Ramai orang yang miliki pengalaman menjawab soalan ujian kecerdasan. Kebiasaannya, kita akan bertemu dengan suatu soalan yang membuat kita tersekat lama kebingungan walaupun telah berkali – berkali membaca soalan, mengenyit mata dan menggaru kepala.

Bagaimanapun, kebiasaannya walau sesusah manapun soalan IQ tersebut, ia dapat dianalisa untuk ditentukan corak yang logika dan seragam lantas membolehkan jawapan untuk dideduksikan.
Namun sebuah soalan tular daripada peperiksaan online memasuki perkhidmatan awam pegawai kawalan trafik udara membuatkan ramai orang menggaru kepala.

Soalannya berbunyi:
Dalam sebuah perlawanan bola sepak Liga Inggeris, Saiful menyokong pasukan Liverpool tetapi bukan Chelsea, Ain menyokong Everton dan Southampton tetapi bukan Leicester. Manakala Suhaila menyokong Aston Villa tetapi bukan Manchester United. Apakah pasukan yang disokong oleh Shahrizam?
Pilihan jawapan yang disediakan adalah:
- Tottenham
- Wolves
- Crystal Palace
- Liverpool
Soalan ini mendorong kebingungan netizen kerana:
- Tidak diketahui siapa itu Shahrizam.
- Macam mana nak tahu siapa pasukan yang disokong oleh seorang yang tak dikenali?
- Apa pasukan yang disukai seseorang bukanlah satu aspek yang dapat diketahui dengan apa – apa formulasi atau pun teknik logik tertentu. Kalau dah suka, sukalah.
Walaubagaimanapun, terdapat jawapan yang dianggap paling tepat daripada ‘maklumat’ yang disediakan dalam soalan. Iaitu dengan mengenal pasti bahawa pasukan yang dipilih oleh individu – individu di dalam soalan adalah selari dengan huruf terakhir nama individu tersebut.

SaifuL -> LiverpooL
AiN -> EvertoN
SuhailA -> Aston VillA
Maka disebabkan ShahrizaM berakhir dengan huruf M, satu – satunya pasukan yang perlu dipilih yang berakhir dengan huruf M adalah TottenhaM.
Jawapan ini dianggap ‘paling logik’. Bagaimanapun, formulasi soalan ini memiliki beberapa masalah:
- Mengapa pula setiap individu tersebut perlu mengikuti formula arbitrari sedemikian untuk menentukan pasukan kegemaran mereka? Ia mungkin berlaku secara kebetulan untuk tiga orang pertama, tetapi mengapa ia perlu diikuti oleh individu keempat?
- Mengapa mesti Tottenham sebagai pilihan jawapan? Bagaimana jika disertakan jawapan E) West Ham? Maka sekarang mana satu pasukan yang digemari Shahrizam? Malah sebenarnya tiada masalah untuk Shahrizam menggemari keduanya, kerana pasukan kegemaran tidak semestinya satu.
Mungkin jawapan yang sebenar adalah dengan tidak menjawab soalan.