Apa Itu Teori Letupan Besar (Big Bang)?

Antara persoalan yang timbul apabila manusia mula berfikir tentang alam semesta ialah asas usul alam semesta itu sendiri. Apakah yang berlaku pada masa lalu? Dalam artikel ini, kita akan memperlihatkan tentang sejarah awal alam semesta berdasarkan teori Letupan Besar atau lebih dikenali sebagai teori Big Bang.

Teori Letupan Besar

Teori letupan besar menyatakan bahawa alam semesta ini berasal dari sebuah titik dan mengembang menjadi alam yang kita lihat pada hari ini [1]. Ini bermaksud, kesemua objek samawi yang terdapat di dalam alam semesta ini seperti galaksi, bintang, planet, bulan dan zarah-zarah berasal dari suatu titik. Sebahagian ahli fizik menamakan titik ini sebagai titik ketunggalan atau singularity.

Gambaran letupan besar. Sumber

Kemudian, titik ini berkembang sehingga menjadi alam semesta yang kita lihat pada hari ini. Mengapa titik ini mengembang? Apakah pencetus kepada pengembangan titik ini? Kita masih tidak mempunyai penjelasan yang kukuh bagi menjawab persoalan ini. Bahkan teori fizik yang popular seperti kerelatifan am, gagal menjelaskan keadaan alam semesta sebelum berlakunya letupan besar[2]

Dalam sekelip mata sahaja, alam semesta ini berkembang daripada sekecil zarah kepada sebesar galaksi. Ini bermakna, ruang dan masa itu sendiri berkembang kerana alam semesta ini merupakan manifestasi gabungan ruang dan masa. Satu persoalan yang timbul di minda kita adalah jika ruang masa itu berkembang, kepada apakah ia berkembang? Adakah wujud ‘ruang’ di sebalik alam semesta? Wallahualam kita tidak tahu.

Gambaran perkembangan ruang dan masa. Sumber.

Di manakah pusat alam semesta?

Bayangkan alam semesta ini terpapar dalam satu video. Kemudian kita mengundur video tersebut sehingga ke titik mulanya. Kita akan lihat galaksi-galaksi menghampiri antara satu sama lain, bukan menghampiri suatu titik pengembangan.

Alam semesta tidak mempunyai satu pusat yang berkembang, akan tetapi keseluruhan alam semesta ini berkembang menjauhi satu sama lain[3]. Ini juga bermakna, setiap lokasi di alam semesta ialah pusat bagi alam semesta. Oleh itu, jika anda bersedih, ingatlah bahawa anda sedang berada di pusat alam semesta.

Berapakah umur alam semesta?

Apabila kita memikirkan tentang kejadian alam semesta, kita pasti tidak akan terlepas dengan persoalan umur alam semesta. Berapakah umur alam semesta pada hari ini sejak dari awal penciptaannya?

Dari sudut fizik dan kosmologi, umur alam semesta didefinisikan sebagai masa yang berlalu selepas letupan besar. Ini bermakna, umur sifar adalah ketika alam semesta sebesar titik ketunggalan. Kemudian, alam semesta berkembang sehingga ke hari ini. Berdasarkan kajian terkini, umur alam semesta adalah sekitar 13.8 bilion tahun[4]

Salah tanggap mengenai teori letupan besar

Antara teori yang sering kita salah faham ialah teori letupan besar. Asal-usul kesalah fahaman teori ini berkait rapat dengan perkataan yang digunakan iaitu ‘letupan’ dan ‘besar’.

Apabila disebut letupan, kita akan terbayang seperti letupan bom, atau letupan mercun. Letupan biasanya dikaitkan dengan penghasilan bunyi yang sangat kuat. Namun begitu, ketika berlakunya ‘letupan besar’, alam semesta tidak meletup akan tetapi ia ‘mengembang’ dari satu titik. Tidak ada sebarang bunyi yang dihasilkan ketika ini kerana tidak wujud udara sebagai medium penghantaran bunyi. Malahan, zarah-zarah seperti proton dan neutron juga masih belum wujud[2]

Kedua, ramai yang faham bahawa bintang-bintang dan galaksi-galaksi terhambur keluar dari satu titik ke ruang alam semesta. Sebenarnya ruang alam semesta itu sendiri yang berkembang selepas letupan besar. Bintang-bintang dan galaksi-galaksi menjauhi antara satu sama lain disebabkan ruang antara mereka semakin mengembang[5]

Salah tanggap: alam semesta berasal dari satu lokasi, kemudian berkembang ke ruang yang tersedia. Sumber
Ruang masa alam semesta berkembang pada semua arah. Sumber.

Ketiga, ramai yang menyangka bahawa teori letupan besar adalah satu teori mengenai penciptaan alam semesta. Teori letupan besar sebenarnya ialah satu teori mengenai sejarah alam semesta. Ia cuba menjawab persoalan mengenai sejarah awal alam semesta, dan bukan bagaimana ia tercipta. Persoalan ‘bagaimana alam semesta tercipta’ ialah satu persoalan yang berkait rapat dengan ketuhanan. Khususnya, bagaimanakah ‘titik’ alam semesta itu tercipta? Sebagai umat Islam, kita yakin bahawa kesemua yang dicipta itu adalah makhluk, dan yang mencipta itu adalah sang Pencipta.

Yang terakhir, teori letupan besar tidak terlepas daripada kritikan bahawa ia hanyalah satu teori yang dicipta tanpa sebarang pembuktian. Teori letupan besar ini mempunyai banyak sokongan daripada maklumat-maklumat mengenai alam semesta yang diperoleh melalui teleskop, pemecut zarah dan selainnya[4][6][7]

Kesimpulannya, alam semesta ini mengandungi banyak khazanah ilmu yang belum kita terokai. Penerokaan alam semesta bukan hanya terhad kepada alam yang terlihat oleh pancaindera kita, tetapi juga melibatkan penerokaan alam semesta pada sejarah awalnya. Semakin banyak kita mengkaji, semakin kita mendapati betapa terbatasnya ilmu yang kita ketahui.

Penulis: Muhammad ‘Izzat bin Mohd Zubir

Disemak oleh: Muhammad Eilham dan Mohd Hafizudin Kamal


Rujukan

  1. Freedman, R. A., & Kaufmann III, W. J. (2008). Universe. New York: W. H. Freeman.
  2. McMillan, S., & Chaisson, E. (2014). Astronomy Today (8th ed.). New York: Pearson.
  3. Seeds, M. A., & Backman, D. E. (2010). Astronomy: The Solar System & Beyond (6th ed.). California: Brooks Cole.
  4. Planck Collaboration. (2016). Planck 2015 results. XIII. Cosmological parameters. Astronomy & Astrophysics, 594(A&A), 32. doi:10.1051/0004-6361/201525830
  5. Lineweaver, C., & Tamara, D. M. (mar, 2005). Misconceptions about the Big Bang. Scientific American, 292(3), 36-45. doi:10.1038/scientificamerican0305-36
  6. Cyburt, R. H., Fields, B. D., Olive, K. A., & Yeh, T.-H. (feb, 2016). Big bang nucleosynthesis: Present status. Rev. Mod. Phys., 88(1), 015004. doi:10.1103/RevModPhys.88.015004
  7. Riess et. al, A. G. (1998). Observational Evidence from Supernovae for an Accelerating Universe and a Cosmological Constant. Astron.J., 116(3), 1009-1038. doi:10.1086/300499
Total
54
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published.

Related Posts