Siapa pernah nampak ‘kelibat – kelibat’ pelik di cermin? Kadang kala kita takut untuk lihat cermin pada waktu malam kerana pengalaman kita yang pernah melihat ‘benda – benda’ …
Fenomena melihat ‘kelibat’ di cermin ini nampaknya agak sejagat. Masyarakat – masyarakat lain di dunia juga merekodkan pengalaman menakutkan dengan cermin.
Cerita rakyat (folklore) yang mungkin paling terkenal berkenaan hal ini adalah ritual ‘Bloody Mary‘ yang banyak dilakukan oleh kanak – kanak Inggeris pada waktu Halloween. Ritualnya melibatkan menyebut nama Bloody Mary beberapa kali di depan cermin dalam sebuah bilik yang cuma diterangi cahaya lilin. Kemudian kelibat Bloody Mary akan muncul (kononnya) dalam bentuk mayat, hantu, atau tubuh yang dilumuri darah.
Maka soalannya, adakah fenomena ini sememangnya mistik dan melibatkan hantu? Apa jadi kalau kita buat eksperimen?
Eksperimen Cari Hantu di Cermin
Eh, tak lah. Sebenarnya ia cuma eksperimen melihat cermin dalam tempoh yang agak lama dalam bilik yang malap. Err masih seram lagi ya?
Pada tahun 2014, Dr Caputo cuba mengkaji kesan ‘Bloody Mary’ ini secara saintifik. Maka beliau kumpulkan 13 individu di dalam sebuah bilik yang malap, seraya memberikan arahan berikut:
“Tugas anda cuma lihat muka anda di depan cermin. Anda perlu berterusan merenung mata anda. Tugasan ini berdurasi 7 minit”
Hasilnya, didapati bahawa setelah beberapa tempoh, mereka dapat melihat muka seakan raksasa, wajah yang asing, wajah herot, wajah ibu bapa atau adik beradik, dan wajah binatang.
Menariknya, orang yang mengalami kemurungan mengalami kesan yang lebih kurang teruk berbanding mereka yang sihat.
Kenapa Tenung Lama – lama Nampak Benda Pelik?
Kalau anda kurang yakin dengan keputusan eksperimen di atas, apa kata anda cuba sendiri?
Tenung simbol tambah pada imej di bawah selama tujuh atau lapan saat (jangan risau, tiada jumpscare!)

Imej berwarna warni tersebut berubah menjadi kelabu tak? Jom cuba gambar di bawah pula. Tenung simbol x untuk beberapa ketika (sekali lagi, tiada jumpscare!)

Gambar kucing tu hilang bukan?
Kesan yang pelik ini bernama Kesan Troxler, yang dinamakan sempena nama pakar perubatan Swiss Ignaz Paul Vital Troxler. Pada tahun 1804, Troxler menemui bahawa apabila kita menetapkan pandangan kita pada satu elemen pada lapangan penglihatan, imej – imej pegun di sekeliling akan perlahan – lahan hilang.
Perkara ini berlaku, menurut saintis moden, kerana otak manusia begitu mahir beradaptasi terhadap rangsangan – rangsangan yang baru.
Contohnya apabila kita memakai seluar, kita akan merasai sentuhan fabrik pada kulit kita. Tapi tak sampai beberapa saat, perasaan tersebut hilang. Neuron deria kita telah pun beradaptasi dengan rasa fabrik tersebut, dan mula mengabaikan rangsangan tersebut.
Otak kita tak mampu memproses begitu banyak proses serentak, maka ia akan mengabaikan beberapa maklumat sekeliling seperti corak pernafasan anda, sentuhan baju anda dengan badan, atau bunyi – bunyi sayup – sayup sekeliling anda.
Jadi dengan prinsip yang sama, fenomena kelibat hantu di cermin dapat dijelaskan. Apabila kita kita melihat di cermin, berfokus pada mata pada satu tempoh yang panjang, ditambah pula dengan pencahayaan yang buruk, berkemungkinan bahagian – bahagian lain muka kita akan menjadi kabur dan bercampur dengan cermin.
Muka kita tiba – tiba kelihatan menakutkan, dahi kita herot, pipi kita hilang, dan otak kita akan mula mengisi maklumat – maklumat asing dengan maklumat – maklumat yang kita ingati, seperti hantu yang kita baca di majalah Mastika.
Itu adalah penjelasan saintifik. Tapi boleh saja sebenarnya ia memang perkara – perkara yang lebih mistik. Kalau anda alaminya, maka jangan segan minta bantuan mereka yang arif.