Kajian terbaru menunjukkan kopi dapat membantu mengurangkan risiko jantung dan memanjangkan umur! 

Masa kini, kopi telah mendapat sambutan luar biasa daripada manusia seluruh dunia tanpa mengira jantina, bangsa, dan agama.

Di Malaysia sahaja, merata dapat dilihat kedai-kedai yang menjual pelbagai jenis kopi. Biarpun harga mahal seperti di Starbuck, masih ramai yang akan masuk membeli.

Awal tahun ini, satu kajian daripada Australia telah melaporkan bahawa tabiat meminum kopi setiap hari bakal mengurangkan risiko kematian dan kecederaan buah pinggang.

Walau bagaimanapun, sebelum-sebelum ini, lebih daripada 75 peratus golongan profesional perubatan telah menasihati pesakit kardiovaskular (penyakit jantung dan strok) untuk menghidari kopi.

Namun, baru-baru ini telah dikeluarkan pula laporan satu kajian yang mencabar tanggapan ini dengan membincangkan kesan sebenar pengambilan kafein terhadap aritmia dan penyakit kardiovaskular.

Berita baik buat penggemar kopi!

KAJIAN KESAN KAFEIN TERHADAP JANTUNG

Berikutan limitasi maklumat tentang kesan pengambilan pelbagai jenis kopi terhadap kesihatan jantung, penyelidik-penyelidik ‘Baker Heart and Diabetes Research Institute’ di Melbourne, Australia terdorong untuk menjalankan kajian bagi mendapatkan beberapa pandangan tentang kesan kafein terhadap kardiovaskular dengan melakukan perbandingan antara kopi berkafein dan kopi tanpa kafein.

Antara 1 Januari 2006 dan 31 Disember 2010, mereka merekrut peserta dari UK Biobank yang berumur 40 hingga 69 tahun. Kajian ini telah melibatkan seramai 449,563 peserta yang tidak didiagnosis dengan masalah kardiovaskular. Median umur bagi peserta ialah 58 dengan 55.3 peratus ialah wanita.

Menerusi soal selidik, para penyelidik meminta mereka melaporkan jumlah cawan kopi yang diminum pada setiap hari dan jenis kopi yang sering diambil. Hasilnya mendapati seramai 44.1 peratus peserta sering mengambil kopi segera. Manakala, 18.4 peratus mengambil kopi tanah (kisar) dan 15.2 peratus mengambil kopi tanpa kafein.

Selebihnya, iaitu 22.4 peratus daripada peserta dilaporkan tidak meminum kopi dan dijadikan sebagai kumpulan pembanding. Bagi setiap jenis kopi, para penyelidik membahagikan para peserta kajian kepada enam kategori dengan bergantung kepada pengambilan cawan harian iaitu 0, kurang 1, 1, 2 sehingga 3, 4 sehingga 5, dan lebih 5. 

Seterusnya, para penyelidik membuat pemerhatian lanjutan terhadap status kesihatan para peserta selama 12.5 tahun dan menentukan tahap kesihatan mereka kemudiannya dengan merujuk kepada kod ICD (Pengkelasan Penyakit Antarabangsa) pada rekod perubatan dan kematian.

HASIL AKHIR KAJIAN

Kajian ini mengambil kira faktor lain yang mempengaruhi risiko masalah kardiovaskular, termasuk umur, jantina, pengambilan alkohol, pengambilan teh, obesiti, kencing manis, tekanan darah tinggi, apnea tidur obstruktif, dan status merokok.

Hasilnya melaporkan bahawa mereka yang biasa meminum kopi yang dikisar, segera atau tanpa kafein mempunyai risiko rendah untuk menghidap penyakit kardiovaskular dan kematian awal berbanding mereka yang bukan peminum kopi.

Berdasarkan pemerhatian, pengambilan dua sehingga tiga cawan kopi sehari, tanpa mengira jenis kopi, secara konsisten dapat mengurangkan risiko terbesar dalam penyakit kardiovaskular, jantung koronari, lemah jantung, dan kematian akibat sebarang sebab.

