.
Pastikan anda banyak bertanya tentang laluan yang anda mahu ambil untuk masa depan anda. Hubungi abang kakak yang dah berkerjaya dan dapatkan maklumat mengenai kerjaya mereka dan bagaimana untuk sampai ke sana.
Kadang – kadang ada soalan yang kita malu sebab tanya sebab “eh, macam bodoh je soalan aku ni”. Takpe, tanya je. Kadang – kadang sesetengah soalan tak akan dapat dijawab walau banyak mana pun kita baca, dan hanya boleh dapat melalui pengalaman mereka yang dah lama dalam bidang / pengajian yang kita minati.
Yang paling penting, jangan lupa tanya Allah dalam solat Istikharah. Berseronoklah dengan dimensi baru kehidupan anda selepas SPM ya 🙂