‘Big Miracle’ ialah drama pada tahun 2012 berdasarkan peristiwa sebenar ‘Operation Breakthrough’, usaha antarabangsa untuk menyelamatkan sekumpulan ikan paus kelabu yang terperangkap dalam ais Alaska. Peristiwa ini menunjukkan kepada kita mengenai kaedah altruistik tentang bagaimana manusia mampu berinteraksi dengan ikan paus untuk menyelamatkan nyawa secara literal. Kebanyakan masa, ikan paus tidak memerlukan bantuan manusia. Ikan-ikan paus telah berjaya mengevolusi berjuta-juta tahun lamanya dan membiak di dalam air.
Sementara ikan-ikan paus terbesar tidak mempunyai banyak pemangsa semulajadi, ikan-ikan paus masih menghadapi ancaman tekanan air di paras kedalaman air yang diselami.
Terbaru, sekumpulan saintis daripada Universiti British Columbia mungkin telah menyelesaikan misteri biologi ikan paus dalam persoalan bagaimana ikan paus berjaya berenang pada kedalaman yang hebat selama berjam-jam pada satu masa tanpa mengalami kerosakan otak.
Para saintis telah lama tertanya-tanya tentang rangkaian kompleks arteri dan urat mengelilingi otak dan tulang belakang ikan paus yang dipanggil retia mirabilia, atau jaring yang indah.
KEUPAYAAN MAMALIA DARAT
Apabila mamalia darat berusaha berlari, memburu, atau berjuang untuk hidup, mamalia darat akan mengalami lonjakan tekanan darah di otak yang dipanggil pulses. Hal ini menyebabkan tekanan dalam arteri mungkin menjadi berbeza secara drastik daripada dalam vena dan mengakibatkan kerosakan pada otak. Dipercayai juga bahawa perbezaan tekanan seperti ini pada manusia boleh mengakibatkan demensia.
Melihat kepada perbezaan yang berlaku pada mamalia, kita boleh menjangkakan mamalia-mamalia ini akan menghadapi kerosakan otak. Hakikatnya, tidak. Keadaan ini adalah disebabkan oleh mamalia darat telah berupaya mengawal denyutan tekanan melalui pernafasan. Keadaan yang sama turut berlaku pada ikan paus ketika mereka selam di dalam air.
Menurut saintis utama dalam kajian ini, Dr. Lillie, ikan paus menahan nafas apabila menyelam dan berenang, sekaligus memperlihatkan kepada kita bahawa ikan paus tidak menggunakan sistem pernafasan untuk tangani tekanan ini, berbeza dengan mamalia darat. Ikan-ikan paus mempunyai kaedah lain untuk hidup di dalam tekanan.
KEUPAYAAN IKAN PAUS
Bayangkan kita berlari di sekitar kawasan kejiranan selama berjam-jam lamanya pada satu masa, sambil menahan nafas. Ketika itu, denyutan tekanan ada tetapi keupayaan untuk mengawalnya melalui pernafasan tidak. Dalam keadaan yang sama, maka, ikan paus terpaksa menggunakan kaedah lain dan detik inilah melibatkan retia mirabilia.
KAJIAN TERBARU
Dr. Lillie dan kumpulan penyelidiknya mencadangkan bahawa saluran khusus di otak disesuaikan sebagai kaedah baru untuk ikan paus mengawal denyutan tekanan semasa ikan paus menyelam. Dikatakan bahawa tindakan ini dikenali sebagai mekanisma pemindahan nadi. Daripada bertindak melegakan tekanan, retia bertindak memindahkan tekanan dalam arteri, melalui jaringan kompleks dan masuk ke dalam vena.
Para saintis ini telah menguji hipotesis dengan menggunakan model berdasarkan morfologi retia daripada 11 spesis ikan paus yang berbeza.
Dalam setiap kes, mereka mendapati struktur itu mencukupi untuk melindungi otak daripada denyutan tekanan 97 peratus pada masa itu. Manakala, tiga peratus yang berlarutan itu boleh mewakili beberapa struktur atau proses lain yang belum dikenal pasti, atau ia boleh menjadi anomali pemodelan.
Hal ini bergantung kepada keyakinan para saintis pada data yang didapati, tanpa beroperasi pada ikan paus hidup. Menurut para saintis tersebut, mereka tidak berminat untuk melakukannya atas sebab moral dan etika, sepertimana yang disiarkan dalam akhbar dari Universiti British Columbia.
Namun, itu tidak bermakna pencarian ilmu telah berakhir. Kumpulan penyelidik itu kini berminat untuk meneroka bagaimana toraks mengawal tekanan air pada paru-paru semasa menyelam.
Olahan dan terjemahan daripada artikel di portal syfy.com, “NOW WE KNOW WHY WHALES DON’T GET BRAIN DAMAGE WHILE DIVING”, di pautan https://www.syfy.com/syfy-wire/now-we-know-why-whales-dont-get-brain-damage-while-diving.
Rujukan utama :
M. A. Lillie, A. W. Vogl, S. G. Gerard, S. Raverty, R. E. Shadwick. Retia mirabilia: Protecting the cetacean brain from locomotion-generated blood pressure pulses. Science, 2022; 377 (6613): 1452 DOI: 10.1126/science.abn3315
Sumber foto : Laman Edisi Viral