Kenapa Nama Planet Melayu Lain Dengan Inggeris?

Kenapa nama planet dalam Bahasa Melayu lain dari bahasa Inggeris?

Mercury – Utarid

Venus – Zuhrah

Mars – Marikh

Jupiter – Musytari

Saturn – Zuhal

Betul juga kan?

Soalan ini menarik juga, sebab tak tahu kenapa, sewaktu kita belajar di sekolah rendah dulu kita tak pernah tertanya.

Mungkin sebab kita biasa tanya pada orang – “Siapa nama engkau?”

Kita tak lah tanya – “Kenapa nama engkau?”

Tapi kadang kala, bila kita ubah soalan kita, kita akan dapat jawapan yang menarik.

Asal Usul Nama Planet ‘Inggeris’

Sebelum kita meneroka persoalan mengapa nama planet Bahasa Melayu berlainan dengan Bahasa Inggeris, kita perlu tahu dulu nama planet ‘Inggeris’ berasal dari mana.

Sebenarnya, nama planet Jupiter, Mercury dan lainnya berasal daripada nama dewa – dewa Yunani – Rom. Nama – nama ini diberikan berdasarkan ciri – ciri istimewa planet – planet tersebut yang diperhatikan oleh ahli kaji bintang.

  • Mercury diperhatikan bergerak laju, jadi orang Rom namakan dengan nama dewa Mercury yang bersayap dan laju.
  • Venus – Dewa cinta dan kecantikan, maka mereka beri ini pada planet yang bersinar paling terang.
  • Mars – Dewa perang Rom. Merah adalah warna merah dan perang, sedang Marikh pula adalah planet yang berwarna merah.
  • Jupiter – Dewa agung orang Rom. Planet Jupiter adalah planet terbesar dalam sistem solar kita, maka mereka namakan dengan raja dewa mereka.
  • Saturn – raja Titan yang menguasai dunia sebelum Jupiter, juga merupakan dewa pertanian.

Orang – orang Greek ini juga melihat corak – corak khayalan pada bintang yang mereka namakan zodiak / buruj dengan nama binatang, manusia atau dewa: seperti Cancer, Capricorn, Gemini.

Zodiak

Maka apa yang kita pelajari di sini, adalah ilmu astronomi atau penampakan planet ini sudah wujud lama dalam sejarah peradaban manusia. Antara karya astronomi yang paling penting hasilan orang Rom adalah buku almagest, oleh Ptolemy.

Tapi kemudian, empayar Rom ini jatuh dan jawatan guru astronomi dunia beralih kepada tamadun Islam.

Astronomi Tamadun Islam

Orang Islam dahulu memang obses dengan ilmu falak, sebab itu sememangnya merupakan sebahagian tuntutan agama.

Orang Islam mahiri dan kembangkan ilmu falak untuk membantu mereka:

  • Mencari arah kiblat.
  • Menentukan waktu solat tepat pada waktunya.

Sinergi agama – sains yang unik ini diakui sendiri oleh sarjana Barat:

“Dalam Islam, tidak dalam agama lain,” ahli sejarah David King mengatakan “Pelaksanaan pelbagai ibadat dibantu oleh prosedur – prosedur saintifik”.

Berlinski, D. (2008). The Devil’s Delusion. pp.13 – 14.

Beberapa tokoh – tokoh hebat ilmu falak Muslim dalam sejarah adalah seperti al Biruni, al Sufi, Ibn al Shatir, al Qazwini, al Battani, al Khwarizmi dan lain – lain.

Antara ciptaan hebat astronomi orang Islam adalah seperti Astrolabe dan balai cerap.

Sumbangan – sumbangan umat Islam dalam ilmu falak amat berimpak besar kepada perkembangan tamadun dunia. Muzium Metropolitan di New York mengatakan:

“Barat sangat terhutang budi kepada Islam yang mendatangkan banyak data dan pengiraan baru ilmu falak”

Carboni, Stefano. Following the Stars: Images of the Zodiac in Islamic Art. New York: The Metropolitan Museum of Art, 1997.