Selain itu, para penyelidik mendapati bahawa kopi tanah dan kopi segera, dikaitkan juga dengan risiko aritmia yang lebih rendah termasuklah fibrilasi atrium buat mereka yang mengambil dua ke tiga cawan kopi setiap hari.

Aritmia ialah keadaan apabila jantung berdegup terlalu perlahan, terlalu cepat, atau tidak teratur. Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), fibrilasi atrium ialah jenis aritmia jantung yang kebiasaannya dirawat.

Secara normanya, jantung perlu berdegup secara berirama untuk melancarkan urusan peredaran darah ke seluruh badan. Tempoh jantung berehat antara degupan dipanggil refraktori. Kemudian, penghasilan reseptor adenosin yang terdapat pada sel jantung akan memendekkan tempoh refraktori yang menyebabkan meningkatnya risiko aritmia.

Kajian sebelum ini pernah mencadangkan bahawa kafein berjaya menyekat reseptor adenosin dengan berkesan dan menyebabkan jantung terlindung daripada kesan adenosin. Oleh itu, hasil kajian ini turut menunjukkan hasil yang sama terhadap kopi berkafein dan kesan sebaliknya bagi kopi tidak berkafein.

Secara umum, Prof. Peter Kistler, yang merupakan pengarang kajian dan ketua institut di Melbourne, Australia ini menjelaskan bahawa,

“Realiti sebenarnya ialah kopi harus dianggap sebagai sebahagian daripada diet yang sihat. Orang ramai tidak sepatutnya berhenti meminum kopi jika mereka menghidap sebarang bentuk penyakit berkaitan dengan jantung, termasuklah gangguan irama jantung, melainkan sekiranya mereka merasakan secara peribadi kesan tertentu apabila meminum kopi dengan gejala penyakit mereka. Selain itu, kajian ini tidak menunjukkan bahawa jika anda mempunyai penyakit jantung, anda harus mula minum kopi. Tetapi, jika anda sudah menjadi peminum kopi, anda perlu yakin bahawa tindakan ini bukan sahaja selamat, tetapi juga melindungi diri anda.”

Susulan artikel kajian ini dikeluarkan, seorang pakar jantung, iaitu Dr. Eric Topol telah menciap di ruang twitternya seperti berikut :

KESIMPULAN

Walaubagaimanapun, setiap kajian pasti ada limitasinya. Bagi kajian ini, para penyelidik telah mengesan beberapa kekangan ketika menilai hasil kajian. 

Pertama, tidak semua peserta, data mereka digunakan kerana faktor ketirisan data iaitu data tidak lengkap.

Kedua, terdapat risiko pelaporan berat sebelah kerana kebarangkalian sepanjang tahun-tahun peserta dipantau, terdapat segelintir yang meminum lebih daripada satu jenis kopi setiap hari.

Ketiga, para penyelidik mengakui bahawa sistem yang digunakan untuk mengesan kesihatan peserta terdedah kepada ralat.

Keempat, biarpun pengambilan alkohol dan teh oleh para peserta dipertimbangkan dalam analisis, tetapi komponen-komponen lain dalam diet peserta mungkin telah memberi kesan kepada hasil kesihatan mereka.

Kelima, kajian ini mungkin hanya terpakai kepada mereka yang sama ciri dengan populasi kajian.

Sumber olahan dan rujukan :

  1. Medical News Today, di pautan https://www.medicalnewstoday.com/articles/coffee-drinking-linked-to-longevity-lower-risk-of-cardiovascular-disease#Study-limitations
  2. European Society of Cardiology. “Coffee drinking is associated with increased longevity.” ScienceDaily. ScienceDaily, 26 September 2022. <www.sciencedaily.com/releases/2022/09/220926200838.htm>.
Total
0
Shares
Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Related Posts