Penukaran Nama Planet Arab

Apabila orang Islam telah kuasai ilmu astronomi, apa yang mereka buat dengan nama – nama dewa Greek – Rom tadi? Sudah tentu, mereka mengubah nama – nama planet tersebut kepada versi mereka yang tidak mencanggahi aqidah.

  • Mercury ditukar kepada Utarid (?????) yang juga digunakan dalam bahasa Turki.
  • Venus ditukar kepada Zuhrah (????) yang bermaksud sinar terang
  • Mars menjadi al Mirrikh (??????)
  • Jupiter menjadi al Musytari (???????) yang bermaksud pembeli
  • dan Saturn dipanggil Zuhal (???) yang bermaksud merangkak atau bergerak perlahan.

Jadi ringkasnya, nama planet – planet Melayu diambil daripada nama Arab yang diubah daripada nama Greek – Rom.

Namun jawapan ini masih tidak lengkap, kerana nama tersebut berbeza hanyalah sehingga planet Zuhal / Saturn.

Mengapa nama ??????? (Uranus) dan ????? (Neptune) tidak berbeza dengan nama Inggeris? Begitu juga Pluto, dewa dunia bawah tanah (Walaupun sudah dianggap bukan planet).

Uranus adalah nama dewa langit, Neptune pula nama dewa laut. Bukankah kedua nama ini mencanggahi aqidah Islam? Mengapa ia dikekalkan?

Kemerosotan Ilmu Falak Umat Islam

Selama 2000 tahun, sampailah abad ke 16, kesemua entiti angkasa di bawah, termasuklah matahari dan bulan, dianggap sebagai planet.

Dan selama ratusan tahun, peradaban Islam sumbangkan ilmu falak, jadual astronomi, astrolabe, buku yang diterjemah, formula pengiraan kepada Barat, yang pada waktu itu tiada langsung kemahiran astronomi tahap tinggi.

Tapi kemudian, tamadun Islam merosot, dan tamadun Barat pula yang naik.

Dengan penciptaan teleskop, dibantu dengan data – data astronomi yang mereka terjemah, Barat kemudian membuat penemuan – penemuan yang meninggalkan guru lama mereka orang Islam.

Mereka kemudian membuang label planet daripada matahari dan bulan, mula menganggap bumi sebagai sebuah planet daripada berbanyak – banyak planet yang lain, dan mereka menemui Uranus pada tahun 1690 dan kemudian Neptune pada tahun 1846.

Untuk penemuan – penemuan yang baru ini, mereka mengekalkan tradisi menamakan planet dengan nama dewa Greek – Roman.

Maka berkemungkinan, apa yang berlaku ketika ini adalah umat Islam tidak lagi mencintai ilmu astronomi seperti dulu. Dahulunya mereka guru, sekarang mereka merosot menjadi anak murid.

Maka orang Islam kemudian mengambil saja nama – nama planet, bintang dan buruj yang diusulkan Barat tanpa semangat dan kemahuan untuk mengubah dan mengolahnya dengan acuan mereka sendiri.

Kebangkitan?

Namun tampaknya, kehebatan ilmu astronomi orang Islam tidaklah terus hilang dan tidak lagi akan bangkit.

Sekarang ini contohnya sedang diusahakan inisiatif memberi nama – nama Arab pada penamaan perkataan astronomi Latin.

Negara UAE sedang merancang menghantar probe ke Marikh menjelang 2021, menjadikannya negara ke sembilan dalam perlumbaan angkasa tersebut.

Kita ada remaja genius Muslim dari India yang mencipta satelit paling ringan di dunia.

Negara Malaysia kita pun mula mengorak langkah ke depan. Kita ada Dr Adlyka yang terlibat dalam kajian menggemparkan lohong hitam supermasif, dan UITM pula telah melancarkan satelit pertama mereka.

Maka usaha – usaha ini semua perlulah disokong supaya kita tidak rasakan ilmu astronomi ini sebagai ilmu yang asing, namun ia adalah ilmu milik kita semua.

Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts